Monday 27 August 2012

Merdeka: Sikap Responsif Malaysia


Hari ulang tahun kemerdekaan ke-55 Malaysia sudah hampir tiba. Kemanakah arah tuju Malaysia selepas ini. Kalau dilihat senario sekarang, layakkah Malaysia bergelar negara merdeka? Mari kita sama-sama fahami erti merdeka yang sebenar.Merdeka sebenarnya bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain.Ia juga bermaksud tidak bergantung pd yg lain dan berdiri sendiri.

Melihat kepada maksud bebas daripada penjajahan, ramai yang beranggapan Malaysia sudah menjadi negara merdeka kerana telah bebas daripada jajahan kuasa-kuasa asing seperti Portugis, Jepun, British dan sebagainya. Tetapi, sedarkah mereka bahawa Malaysia masih lagi dijajah, masih lagi berada ditakuk lama. Merdeka yang sebenarnya bermaksud bebas dari jajahan politik, ekonomi dan yang paling penting adalah bebas daripada jajahan pemikiran kuasa-kuasa luar.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, tahap pemikiran kebanyakan rakyat Malaysia dikatakan masih berada di kelas ketiga. Ini adalah kerana majoriti mereka masih takut untuk membuat perubahan kerana bimbang menjadi buah mulut orang malah apabila ada yang membuat perubahan yang baik, mulalah berkata itu ini. Tetapi apabila ada yang membuat perubahan ke arah yang tidak baik, tidak ada yang menegur. Ada saja yang tidak memuaskan hati mereka. Selain itu, tidak ramai yang berani menyuarakan pendapat kerana risaukan periuk nasi sendiri. Ideologi yang dibawa oleh negara barat tidak kurang hebatnya menular dalam pemikiran rakyat negara kita. Disebabkan terlampau taksub dengan idea tersebut, ramai yang sanggup mengabaikan syariat agama malahan memesongkannya.

Apabila menyentuh pasal isu agama, teringat pula pada isu kekejaman umat Islam di luar negara terutamanya Rohingya, Syria dan Palestin. Kita di sini bersenang-lenang dengan kemewahan dan keamanan yang sedia ada. Patutkah kita bersukaria menyambut ulang tahun kemerdekaan, sedangkan saudara-saudara kita di sana hidup mati berusaha mendapatkan hak yang sepatutnya mereka peroleh seperti kita. Kita sebagai saudara seIslam, apa yang telah kita lakukan dalam membantu mereka mencapai kemerdekaan. Adakah hanya dengan melihat sahaja atau sekadar bersimpati dari lubuk hati. Itu yang dikatakan rakyat Malaysia tidak berani membuat perubahan. Asyik mengharapkan insan lain bagi melaksanakannya. 

Sekiranya semua rakyat Malaysia berfikiran sebegitu, maka tidak akan ada yang membantu negara-negara yang masih belum merdeka. Ini jugalah yang dikatakan takut untuk menyuarakan pendapat kerana takut kesenangan yang dikecapi sekarang hilang bersama yang pendapat yang disuarakan. Simpati sahaja tidak dapat membantu mereka tanpa tindakan yang sewajarnya. 

Sebagai seorang mahasiswa, kita tidak boleh memandang enteng tentang perkara sebegini. Kita seharusnya bekerjasama dalam menyedarkan rakyat Malaysia dalam memperbetulkan apa yang masih tidak betul, contohnya menjadi rakyat yang berani bersuara, pembersih, respon terhadap isu dalam dan luar negara, berani melakukan perubahan kearah yang lebih baik dan juga bebas dari jajahan ideologi barat. 

Saturday 18 August 2012

Bagaimana Menyambut 'Eidul Fitri



Oleh : Mufti Brunei

MENGHAYATI 'EIDUL FITRI


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Setelah umat Islam berusaha selama sebulan penuh di bulan Ramadhan mengekang nafsu dari melakukan perkara yang ditegah semasa menunaikan ibadah puasa sama ada yang haram atau yang harus dilakukan di luar puasa, sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal iaitu hari kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan.

Sememangnya telah menjadi tradisi bagi masyarakat kita sambutan 'Eidul Fitri ini lebih meriah dari hari-hari kebesaran Islam yang lain umpamanya Idul Adha, yang juga salah satu perayaan yang besar dalam agama kita. Berlainan halnya dengan masyarakat Islam lain seperti di Timur Tengah, bagi mereka Hari Raya 'Eidul Adha lebih dimeriahkan dan mendapat perhatian dari 'Eidul Fitri.

Ketetapan awal Syawal bagi negara kita adalah berpandukan penglihatan anak bulan. Jika ia berhasil dilihat maka awal Syawal jatuh pada hari tersebut dan kita diharamkan berpuasa pada siang hari esok. Sebaliknya jika anak bulan Syawal tidak kelihatan maka kita wajib meneruskan puasa pada esok hari. Ketentuan ini perlu difahami oleh kaum muslimin khasnya di negara kita. Ada segelintir masyarakat kita jika tidak kelihatan anak bulan Syawal maka mereka tidak akan berpuasa pada esoknya. Antara alasan mereka ialah berpandukan negara lain yang sudah jatuh bulan Syawal. Perkara ini sebenarnya tidak tepat menurut hukum syara’ oleh itu ikutilah keputusan pihak yang berwajib di negara kita mengenai hal ini.

'Eidul Fitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin dan juga merupakan satu syiar maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang perlu diikuti sepertimana yang telah digaris pandukan oleh syara’.

Di negara kita khususnya sebaik saja diumumkan bahawa hari raya telah jatuh pada malam tersebut sejurus itulah kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi meyemarakkan musim perayaan ini. Pada kebiasaannya perkara ini dilakukan oleh golongan muda dan kanak-kanak. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus berkumandang diikuti dengan pesta-pesta sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya

Perkara ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Walhal umat Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut itu.

Padahal di dalam Islam itu sudah ada diperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini.

Apabila sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat umat Islam disunatkan untuk melaungkan takbir. Hukum sunat ini berlarutan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan sembahyang hari raya. Walaubagaimanapun menurut pendapat yang ashah bahawasanya takbir 'Eidul Fitri itu tidak disunatkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang. (Kitab Hasyiyatan, 1:357)

Ini berbeza dengan takbir bagi Hari Raya 'Eidul Adha di mana ia disunatkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang dan berterusan sehingga selepas menunaikan sembahyang Ashar pada hari Tasyriq yang terakhir.

Takbir pada hari ini disyariatkan bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya bahkan lebih dari itu ialah merupakan lambang kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan anugerah yang dikurniakanNya dan ianya juga adalah merupakan perkara ibadah.

Mereka yang menghidupkan malam ini akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana malam 'Eidul Fitri adalah di antara malam-malam yang sunat dihidupkan dan ditakmirkan selain dari malam-malam 'Eidul Adha, awal Rejab dan Jumu‘ah kerana di dalamnya adalah saat dan ketika dikabulkan doa.

Al-Imam Qulyubiy Rahimahullah di dalam kitab Hasyiyatan telah menyebutkan bahawa

"Sunat hukumnya menghidupkan malam 'Eidul Fitri ini dan malam 'EIdul Adha dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh.(Kitab Hasyiyata Qalyubiy wa Umairah1:359)

Pada pagi Idulfitri pula disunatkan mandi iaitu berniat kerana kedatangan 'Eidul Fitri bukannya sahaja membersihkan diri tanpa disertai niat. Perkara sunat mandi ini bersumberkan hadis yang ditakhrijkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha.

Di samping itu adalah sunat memakai bau-baun yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dan menanggalkan bau yang tidak sedap. Sunat juga memakai pakaian yang paling elok dari pakaian-pakaian yang dia ada dan yang paling afdhal ialah warna putih serta memakai serban. Perkara-perkara sunat ini hanya khusus bagi kaum lelaki. Manakala itu perempuan-perempuan cantik dan yang berkedudukan adalah makruh hukummnya bagi mereka datang ke masjid. Berbeza dengan perempuan tua mereka adalah disunatkan bersama-sama pergi ke masjid tanpa memakai haruman dan sebagainya. (Kitab Al-Raudhah 2:7)

Inilah pendapat mazhab Syafi‘ie tentang perempuan pergi ke masjid. Walaupun di sana ada hadis menganjurkan perempuan untuk sama-sama hadir ke masjid di hari raya ini, tetapi dalam mazhab Syafi‘ie anjuran itu adalah untuk perempuan-perempuan yang sudah tua.

'Eidul Fitri yang juga sebagai menandakan tamatnya tempoh berpuasa, maka disunatkan sebelum pergi ke mesjid untuk menunaikan sembahyang hari raya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Sayyiduna Anas Radhiyallahu 'anhu katanya yang maksudnya :

"Adapun Rasulullahu Shallallhu ‘alaihi wasallam tidak keluar (untuk bersembahyang sunat hari raya) pada hari raya Fitrah sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma."

Menurut riwayat daripada Anas lagi bahawa Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil.

Di dalam kitab Nailul Awthar An-Nakh‘ie ada menyatakan bahawa

diantara hikmah disunatkan memakan kurma (tamar) itu ialah dengan manis buah tamar itu dapat menguatkan penglihatan yang mana telah berkurangan disebabkan puasa dan juga di antaranya boleh melembutkan hati dan ia adalah yang paling mudah dari yang selainnya. Oleh itu sebahagian dari At-Tabi‘ien menganggap sunat berbuka dengan benda-benda yang manis seperti madu.Sementara itu di antara hikmah memakannya dengan bilangan yang ganjil telah berkata Al-Mahlab bahawa


perkara itu ialah isyarat kepada keesaan Allah Ta‘ala dan juga adapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya di dalam semua urusan Baginda sebagai jalan bertabarruk dengan demikian itu.(Fathul Bariy,3:122)

Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya pula adalah perkara yang paling penting dan utama bagi menyambut Hari Raya ini dari perkara-perkara sunat yang lain di dalam merayakan hari raya ini sebagaimana yang di jelaskan oleh pengarang kitab Fathul Bariy. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya
"Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah bersembahyang." (Hadis riwayat Al-Bukhariy)

Oleh yang demkian itu perlulah dipastikan semua orang Islam menunaikan sembahyang 'Eidul Fitri ini. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikannya di masjid atas urusan-urusan tertentu mereka juga boleh menunaikannya secara bersendirian di rumah atau lainnya menurut pendapat al-mazhab di dalam kitab-kitab Syafi‘ieyah.

Hari Raya 'Eidul Fitri adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan maka di hari ini adalah disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada kamu."
Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah. Hasyiyatan 1:359)

Adapun maksud dari kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.

Dengan penjelasan di atas membuktikan bahawa hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan hari raya orang bukan Islam apatah lagi ianya disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau non muslim berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira walau ada kaitan dengan unsur keagamaan, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya. Berhibur di dalam hari raya orang Islam berkonsepkan ibadah sebagai melahirkan syukur kita kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala.

Sebilangan umat Islam hari ini amat mendukacitakan kerana tidak faham akan konsep hari raya yang sebenar lalu tidak dapat menghayatinya sehingga merayakannya seperti mana orang-orang bukan Islam berhari raya. Kalau bangsa lain umpamanya mempunyai lagu khas sempena hari raya mereka maka kita pun memilikinya bahkan lebih daripada mereka dengan rentak dan irama yang bermacam-macam. Perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan tanggapan negatif bagi orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Mereka menganggap bahawa hari raya orang Islam tidak jauh bezanya dari hari-hari perayaan mereka iaitu hanya sekedar untuk melahirkan rasa gembira dan berhibur.

Selain itu dengan corak sambutan yang mereka lakukan itu adalah kesan dari tidak menghayati Ramadhan sepenuhnya kerana Ramadhan adalah bulan Qana‘ah yang mana dengan itu mampu menghindarkan kita dari memboros dan berlebihan di dalam menyambut Idulfitri.

Kita perlu sedar bahawa hari raya inilah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar benar beramal di bulan Ramadhan.

Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Sayyiduna Sa‘ad bin Aus Al-Anshariy Radhiyallahu 'anhum daripada ayahnya Radhiallahu ‘anhu Baginda bersabda yang maksudnya :

"Apabila tiba Hari Raya 'Eidul Fitri berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: "Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: "Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran). [Hadis riwayat At-Thabrani]

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama memperbanyak amal ibadah di hari ini dengan tidak mencampur-baurkannya dengan perkara maksiat. Seperti berziarah umpamanya, yang mana amalan berziarah ini sangat dituntut oleh Islam. Lebih-lebih lagi masyarakat kita mengambil kesempatan hari raya ini untuk kunjung-mengunjugi sayugialah jangan dicemari dengan pergaulan bebas di antara yang bukan mahram serta aktiviti yang merosakkan keimanan yang telah kita sucikan di sepanjang Ramadhan, seperti pesta tari-menari dan berkaraoke sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang berdekatan yang mana perbuatan ini adalah amat di tegah di dalam Islam.

Selain dari itu amalan besedekah di hari raya ini adalah juga merupakan tuntutan sunat di mana Baginda menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang hari raya.

Kesimpulannya hari raya fitrah ini adalah hari hablun minallah dan hablun minannas iaitu hari mengerat serta dan memperkukuh hubungan antara makhluk dengan Khaliq dan di antara makhluk dengan makhluk.

Maka sama-samalah kita hidupkan malam dan siang hari raya ini dengan perkara yang disunatkan sama ada yang langsung dijelaskan oleh hadis Baginda atau yang secara mafhumnya adalah dituntut di dalam Islam berpandukan huda (petunjuk) Rasulullah yang mana jika kita mengikut sunnah Baginda bererti kita mencintai Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Katakannlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu"
(Surah Ali ‘Imran:31)
Sumber : Mufti Brunei

http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic51_2001.htm

Salam 'Eidul Fitri


Sama-sama kita muhasabah samada kita berjaya membentuk transformasi ramadhan dalam diri kita ataupun tidak.  Jangan dilupakan agar kita sama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saudara seIslam kita di luar sana yang hidup dengan kepayahan bahkan ditindas lagi dizalimi oleh musuh-musuh islam. 


Gamis Perlis mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh mahasiswa di sekitar Perlis khususnya dan Malaysia amnya. Sambutlah 'Eidulfitri dengan penuh kesederhanaan dan ketakwaan.  

Salam Lebaran buat semua muslimin dan muslimat=)


GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

GAMIS Menolak Budaya Duit Raya


Istilah duit raya agak sinonim dengan Hari Raya Eidulfitri. Kanak-kanak adalah golongan yang sangat gembira apabila mendapat duit raya. Tapi bagi orang dewasa, jangan terperangkap dengan ‘duit raya’.

Segelintir manusia mengambil kesempatan dengan menghulurkan ‘duit raya’ iaitu rasuah untuk mencapai hasrat mereka. Tambahan pula tarikh pilihanraya umum khabarnya akan diumum selepas Hari Raya Eidulfitri.

Rasuah di Malaysia Membimbangkan

Menurut laporan dari Transparency International pada 2005 bahawa Malaysia telah jatuh 16 anak tangga dalam tempoh 10 tahun ini, iaitu dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004.


Manakala, pada tahun 2011, Malaysia berada di tangga 60 dengan nilai 4.3 berbanding pada tahun 2007 di tangga 43 dengan nilai 5.1. Malaysia telah mengalami kemerosotan dari sudut integriti sejak tahun 2005 sehingga sekarang.

Ini amat memalukan jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Singapura, pada tahun 2011 berada di tangga ke-5 dengan nilai 9.2, manakala pada tahun 2007, berada di tangga ke-4 dengan nilai 9.3.  Tambahan pula Singapura merupakan negara yang "lebih muda" berbanding Malaysia.


Agenda transformasi yang dilancarkan oleh kerajaan seakan-akan tidak memberi kesan kepada negara, kerana kadar peningkatan rasuah di Malaysia meningkat 46% dalam masa tiga tahun kebelakang berdasarkan kajian daripada Global Corruption Barometer 2012.

Sektor Politik yang Parah

Awas buat ahli politik, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Anda harus sedar bahawa sektor politik adalah sektor terburuk dalam kes rasuah.

Perkara ini dinyatakan oleh Transparency International Global Corruption Barometer 2010, parti politik merupakan sektor yang tertinggi kes rasuah dengan nilai 4.0 daripada keseluruhan 5.0 mata.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abu Kassim Mohamed, "Rasuah dalam politik adalah ibu kepada semua rasuah".

Sewajarnya ahli politik rasa malu dengan isu rasuah yang berlaku dalam parti politik kerana kebiasaannya ahli politik dikaitkan dengan pemimpin. Bagaimana seorang pemimpin ingin mentadbir negara sedangkan diri terpalit dengan skandal rasuah yang parah.

Membersihkan Negara dari Rasuah

Proses untuk membersihkan negara dari rasuah perlu bermula dari peringkat kanak/remaja dengan penerapan unsur akauntabiliti dan integriti dalam kurikulum pelajaran.  Dengan adanya sikap akauntabiliti dan integriti akan menjadikan rakyat Malaysia yang sentiasa beramanah.

Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) bertegas dengan mana-mana parti politik supaya ‘menyaring’ calon pilihanraya bagi setiap parti politik. Individu yang pernah terlibat dengan skandal rasuah mesti dikeluarkan daripada calon untuk bertanding. Ini bukan soal kepentingan parti, tetapi kepentingan negara


GAMIS, Inspirasi Anak Muda!.

______________________________________________

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan Gamis

Monday 13 August 2012

Malaysia & Masa Depan Wanita

SIDANG MEJA BULAT MAHASISWI ISLAM 2012
“MALAYSIA & MASA DEPAN WANITA"
PENDAHULUAN
Kerajaan British merupakan perintis kepada Persidangan Meja Bulat yang pertama kalinya diadakan di London pada tahun 1930. Model proses pertukaran maklumat ini direka khusus untuk mencari penyelesaian yang melibatkan perbincangan strategi, resolusi dan cadangan penambahbaikkan sesuatu dasar.
Di Malaysia, budaya Sidang Meja Bulat ini merupakan suatu platform bagi dialog mengenai isu – isu semasa yang akan membantu memupuk kerjasama serta perkongsian maklumat dan pengalaman.
POTENSI MAHASISWI ISLAM
Dominasi hampir 70% pelajar perempuan dalam bidang keilmuan merupakan antara aset negara yang penting bagi menerajui masa depan Malaysia yang terus gemilang. Firman Allah ‘Azza Wajalla dalam Surah At – Taubah ayat 71 :
 "Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" 
Ayat ini boleh difahami bahawa mahasiswi juga merupakan sekumpulan manusia yang memiliki potensi, cerdas dan mampu melibatkan diri dengan hal ehwal kenegaraan dan sosial yang baik sesuai dengan fitrah wanita itu sendiri.
Ketrampilan syahsiah dan kesarjanaan ilmu merupakan tunjang persiapan dalam mematangkan pengalaman mahasiswi sebagai pewaris harapan negara. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Bapak Natsir :
“ Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah – tengah pengumpulan masalah, menonjol dalam kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat"
PLATFORM SIDANG MEJA BULAT
Menyedari keperluan partisipasi mahasiswi terhadap agenda pembangunan masa depan negara Malaysia, Kelab Ma’ruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengadakan Persidangan Meja Bulat Mahasiswi Islam pada 04 Ogos 2012 bertempat di Kulliyah Pendidikan UIAM.
Perbicangan ini memfokuskan kepada tiga isu penting iaitu :
  1. Kes Jenayah di Malaysia
  2. Survival Institusi Kekeluargaan
  3. Karakter Ikon Wanita Malaysia
RESOLUSI TINDAKAN
Antara resolusi yang disepakati ialah :
  1. Mengadakan Konvensyen Wanita Muda Malaysia
  2. Memperkasakan SIGMA GAMIS sebagai platform untuk front mahasiswi Islam bersatu dan bersepakat terutamanya hal ehwal isu – isu kewanitaan.
  3. Mencadangkan pihak berwajib untuk mewujudkan garis panduan yang jelas bagi melindungi wanita dari diekploitasi.
  4. Mendesak Kerajaan Malaysia untuk mewujudkan Akta Undang – Undang Gangguan Seksual.
  5. Mencadangkan kepada pihak berkuasa menjalankan Kursus Pemantapan Kekeluargaan selepas perkahwinan.
  6. Mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula silibus Kursus Pra – Perkahwinan.
  7. Mendesak pentadbiran universiti untuk memperkasakan penguatkuasaan etika pemakaian pelajar di kampus.
Resolusi ini dipersetujui sebulat suara oleh :
  1. Illeya bt. Ibrahim, Moderator Ma’ruf Club UIAM Gombak
  2. Ustaz Sufian Mat Nan, Mantan Presiden Ma’ruf Club
  3. Emy Marhin bt.  Aman, ISI UKM
  4. Saidatul Akma bt. Zakaria, ISI UKM
  5. Hanis bt. Abdul Rani, UIAM Kuantan
  6. Afiqah Saleh Huddin, UIAM Kuantan
  7. Noor Afifah bt. Jamaludin, Naib Pengerusi PMI UM
  8. Nur Syazwani Abd Aziz, Timbalan Pengerusi SIGMA
  9. Nur Adiela bt. Kamarizzaman, Timbalan Presiden 2 Ma’ruf Club UIAM Gombak
  10. Nur Hanani bt. Ahmad Puaad, Ma’ruf Club UIAM Gombak
  11. Nur Ain bt Samsudin, Pengerusi Nisa’ ALAM KUIS
Wallahua’lam.
Disediakan oleh :
Nur Adiela binti Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi 2
Kelab Ma’ruf UIAM
* Penulis merupakan Pengerusi Sisters Wielding Excellence Empowering Thoughts (SWEET) Ma’aruf Club.

Rohingya: Fakta Penting Yang Wajib Anda Tahu!


Mukaddimah

Orang Rohingya adalah etnik  Muslim yang tinggal di utara negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine (dulunya dikenal sebagai Arakan).

Arakan pernah menjadi Kesultanan Islam pada abad ke-7 selama 350 tahun sehinggalah ia dijajah pada tahun 1784 dan ia pernah jadi pusat tamadun Islam di Nusantara pada masa itu.

Ketika itu, Sultan Mahmood, seorang Rohingya yang berpengaruh pernah menjadi setiausaha politik dalam kerajaan U Nu (kerajaan Burma ketika itu) dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Selepas itu, nama Arakan ditukar kepada Rakhine.

Latar Belakang Pengkhianatan Terhadap Rohingya

Pertempuran antara majoriti penganut Buddha Rakhine dan minoriti Rohingya Muslim selalu berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rohingya adalah salah satu minoriti di dunia yang paling teruk ditindas. Elaine Pearson, Timbalan Pengarah bahagian hak asasi manusia Watch Asia telah berkata, “ Sudah bertahun-tahun berlaku diskriminasi, penyalahgunaan dan pengabaian terhadap Rohingya dan ia akan meletup pada satu masa nanti, dan itulah apa yang kita lihat sekarang”. Bahkan, yang lebih menyedihkan kerajaan Burma telah mengklasifikasikan Rohingya sebagai ‘pendatang’ kepada Myanmar dan dengan itu tidak layak untuk menjadi warganegara Myanmar.

Plot Cerita Luka Rohingya

28 Mei : Seorang wanita Rakhine, Thida Htwe, berumur 28 tahun dirogol dan dibunuh oleh seorang lelaki Rakhine berhampiran kampung Maw Kyaut Ne dan kejadian itu disaksikan oleh dua orang Rohingya.


Lelaki itu menyerah diri dan menyatakan dia bersubahat dengan 2 orang Rohingya itu, lalu polis menahan tiga suspek dan menghantar mereka ke penjara bandar Yanbyal. Perogol itu telah membunuh dirinya dalam lokap.

4 Jun : Perusuh dari etnik Rakhine menyerang bas di Taungup, tersilap mempercayai bahawa mereka yang bertanggungjawab untuk pembunuhan itu. Sedangkan yang berada di dalam bas ialah jemaah tabligh. Kerajaan bertindak dengan melantik seorang menteri dan ketua polis untuk mengetuai jawatankuasa penyiasatan.

10 Jun : Keadaan darurat telah diisytiharkan di seluruh Rakhine.

15-28 Jun : Tun Khin, Presiden Pertubuhan Burma Rohingya UK (BROUK), telah menyatakan bahawa pada 28 Jun, 650 Rohingya telah dibunuh, 1200 telah hilang dan lebih 80,000 telah dihalau.

Tentera Burma dan polis telah dituduh memainkan peranan utama dalam kezaliman terhadap Rohingya melalui tangkapan besar-besaran dan keganasan yang sewenang-wenangnya.

Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh juga mendakwa bahawa tentera Burma dan polis menembak kumpulan penduduk kampung dengan pistol.

Mereka takut untuk kembali ke Myanmar apabila Bangladesh menolak mereka sebagai pelarian dan meminta mereka untuk kembali ke Myanmar.

Reaksi dalam Negeri

All Myanmar Muslim Organization (AMMO) iaitu Persatuan umat Islam yang terbesar di Myanmar telah mengutuk semua perbuatan menakutkan dan memusnahkan nyawa dan harta orang yang tidak berdosa di kalangan umat Islam Rohingya dan mengisytiharkan bahawa “pelaku mesti dipertanggungjawabkan oleh undang-undang”.

Reaksi Antarabangsa

Bangladesh – Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar, meningkatkan keselamatan sempadan dalam tindak balas kepada rusuhan. Mereka menyekat pelarian dari memasuki Bangladesh. Banyak bot-bot pelarian telah berpatah balik atas arahan oleh Pegawai Sempadan.

OIC – OIC telah mengadakan mesyuarat dengan wakil dari 57 negara anggotanya di Geneva untuk menggariskan mekanisme bagi tindakan antarabangsa untuk mencari penyelesaian terhadap krisis yang dihadapi masyarakat Rohingya.

Ia juga menegaskan pentingnya untuk membenarkan duta-duta negara anggota OIC memasuki Myanmar untuk menilai keadaan penganut Islam di negara tersebut.

Masalah Besar yang Akan Menyebabkan Komplikasi Buruk dan Konflik Ini

Masalah-masalah besar yang akan menyebabkan komplikasi buruk dari konflik ini akan terus berlaku di kalangan umat Islam Rohingya ialah:

1. Rohingya ialah etnik yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar

Masalah ini telah berlarutan sekian lama dan penyelesaiannya menemui jalan buntu. Selagi Rohingya tidak diiktiraf, selagi itu mereka akan ditindas. Alasan yang lain kenapa Rohingya dizalimi ialah kerana mereka Muslim!!

2. Akses kepada pendidikan disekat

Tahap buta huruf di kalangan Rohingya amat tinggi kerana mereka dinafikan hak untuk mendapat pendidikan dan selagi itu mereka akan terus diperbodohkan dan dihimpit oleh kerajaan Myanmar.

3. Hak asasi manusia dinafikan

Kerajaan Myanmar menyekat segala bantuan ke atas Rohingya hatta makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain. Di Yangon banyak sumbangan telah ada di sana tetapi semua keperluan tidak boleh dihantar termasuk makanan dan ini menjadikan Arakan bagaikan Gaza nombor 2!!.

4. Sikap tidak endah masyarakat

Aung San Suu Kyi pernah ditanya tentang isu Rohingya di Arakan akan tetapi beliau hanya menjawab, “Saya tidak tahu tentang perkara itu”. Respons yang diberikan beliau ini amat menyedihkan. Apatah lagi umat Islam yang lambar bertindak terutama badan besar umat Islam, OIC.

___________________________________________

Disediakan oleh
Krew Penerangan

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Sunday 12 August 2012

KERAJAAN MEMBISU MENGECEWAKAN RAKYAT

Saban tahun kita menyambut hari kemerdekaan. Ratusan ribu wang malahan mencecah jutaan ringgit dibelanjakan bagi memastikan upacara sambutan kemerdekaan berjalan dengan lancar. Adakah ia membawa pulangan yang baik buat negara dan rakyat?


Terbaru isu logo hari kemerdekaan hangat dimainkan. Ada usaha dari rakyat untuk memberi nafas baru dalam memahami semangat kemerdekaan dengan mencadangkan reka bentuk yang baru. Selepas logo yang dicadangkan oleh kerajaan mendapat kritikan negatif yang sangat kuat.



Dalam menghadapi kemelut dalaman negara, kerajaan juga harus sedar akan peranan dan tanggungjawab sebagai sebuah negara islam yang dicontohi oleh negara islam yang lain. Semangat merdeka juga perlu dihidupkan, bukan sahaja dalam negara, malah untuk luar negara.



Kerajaan wajar bersikap responsif terhadap isu yang berlaku di negara Islam dan juga umat Islam di seluruh dunia. Sikap membisu dan berpeluk tubuh amat mengecewakan rakyat Malaysia.



Walaupun ia melanda umat islam, tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu atas dasar menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman, isu di Syria dan di Burma perlu diambil perhatian.



Kekejaman kerajaan Syria terhadap rakyat mereka, dan kezaliman yang melanda umat Islam Rohingya di Burma perlu diambil tindakan drastik sama ada melalui kecaman terhadap pemerintah dan juga bantuan kepada mangsa.



Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) sebelum ini pernah menganjurkan wacana isu Syria dan menjemput wakil daripada kerajaan untuk memberikan pandangan, malangnya tidak mendapat maklum balas dari pihak kerajaan Malaysia.



Terbaru GAMIS menganjurkan Himpunan Keamanan Umat Islam Rohingya pada hari ini, dan sekali lagi menjemput wakil dari pihak kerajaan, juga tidak mendapat maklum balas.



Tertarik dengan kenyataan Kofi Annan, bekas setiausaha agung PBB dalam sidang Millenium Summit pada 6-8 September 2000 beliau menyatakan: 



"Setiap negara perlu membentuk kesedaran mendalam mengenai dwi-peranannya dalam dunia global. Selain tanggungjawab berkenaan masyarakat masing-masing yang ditanggung negara, secara kolektif, setiap negara merupakan penjana kehidupan bersama-sama insan sejagat kehidupan yang dikongsi bersama oleh warga semua negara."



Isu-isu keamanan dan keadilan di dalam negara semestinya diambil berat oleh kerajaan, dalam masa yang sama sikap responsif terhadap dunia luar juga perlu ada, tambahan pula Malaysia merupakan contoh negara Islam yang maju.



Perlu dipertegaskan, semangat kemerdekaan mesti dikembangkan, bukan sehaja untuk rakyat negara ini, malah untuk manusia sejagat.


WAN MOHAMAD RASYADAN WAN HUSSIN
ketua penerangan GAMIS

Friday 10 August 2012

GAMBAR-GAMBAR PALSU PEMBUNUHAN UMAT ISLAM ROHINGYA

Pembunuhan umat Islam di Burma (Myanmar) memang benar berlaku, penindasan terhadap umat Islam yang masih hidup juga memang benar berlaku. Laporan-laporan yang melibatkan umat Islam di Arakan bukanlah palsu. Namun malangnya beberapa gambar yang beredar di dalam internet, sama ada di Facebook, Twitter, BBM, malah termasuk juga rakan-rakan blogger ternyata palsu - sama ada disengajakan atau tersalah informasi.

Malah terdapat beberapa orang yang tidak bertanggungjawab sengaja mengedit gambar-gambar ini dan menyampaikan bahwa itu adalah gambar kekejaman terhadap kaum muslim Rohingya. Pastinya sebagai sesama muslim kita akan percaya akan gambar sedemikian.

Berikut ini adalah beberapa gambar yang pernah dan masih lagi beredar tetapi setelah diselidiki ternyata ianya palsu:




Terbukti gambar ini bukanlah gambar mangsa pembunuhan, sebaliknya gambar tersebut adalah situasi ketika umat Buddha di Tibet membantu mengeluarkan mayat mangsa korban gempa bumi di China. - Sumber Tibetan Community | Tibet Times



Seperti komen yang boleh dilihat dalam facebook di atas, dikatakan bahawa ini adalah gambar muslim yang dibakar di Burma, dan mereka yang percaya terus melontarkan komen-komen simpati dan kutukan. Gambar ini sebenarnya adalah gambar aktivis Tibet (bernama Jamphel Yesh) yang melakukan demonstrasi ketika kedatangan Presiden China ke India. Aktivis tersebut adalah pelarian yang mencari suaka ke India, dan melakukan aksi membakar diri ketika mengetahui Presiden China (ketika itu Hu Jintao) akan datang berkunjung. - Sumber: International Bussines Time | The Guardian




Ini sebenarnya adalah gambar dari Pattani, di selatan Thailand pada Oktober 2004. Gambar tersebut bukanlah gambar mayat, tapi gambar para demonstran muslim yang ditangkap kerana konflik yang berlaku di sana setelah sebelum ini ada ketegangan di antara umat Islam dengan masyarakat buddha.



Kumpulan gambar ini juga sebenarnya adalah sebahagian dari penangkapan mereka yang terlibat dalam rusuhan di Selatan Thailand. - Sumber: People's Daily | Frontline


Ini bukan gambar pembunuhan umat Islam melainkan gambar demonstrasi yang dilakukan oleh masyarakat Burma terhadap pemerintah kerana kenaikan harga barang di negara tersebut pada tahun 2007. - Sumber: Ahrchk | My Sinchew


Gambar ini sebenarnya adalah gambar mangsa dari kejadian pengeboman yang berlaku di bandar Myawaddy di daerah Burma Timur yang bersempadan dengan Thailand dan ia terjadi pada Februari 2011. - Sumber: Arakan Info



Gambar ini dikatakan sebagai korban muslim Rohingya ketika rusuhan di Burma, tetapi sebenarnya adalah mangsa ledakan tangki bahan api di Kongo pada tahun 2010.


Sekali lagi ditekankan bahawa kejadian pembunuhan dan penindasan terhadap umat Muslim Burma adalah benar-benar terjadi. Tetapi ramai yang agak ragu dengan kebenarannya apabila timbul gambar-gambar palsu seperti ini.

Jika orang Islam sendiri yang mengedit dan menyebarkan gambar-gambar palsu sedemikian dengan sengaja untuk mengeruhkan keadaan atau untuk menimbulkan ketegangan dengan masyarakat Buddha secara keseluruhan, maka ia adalah tidak adil, sebagaimana Allah berfirman dalam Al-Qur'an:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan." (Al Maa'idah: 8)

Namun jika telah terlanjur menyebarkannya kerana kesilapan maklumat, semoga Allah mengampuni kita semua.

sumber : HD

pautan : [link]