Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Peribadi bermaksud manusia itu sendiri dengan fizikal,
aqidah dan akhlaknya, yang berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.
Peribadi yang baik ialah yang memiliki akidah Islam.
Pembentukan akhlak Islam mestilah ditegak diatas empat asas
utama, iaitu:
Pertama: Iman
Kedua: Islam
Ketiga: Takwa
Keempat: Ihsan
Huraiannya:
Sekiranya tidak wujud keempat-empat asas ini pada satu
peribadi maka belum lagi dapat diakui ia benar-benar berakhlak Islam.
Keempat-empat asas ini mesti dibentuk dan ditingkatkan mengikut keutamaan
masing-masing.
Pertama: Iman
Dalam konteks ini asas keimanan mesti diutamakan. Ini kerana
asas-asas yang lain tidak dapat ditegakkan sepenuhnya tanpa asas keimanan.
Keimanan dianggap suatu yang ungul dan memainkan peranan yang positif.
Kekuatannya memberikan inspirasi atau aspirasi yang kuat terhadap pembentukan
asas-asas berikutnya. Sebaliknya, kelemahan iman akan mengakibatkan kelemahan
asas-asas yang lain.
Iman tidak ubah seperti acuan atau benih. Bagaimana acuan
maka begitulah hasilnya dan bagaimana benih maka begitulah pokoknya. Oleh itu
adalah sia-sia sebarang usaha pembentukan akhlak Islam, jika tidak dimulakan
dengan menegakkan asas keimanan terlebih dahulu.
Iman yang dikehendaki di sini ialah iman yang menjadi asas
atau tunjang kehidupan umat Islam dalam semua aspek. Seorang muslim perlulah
beriman sepenuhnya kepada prinsip-prinsip keimanan yang enam, iaitu beriman
kepada Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, Malaikat-Nya, Hari Akhirat dan beriman
kepada Qada dan Qadar.
Iman ini hendaklah hidup subur di jiwa serta menghasilkan
amalan dan usaha yang sesuai dengan kehendak Islam dan diredhai Allah SWT. Kuat
atau lemah, pasang atau surut iman seseorang akan memberi kesan kepada setiap
pekerjaan atau perbuatannya. Jika kuat iman itu maka baiklah perbuatannya.
Sebaliknya jika lemah iman itu maka buruklah perbuatannya.
Kemurniaan hidup masyarakat Islam di zaman Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam dalam semua aspek adalah berpunca dari kekuatan iman yang dibentuk
oleh Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Keberanian, keadilan, kesabaran, persaudaraan dan
perlaksanaan sepenuhnya ajaran Allah dalam kehidupan mereka setiap hari adalah
natijah dan benih keimanan yang tulin. Sebaliknya kejatuhan akhlak yang berlaku
di kalangan muda mudi Islam kini adalah berpunca dari ketandusan iman mereka.
Amalan atau pekerjaan yang berfaedah disisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala ialah
amalan atau pekerjaan yang digerak atau dicetuskan oleh iman.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Sesungguhnya orang-orang
yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati
mereka dan apabila diperdengarkan kepada mereka ayat Allah bertambah lagi iman
mereka dan kepada Allah mereka bertawakal. Mereka mendirikan solat dan
membelanjakan rezeki yang Kami anugrahkan kepada mereka, merekalah orang-orang
yang benar-benar beriman. Mereka memiliki beberapa darjat di sisi Allah serta
mendapat pengampunan dan rezeki yang murah daripada-Nya.” (Surah Al-Anfal ayat
2-4)
Kedua : Islam
Asas kedua dalam pembentukan akhlak Islam ialah Islam itu
sendiri .Islam bermakna ikutan atau perlaksanaan segala titah perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan patuh kepada-Nya semata-mata. Islam merupakan tatacara hidup yang
serba lengkap seperti yang ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam firman-Nya yang
bermaksud: “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu deenmu, dan telah-Ku
cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah redai Islam itu menjadi agama bagimu.”
(Surah Al-Maidah ayat 3)
Islam sahaja merupakan cara hidup yang Allah redai.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Barangsiapa mencari deen
selain deen Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripada-Nya, dan
dia di akhirat termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.” (Surah
Ali-Imran ayat 85)
Ajaran Islam tidak akan dapat dilaksanakan di dalam
kehidupan seseorang tanpa asas pertama kepada pembentukan akhlak Islam, iaitu
keimanan yang hakiki. Selagimana ajaran Islam tidak dituruti sepenuhnya hasil
dari dorongan iman, maka belumlah seseorang itu dapat diakui sudah berakhlak
Isalm.
Perlaksanaan ajaran Islam dengan amalan seseorang adalah
menandakan wujudnya iman dalam jiwanya. Amal dan iman adalah dua perkara yang
tidak boleh dipisahkan.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Sesungguhnya orang-orang
yang beriman mengerjakan amal soleh, mendirikan solah dan menunaikan zakat,
mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekuatiran terhadap mereka
dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah ayat 277)
Ketiga: Takwa
Seorang muslim dianggap bertakwa apabila hatinya benar-benar
takutkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala Dia
juga menyedari bahawa dia akan berhadapan dengan Allah SWT di hari kiamat
kelak. Hidup didunia ini dianggapnya sebagai ujian dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala Justeru itu
dia perlu sentiasa berhati-hati dan mengawasi dirinya agar tidak terjerumus
kedalam perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala Takwa ini
mestilah dibina diatas iman yang sejati.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Hai orang-orang yang
beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa
yang telah dibuatnya untuk hari esok (Akhirat) , dan bertakwalah, kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr
ayat 18)
Keempat: Ihsan
Manakala ihsan pula lahir dari hati yang cintakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala
Cinta yang mendorong seseorang itu bersungguh-sungguh dan penuh minat
melaksanakan ajaran Islam demi mengejar keredaan-Nya. Seorang yang bersifat
ihsan akan mengutamakan orang lain daripada dirinya. Sifat ini melambangkan
ketinggian akhlak seseorang muslim. Dalam menjelaskan ihsan.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman yang bermaksud: "...(iaitu) orang-orang yang menafkahkan
(hartanya) baik diwaktu lapang atau sempit, dan orang-orang yang menahan
amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang
mohsin (bersifat ihsan)." (Surah Ali-Imran ayat 134)
Sahabat yang dikasihi,
Akhir kata suka ditegaskan bahawa akhlak Islam akan lahir
pada peribadi muslim setelah melengkapi asas-asas tadi, iaitu iman, Islam takwa
dan ihsan. Sayugia juga diingatkan bahawa asas pertama (iman) dan kedua (Islam)
adalah syarat mutlak untuk membentuk akhlak Islam. Manakala asas ketiga (takwa)
dan keempat (ihsan) ialah asas-asas yang melengkapi dan menyempurnakannya.