Friday 28 September 2012

Bajet 2013 : Berita gembira buat mahasiswa


Bertemakan "Memakmur Negara Mensejahtera Rakyat: Suatu Janji Ditepati" Bajet 2013 telah dibentangkan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen petang tadi. 

Antara yang menarik dalam pembentangan bajet sebentar tadi adalah bonus sebulan setengah bagi penjawat awam, pemberian BR1M 2.0 yang diperluaskan lagi kepada golongan bujang, rebat RM200 untuk pembelian telefon bimbit bagi belia 21-30 tahun, dan lain-lain lagi.

Bagi mahasiswa, pemberian Baucar Buku 1Malaysia diteruskan lagi dengan penambahan nilai meningkat menjadi RM250.




Bagi pelajar-pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN pula, diskaun 20% akan diberikan sekiranya pembayaran secara penuh dijelaskan sebelum 1 Oktober 2013 manakala diskaun 10% diberikan sekiranya bayaran dijelaskan secara baik dan berterusan.

Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000. - BERNAMA

BAJET 2013: MAHASISWA KECEWA PRESTASI BAJET 2012




Bajet 2012 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada September 2011 yang lalu dengan menunjukkan jumlah perbelanjaan yang disasarkan ialah RM232.8 Billion dengan anggaran pendapatan sebanyak RM 190 Billion. Ia merupakan bajet defisit selama 13 tahun berturut-turut bermula tahun 1998. 

Sungguhpun nilai defisit tahunan berkurangan kepada 4.7% berbanding tahun 2011, namun kesan daripada sikap dan amalan berhutang ini telah menjadi barah kepada mahasiswa khususnya dalam soal pinjaman pengajian.

Sebanyak RM 50.1 bilion ringgit iaitu hanya 21.6% daripada keseluruhan bajet diperuntukan untuk Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. Daripada jumlah itu, 37.2 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manakala 12.9 bilion peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi sebuah Negara membangun, fokus sepatutnya adalah ditelitikan kepada sektor pendidikan setidaknya 30% daripada jumlah keseluruhan bajet disalurkan kepada sektor yang berimpak tinggi ini. Ini sangat penting dalam memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor ini memberikan pulangan yang positif dalam segenap aspek sesuai untuk institusi pengajian sebagai asas kepada pembangunan negara.

Dalam kemelut ekonomi yang semakin pulih dan suasana rencam negara membangun, Malaysia seharusnya memberikan fokus utama dalam melahirkan modal insan yang mampu menjana pendapatan negara pada masa akan datang. Namun malangnya, kelompok mahasiswa terus dibebankan dengan masalah hutang dan kos sara hidup yang tinggi ditambah pula dengan yuran pengajian yang mencanak naik. 

Kos sara hidup di Lembah Klang contohnya meningkat hampir 5% dengan kenaikan harga barang dan kegagalan kerajaan menyediakan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hasil daripada ketempangan dalam fokus pembangunan modal insan inilah lahirnya kelompok remaja yang menjadi samseng serta keruntuhan nilai akhlak dan moral yang berlaku dalam negara yang menjadi pemain utama dalam siaran berita nasional hari ini.

Pendidikan di dalam negara seharusnya tidak diperniagakan kerana ia adalah tanggungjawab asasi sebuah kerajaan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat mereka bermula prasekolah hingga pengajian tinggi. Ini dibuktikan dengan kemampuan negara–negara membangun yang lain sperti Turki, Finland dan beberapa buah negara yang setaraf dengan kemampuan Malaysia. Kerajaan mesti berusaha kearah pelaksanaan pendidikan percuma berbanding peruntukan yang besar kepada sektor–sektor yang merugikan apatah lagi meruntuhkan pembinaan jati diri mahasiswa.

Malang sekali bagi mahasiswa yang dibebankan dengan pinjaman PTPTN yang sentiasa menghambat mereka, ia menunjukkan tidak nampak ruang yang cerah untuk mereka memenuhi peluang pekerjaan yang disediakan. Ditambah pula dengan dasar baru kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri iaitu menaikkan had umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun memberikan impak yang besar kepada graduan saban tahun. Ini belum lagi dikira akan kebanjiran warga asing yang mengisi tempat kerja yang sepatutnya dipenuhi oleh anak watan.

Terdapat juga kesusahan beberapa buah IPTA dan IPTS yang tidak mencukupi kelengkapan fasiliti yang sempurna hingga masih banyak universiti yang menyewa rumah kedai sebagai tempat pembelajaran dan pengajaran mereka. 

Mereka seolah-olah menjadi pelajar 'tabung uji' dalam keadaan universiti yang tidak bersedia untuk memenuhi keperluan asasi dalam pembelajaran. Tidak ditambah lagi dengan pertumbuhan cawangan-cawangan universiti di kawasan yang tidak strategik serta dilihat lebih kepada memenuhi pembangunan di kawasan menteri–menteri.

Mahasiswa kecewa dengan polisi dan dasar yang digunakan kerana tidak mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan negara pada masa akan datang. Generasi baru mesti melakukan sesuatu khususnya mengharapkan Bajet 2013 yang akan dibentangkan nanti digunakan bukan hanya untuk menjadi ‘gula-gula’ pilihanraya, tetapi menjadi pelaburan penting demi kemajuan negara pada masa hadapan.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Bin Taib Azamudden
Presiden
GabunganMahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)        

ISU EKONOMI : INTI PATI BELANJAWAN 2013




KUALA LUMPUR : Berikut ialah intipati Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Tema Belanjawan 2013 ialah "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.

* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.

* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.

* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.

* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.

* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.

* Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

* KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.

* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.

* Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.

* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.

* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.

* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.

* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* RM500 juta diperuntukkan bagi projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang, RM300 juta untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

* RM358 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014.

* Lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

* Memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. RM5.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

* RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan bekalan benih berkualiti, kestabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.

* RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

* RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit di bawah NKEA sektor perladangan.

* RM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran.

* Empat kawasan jelapang padi baru dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pertambahan seluas 19,000 hektar dengan penyertaan 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104,000 tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak RM140 juta.

* RM230 juta diperuntukkan sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Pada masa ini kerajaan memberi elaun sara hidup RM200 sebulan kepada nelayan, menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insuran nelayan.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.

* Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.

* RM9 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

* Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1 bilion akan disediakan oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.

* Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.

* Dana Infra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.

* Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

* Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.

* Peruntukan modal Dana jamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4 bilion hingga RM6 bilion.

* RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.

* RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pemberian subsidi dan intensif pertanian. Bantuan ini termasuk RM480 juta bagi subsidi dan insentif padi yang merangkumi pemberian subsidi harga padi, RM465 juta pemberian subsidi baja padi, RM80 juta insentif peningkatan hasil padi, RM563 juta insentif pengeluaran harga padi, RM528 juta subsidi harga beras dan RM85 juta subsidi benih padi sah.

* Memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar, yang dapat memanfaatkan 172,000 pesawah. Buat permulaan kerajaan memperuntukkan RM50 juta.

* RM41 juta diperuntukkan bagi projek Azam Tani bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta keluar daripada garis kemiskinan.

* RM38.7 diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

* Peruntukan tambahan RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan "Higher Order Thinking Skills".

* Tambahan RM1 bilion lagi kepada Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

* RM1.2 bilion diperuntukkan bagi pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional.

* Peruntukan RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.

* Kerajaan mencadangkan geran pelancaran RM10,000 kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat.

* Potongan cukai dua kali akan diberi kepada majikan yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan.

* Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.

* Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0 bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015.

* Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada tiga peratus menjelang 2015.

* Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama.

* Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip "nilai untuk wang".

* Peruntukan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi. Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

* Peruntukan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.

* Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.

* Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai.

* Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta.

* Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.

* Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda, membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan kemahiran.

* Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.

* Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Friday 14 September 2012

Pilihanraya Kampus Bersih, Telus dan Berintegriti


PENDAHULUAN
Sejak kebelakangan ini dilihat demokrasi Malaysia semakin dicalari nilai ketulenannya dengan kepentingan tertentu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Pilihanraya kampus juga turut menerima tempias apabila dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka. Pilihanraya kampus yang sewajarnya berada dalam keadaan suasana politik yang paling bersih dan suci telah dikotori dengan politik luar yang berkepentingan . Tindakan mereka amat teliti dan terancang dalam menggunakan jentera kerajaan dan parti politik untuk mematikan idealisma dan aktivisma mahasiswa. Maka atas dasar itu, Pro-Mahasiswa sebagai parti politik mahasiswa yang berteraskan aktivisma dan idealisma mahasiswa dalam gerakan menjadikan “Bersih Kampus” ini sebagai perjuangan utama terutama dalam mendapatkan sistem pilihanraya kampus yang bersih,adil dan berintegriti di Malaysia. Hal ini kerana ketulenan dan kesucian medan pemilihan pemimpin mahasiswa ini  mampu menjamin kepimpinan mahasiswa yang berkualiti untuk masa hadapan negara.

“Academic chairs are many, but wise and noble teachers are few; lecture-rooms are numerous and large, but the number of young people who genuinely thirst after truth and justice is small.”  
- Albert Einstein.

TUNTUTAN
1-Penetapan tarikh pilihanraya kampus
2-Mahasiswa terlibat mengurus pilihanraya kampus
3-Pemantauan perjalanan pilihanraya kampus 
4- Sistem pengundian yang telus 
5- Kebebasan berkempen
6-Peruntukan kepada calon

ISU DAN TUNTUTAN

1-Penetapan tarikh pilihanraya kampus
ISU :
a) Universiti Malaya: Pilihanraya kampus 2012 dilewatkan sehingga bulan September 2012. Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar telah berlaku pada 21 mac 2012. Ini menandakan telah tamat satu sesi kepimpinan mahasiswa selama satu tahun . Ini adalah pengamalan biasa  dalam pemilihan  kepimpinan mahasiswa seperti mana yang tercatat di dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) Perkara 48(4) yang menyatakan bahawa                
                                 
         “Ahli MPP dan pemegang jawatannya hendaklah dipilih selama satu tahun”

Tetapi apa yang terjadi ialah dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada tahun ini tidak berlaku. Walaupun pada awalnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengumumkan dan membuat penerangan tentang sistem pilhanraya kampus termasuklah penerangan dalam sistem baru iaitu sistem zon kepada semua pelajar pada bulan mac tahun ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.  Perkara ini mencacatkan lagi perjalanan pemilihan kepimpinan mahasiswa di kampus sehingga tiada badan rasmi mahasiswa yang dipilih oleh pelajar untuk menguruskan hal ehwal semasa berkenaan kebajikan mahasiswa termasuk juga program-program seperti festival konvokesyen.

b) Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM): MPP yang sudah tamat tempoh tidak diberikan notis pembubaran. Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM sepatutnya berlaku pada sekitar bulan februari 2012 sepertimana yang tertakluk dalam perkara 48(4) Akta Universiti Kolej Universiti apabila telah tamat satu tahun tempoh kepimpinan. Tetapi pembubaran MPP masih tidak dijalankan oleh Hal Ehwal Pelajar sehingga banyak di kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang tahun akhir sudah habis masa belajar dan hanya menunggu masa untuk bergraduasi. Kesannya adalah kepimpinan MPP tidak cukup ahli kerana sudah ramai habis belajar. Pihak HEP juga menganggap MPP adalah badan yang tidak sah . Hal ini demikian kerana ada diantara ahli MPP bukan lagi mahasiswa yang dianggap sebagai sah apabila sudah habis masa belajar dan kesan yang paling buruk dialami oleh mahasiswa, apabila tiada badan khas yang boleh mengurus masalah kebajikan mereka.

TUNTUTAN 
Berdasarkan apa yang berlaku, mahasiswa menuntut tarikh pilihanraya kampus ditetapkan dan diletakkan di dalam takwim setiap universiti. Hal ini kerana :

1-Ketulenan demokrasi yang meraikan kepada persaingan sihat tanpa ada campur tangan politik luar yang boleh mengganggu gugat perjalanan politik kampus.
2-Persediaan yang cukup buat calon mahasiswa yang ingin bertanding .
3-Mendidik kefahaman politik mahasiswa dalam membuat persediaan bagi menghadapi musim pilihanraya kampus.

2-Mahasiswa terlibat mengurus pilihanraya kampus
ISU :
a) Universiti Malaya : 
i - Mahasiswa tidak diberikan kuasa secara langsung untuk membuat keputusan dalam membincangkan berkenaan pilihanraya kampus mereka sendiri. Pihak pentadbiran Universiti membuat perbincangan berkenaan pilihanraya kampus tanpa perbincangan bersama mahasiswa. 

TUNTUTAN : 
Mahasiswa diberikan hak dalam membuat keputusan dalam jawatankuasa  mengurus pilihanraya kampus.  Mahasiswa tidak boleh diketepikan dalam mengurus pilihanraya kampus.  Individu atau pihak yang berhak terlibat dalam mengurus pilihanraya kampus adalah mantan kepada kepimpinan MPP yang lepas. Hal ini demikian kerana :

1-Memastikan pihak pentadbiran bersikap telus dalam mengurus pilihanraya kampus bersama mahasiswa.
2-Mahasiswa mempunyai hak mengurus pilihanraya dan menentukan corak politik dan kepimpinan mereka.
3-Memainkan peranan mahasiswa dalam menentukan kepimpinan mereka dalam menggerakkan pilihanraya kampus.

3-Pemantauan pilihanraya kampus 
ISU:
a) Mahasiswa telah mendapati bahawa wujud konspirasi terancang tangan-tangan asing yang digunakan untuk mematikan aktivisma mereka yang dikenali sebagai OPS 2020. Sebuah jentera yang dirancang oleh Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menyekat kemaraan mahasiswa sebelum Pilihanraya Umum ke 13. Jentera OPS 2020 ini telah dibongkarkan oleh mahasiswa sehingga isu ini dibicarakan oleh parlimen pada 20 jun 2012 yang lepas. OPS 2020 yang menggunakan jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain institusi kerajaan untuk mematikan aktivisma mahasiswa. Maka mahasiswa terpaksa berdepan  juga dengan  jentera kerajaan. 

b) Universiti Putra Malaysia (UPM) : Isu pembatalan kemenangan 10 orang calon Pro-Mahasiswa yang berlaku pada 25 februari 2011. Mereka dibatalkan pencalonan atas alasan berkempen secara berkumpulan. Isu ini kelihatan berat sebelah kerana calon Pro-Mahasiswa sahaja yang digantung kemenangan sedangkan calon Aspirasi tidak dikenakan apa-apa tindakan. Dan melalui isu ini  menyebabkan berlakunya tragedi berdarah pecah pintu di bangunan pentadbiran Universiti Putra Malaysia.


c) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): 
i - Pada waktu pilihanraya kampus 21 februari 2011 jawatankuasa pelaksanan PRK di kolej  memakai baju berlambang Aspirasi untuk meraih undi sedangkan dalam peraturan melarang memakai atau menggunakan sebarang perkara yang melambangkan identiti.

ii - Jawatankuasa pelaksana PRK di kolej telah mencatat nombor siri dan no matrik pelajar yang turun mengundi sedangkan dalam peraturan, kertas undi adalah  rahsia.

iii -  Selain itu, perkara yang berlaku adalah aktiviti memancing undi di tempat membuang undi. Kewujudan kaunter/pondok panas - Buku Panduan Calon . mengikut peraturan pemilihan MPP Bahagian VII Perkara 52 : Kempen tamat pada jam 12.00 malam sehari sebelum hari mengundi dan tidak  dibenarkan memancing undi di kawasan yang ditentukan di tempat mengundi.

TUNTUTAN
Wujud badan bebas yang mampu untuk menilai dan memantau sepanjang proses dan perjalanan pilihanraya kampus setiap universiti. Perkara ini bagi memastikan pilihanraya kampus berjalan secara bersih, telus dan berintigriti sepanjang tempoh pilihanraya kampus tanpa ada pihak lain yang boleh memanipulasi pilihanraya kampus untuk kepentingan peribadi. Antara badan cadangan adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Badan Pemantau Pilihanraya Malaysia (MAFREL) dan  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Hali ini kerana : 

1-Pilihanraya kampus boleh diukur tahap standard ketelusannya.
2-Pilihanraya kampus dapat berjalan secara bersih,telus dan berintegriti tanpa ada pemanipulasian oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab
3-Menunjukkan nilai politik ahli akademik yang mampu berpilihanraya secara dipantau.

4- Sistem pengundian yang telus 
ISU :
a) Universiti Malaya :
 i - Antara yang pernah berlaku adalah ketika pilihanraya kampus januari 2010 apabila sistem e-undi yang dijalankan di Universiti Malaya berlakunya server down  semasa hari pengundian di enam buah komputer di kolej kediaman kedua belas (Raja Dr Nazrin Shah). Hampir 30 orang pelajar terhalang daripada mengundi dalam tempoh masa setengah jam tergendala.
Dan selepas itu,  satu lagi laporan diterima mengenai kes yang sama  kepada komputer-komputer pengundian di pusat mengundi kolej kediaman keempat dan sekali lagi berlaku di pusat mengundi di fakulti ekonomi dan pentadbiran (FEP). perkara ini yang menyebabkan tertubuhnya gerakan mahasiswa “BANTAH E-Voting”.

ii – Dan pada pilihanraya kampus 2011 juga berlaku masalah yang lebih kurang sama apabila tiga lagi sistem e-undi yang diperkenalkan iaitu e-penamaan, e-bantahan, e-rayuan dan e-undi. Selain itu, terdapat juga kriteria tambahan yang ditambah oleh university yang dimasukkan dalam sistem pilihanraya kampus iaitu bengkel untuk calon. 

Beberapa isu kecil telah berlaku antaranya adalah berkenaan calon yang mendaftar agak lewat tetapi masih dibenarkan untuk mendaftar bengkel dan menyebabkan dia ditolak pencalonan. 

b) Universiti Sains Malaysia : 
i – pada pilihanraya kampus 2011 , masalah yang berlaku berkenaan dengan sistem pilihanraya kampus adalah yang pertama berkenaan tentang Borang calon . Tiada penerangan untuk pengendalian borang calon diberikan oleh Hal Ehwal Pelajar. Yang kedua adalah berkaitan dengan data lengkap keputusan akhir yang tidak dipamerkan kepada semua mahasiswa. Bilangan mahasiswa yang turun mengundi secara keseluruhan, dan bilangan undi rosak tidak dipamerkan.

TUNTUTAN :
Pemurnian dan penambahbaikan sistem pilihanraya kampus dengan campuran dwi sistem elektronik dan manual. Pengundian dilakukan  secara elektronik dan boleh  mengeluarkan salinan kertas undi elektronik  untuk dimasukkan ke dalam peti undi untuk membolehkan kiraan semula dibuat . Hal ini kerana :

1-Kiraan semula boleh dibuat apabila berlaku ketidak puas hatian calon yang bertanding atau terdapat perbezaan kiraan undi yang kecil.
2-Menjamin ketelusan sistem pilihanraya tanpa ada manipulasi sistem oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
3-Mengelak perkara-perkara tidak terduga yang boleh menjejaskan sistem elektronik 
seperti penggodaman, putus bekalan elektrik, virus dan lain-lain.

5- Kebebasan berkempen

a) Tempoh kempen
i –Universiti Malaya : Bermula dengan pilihanraya kampus tahun 2010  sehingga tahun 2012 tempoh berkempen dipendekkan daripada tujuh hari kepada hanya 3 hari untuk berkempen kepada 15 ribu orang mahasiswa .Masa yang diberikan ini tidak mencukupi dan terlalu pendek apatah lagi calon yang bertanding terikat dengan jadual kuliah pembelajaran. Hari minggu juga turut dikira sebagai hari berkempen ,hal  ini menyusahkan pelajar untuk berkempen terutama untuk berkempen pada pelajar-pelajar di luar kampus. 

ii – Universiti Sains Malaysia : Tempoh hari berkempen tidak tetap dan dilakukan pada   hari minggu.

iii-– Universiti Teknologi Malaysia : Pada pilihanraya kampus februari 2011 lepas terdapat peraturan baru yang dibuat oleh pihak pentadbiran yang menyekat mahasiswa untuk berkempen. Antaranya :
1-speaker corner hanya boleh diadakan di tempat yang dibenarkan oleh pihak urusetia pilihanraya sahaja.
2-Setiap calon hanya terhad berucap 3 kali sahaja semasa berkempen di speaker corner
3-Tidak dibenarkan berkempen secara berkumpulan.

TUNTUTAN : 
Tempoh berkempen diberikan kepada calon yang bertanding selama 5 hari kuliah. Hal ini kerana :
1-Masa yang lebih mencukupi untuk calon berkempen kepada seluruh mahasiswa kampus.
2- tidak menyusahkan calon untuk berkempen kepada pelajar-pelajar terutama di luar kampus dan boleh fokus berkempen di dalam kampus.

b) Media bebas:
i - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia : -Perkara yang berlaku adalah larangan calon UTHM bagi  menggunakan media laman sosial facebook pada pilihanraya kampus 2011. Kebebasan calon untuk berkempen manggunakan media massa amat terhad dan membelakangi zaman. Calon tidak dibenarkan berkempen menggunakan facebook, twitter, friendster,blog dan media massa lain. 

TUNTUTAN :
Mahasiswa diberikan kebebasan mengunakan apa jenis media dalam berkempen. Hal ini kerana :
1-Membuka seluas-luasnya peluang untuk calon mengekspresikan diri mereka dalam berkempen.
2-Berkempen seiring dengan perkembangan media massa.

c) Lokasi kempen
i - Universiti Malaya : tempat yang diberikan untuk calon mahasiswa berkempen amat terhad dan terpaksa bercampur dengan birokrasi yang tidak sepatutnya timbul. Calon mahasiswa yang diberikan autoriti oleh universiti untuk berkempen disekat untuk berkempen di kolej-kolej kediaman.  Calon terpaksa membuat permohon 2 hari awal untuk mendapat keizinan kolej-kolej kediaman sebelum dibenarkan masuk ke kolej-kolej kediaman sedangkan kolej masih di dalam lingkungan dalam university dan amat bias apabila parti yang berpihak pada university tidak perlu meminta kepada izin kolej kediaman

TUNTUTAN : 
Calon diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen di dalam universiti termasuk kolej kediaman. Hal ini kerana :
1-tidak menghadkan calon mahasiswa untuk berjumpa semua pelajar.
2-Mengelak birokrasi yang boleh merencatkan mahasiswa untuk berkempen.

d) Mekanisma berkempen : Universiti Malaya : Mekanisma atau bahan kempen mahasiswa tidak bebas. Bahan kempen terlalu mengikat calon dan terpaksa mengikut spesifikasi yang tidak bebas. Antaranya ialah bahan kempen yang hanya dihadkan kepada jenis font, saiz fontm kandungan bahan yang tertentu seperti nama calon,fakulti dan gambar sahaja. Segala jenis banner atau poster yang tidak menepati spesifikasi akan ditolak.

TUNTUTAN : 
Calon dibenarkan untuk menggunakan apa sahaja cara dan jenis mekanisma untuk berkempen. Hal ini kerana :
1-Menambah kreativiti mahasiswa dalam berkempen dengan pelbagai jenis bahasa, corak kempen dalam bahan kempen.
2-Memberi corak pilihanraya kampus yang menarik dengan persaingan secara bebas dan sihat.

6 - Peruntukan kepada calon
a) Universiti Malaya : Ramai calon mahasiswa yang bertanding kebiasaanya menggunakan modal sendiri untuk bertanding. Modal dikeluarkan oleh mereka bagi penyediakan dana untuk bahan penerangan, bahan kempen dan lain-lain dalam proses pilihanraya kampus.

b)Universiti Kebangsaan Malaysia : Kebanyakan mahasiswa yang bertanding menggunakan modal sendiri untuk pembiayaan proses penamaan dan kempen dalam pilihanraya kampus

c)Universiti Putra Malaysia : Calon menggunakan duit sendiri dalam proses kempen  setiap pilihanraya kampus.

TUNTUTAN : 
Calon diberikan peruntukan khusus untuk bertanding samada dalam bentuk tunai atau material. Hal ini kerana :

1-Tidak membebankan mahasiswa yang berhutang dan dalam masa yang sama menyiapkan diri untuk bertanding.
2-Memberikan semangat kepada mahasiswa untuk lebih berbakti kepada universiti setelah bertanding.

PENUTUP
Mahasiswa adalah golongan cerdik pandai dan bukan pelajar sekolah. Maka cara didikannya juga adalah dengan cara mahasiswa. Maka dengan ini, Pilihanraya kampus merupakan cerminan kepada pilihanraya umum ke 13 yang akan datang. Demokrasi dan ketelusan dalam pemilihan kepimpinan kampus menjadi pendidikan politik mahasiswa dalam melahirkan bakal  pemimpin negara kelak. Ia perlulah melalui didikan politik dari alam kampus sebelum keluar menjadi pemimpin negara kelak.

Disediakan oleh:
Pro Mahasiswa Nasional

PRK – Cerminan Kecemerlangan Bangsa




Golongan terpelajar dengan title “MAHASISWA” adalah merupakan aset terpenting negara dan bangsa. PERTAMA, kerana populasinya mencecah 45% daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia. KEDUA, kerana golongan ini adalah generasi pewaris yang bakal menerajui negara dan menentukan hala tuju serta tahap yang akan dicapai oleh negara. KETIGA, kerana nilai berilmu pengetahuan yang dapat memberi input berharga kepada pembangunan negara dan bangsa.

Kerana tiga (3) ‘KERANA’ ini, golongan mahasiswa seharusnya dibentuk dan dididik menjadi sebuah generasi yang berkepemimpinan, bertanggungjawab, amanah, berani memperjuangkan hak mereka dan berani bersuara menentang ketidakadilan yang berlaku keatas bangsa mereka.

Nilai berjati diri, dinamik dan unggul ini sudah pasti tidak mampu dibentuk jika hanya dengan kurikulum dan kokurikulum akademik semata. Pembentukan characteristics ini perlu lahir daripada pengalaman dan penghayatan terhadap proses kehidupan sebenar (the real life) yang dipandu dengan dasar kebenaran (al-haq), keadilan (al-‘adl) dan kebebasan (al-hurriyyah).

Penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kampus (PRK) – samada sebagai pengundi ataupun calon – sekurang-kurangnya menjadi cerminan kepada prestasi nilai-nilai tersebut. Ini kerana, partisipasi dalam proses tersebut adalah manifestasi dari kesedaran dan kefahaman terhadap hak dan tanggungjawab sebagai anggota dalam sebuah masyarakat kampus. Menafikan peranan diri dalam proses tersebut adalah suatu sikap meruntuh kecemerlangan masa depan.

Hakikatnya, peratusan keluar mengundi yang hanya sekitar 45-65% sahaja di seluruh kampus di Malaysia adalah sangat memBIMBANGkan. Sedangkan negara memerlukan tenaga dan daya kepimpinan baru untuk menggantikan kepimpinan sedia ada. Sepatutnya PRK dimanfaatkan sebaiknya untuk mengasah bakat serta menonjolkan sifat kepemimpinan dalam diri mahasiswa sekaligus dapat melahirkan mahasiswa yang matang, pro-demokrasi dan berdaya saing dalam menjana suasana politik yang positif pada hari mendatang.

TETAPI proses ini mestilah berlangsung secara bebas, bersih, adil dan sistematik. Tarikh PRK perlu dijadualkan dalam kalendar akademik, mahasiswa mesti diberi ruang menganggotai Election Committee, badan pemantau bebas perlu dilantik, kaedah pengundian mesti yang tidak boleh dimanipulasi dan boleh dinilai semula, kebebasan menggunakan media dan tempoh yang cukup untuk berkempen, dan disediakan peruntukkan dana kepada calon bagi membiayai proses pemilihan dan bagi menjayakan manifesto. Jika proses ini dicabul, generasi yang akan lahir adalah generasi bacul.

Sebagai contoh, masih ADA LAGIKAH (?) mahasiswa yang berani bersuara dan bertindak mempertahankan hak mereka apabila kebenaran menggunakan Main Audi untuk K-Fiqh Politik Islam Semasa yang sepatutnya berlangsung pada 15 September 2012 ini diBATALkan. Mengharapakan pencerahan daripada para sarjana, tetapi dikhianati oleh sang durjana. CELAKA! Apa kita buat?

http://engineermemali.blogspot.com/