Thursday 27 December 2012

KEKECEWAAN TERHADAP PENERUSAN OPERASI AES OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia GAMIS meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana mahu meneruskan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun pendengaran saman terhadap AES telah dibekukan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC). 

Memetik laporan The Malaysian Insider yang bertajuk 'Putrajaya kekalkan kamera perangkap kelajuan AES walaupun saman dibekukan', Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, "Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu,”. Kong menambah bahawa ia selaras dengan dengan kelulusan perbelanjaan Bajet 2013 yang lalu.


Di sini, GAMIS ingin memberikan beberapa sudut pandang yang penting mengenai AES. Pelaksaan AES ini tiada salahnya jiwa niat asal kerajaan mahu mendisiplinkan rakyat Malaysia di jalan raya, tetapi jika melihat kepada aspek kelajuan semata-mata adalah tidak patut.

Berikut beberapa aspek keselamatan lain yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan:

1. Had lebih muatan oleh jentera berat seperti lori dan bas.
2. Jalanraya yang tidak diturap secara sempurna.
3. Lebihan kereta yang lebih umur 15 tahun di jalanraya.
4. Selaraskan semula had laju, adakah perlu pemanduan laju dihadkan kelajuaannya?

Oleh itu, GAMIS berharap kerajaan menilai semula pelaksanaan AES ini, walaupun niat asal yang baik, tetapi jika pelaksanaan yang mencurigakan dan mengelirukan, rakyat amat-amat tidak berpuas hati.

Saya yang benar,
Mohd Khairul Izzaz Ismail
Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS)



Sunday 23 December 2012

[TERKINI] Mahkamah Benarkan Penangguhan Hukuman Ke Atas Umar


Umar Muhammad Aziz, seorang pelajar kolej swasta yang dijatuhi hukuman sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan menghalang tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mendapat penangguhan hukuman oleh mahkamah pagi ini.

Peguam Umar, Syahredzan Johan memohon mahkamah supaya hukuman penjara sebulan dan denda RM1000 kerana didakwa menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ditangguh sementara keputusan rayuannya disebut semula.

Bagaimanapun Umar tidak hadir kerana masih ditahan di Penjara Kajang, Selangor sejak dijatuhkan hukuman pertengahan minggu lalu.

Umar dibenar diikat jamin RM5000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan kesnya didengar semula.

Syaratnya, dia tidak dibenarkan menyertai mana-mana perhimpunan atau demonstrasi tanpa permit dari pihak berkuasa.

Umar seorang pelajar tahun akhir jurusan diploma dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Hulu Klang.

Umar didakwa pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi” aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil. 

Sementara itu, pelbagai pihak menyokong agar keluarga Umar menyaman Pendakwaraya yang menyebabkan proses rayuan tidak dapat dijalankan.

Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak media kes itu tidak sempat dibuat rayuan kerana ketiadaan pendakwaraya.

“Ini perkara yang memalukan kerana seseorang itu boleh dibebaskan atau ditangguhkan sementara hukuman itu sementara menunggu rayuan.

“Jadi jika pihak pendakwaraya tidak ada, itu menunjukkan mereka tidak serius untuk memastikan keadilan itu ditegakkan,” kata Shamsul, TVSelangor melaporkan.

Umar dibawa ke Penjara Kajang petang kelmarin bagi menjalani hukuman tersebut, selepas gagal mendapat pendengaran penangguhan pelaksanaan hukuman terhadapnya.

Ujar Shamsul lagi, adalah tidak adil apabila seseorang itu dihukum penjara atau ditahan dalam keadaan di mana beliau mempunyai peluang untuk hukumannya ditanguhkan sementara menunggu rayuan.

“Sewajarnya Umar ini tidak perlu ditahan dan dipenjara sementara menunggu rayuan.

“Tindakan menghukum pelajar itu adalah zalim dan memberikan kesan buruk kepada proses demokrasi negara,” katanya.

                          

PTPTN: LAWAN KENA TANGKAP,TAK LAWAN BAYAR HUTANG.



Rentetan daripada isu ‘Occupy Dataran’ pada April 2012 bagi menuntut pemberian PTPTN secara percuma, seorang daripada peserta ‘Occupy Dataran’ tersebut, saudara Omar Muhammad Azmi telah ditahan dan dikenakan hukuman penjara selama sebulan dan denda sebanyak RM1000 atas alasan mengganggu tugas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang ingin menyuraikan keadaan.

Di pihak GAMIS, kami menolak sebarang provokasi yang dilakukan sama ada oleh orang awam atau pihak berkuasa dalam peristiwa ‘Occupy Dataran’. Namun, GAMIS melihat, perkara yang harus diberi tumpuan utama adalah berkenaan tujuan ‘Occupy Dataran’ itu dilakukan, bukan semata-mata melihat kepada isu penahanan saudara Omar.


Perkumpulan siswa di Dataran Merdeka pada April 2012 yang lalu mempamerkan suatu semangat untuk menuntut hak bagi menikmati pendidikan percuma. Walaupun slogan yang dilaungkan adalah tuntutan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun, isu yang harus diberi perhatian adalah berkenaan pendidikan percuma dan usaha untuk meningkatkan kualiti mahasiswa.


Melihat kepada rentetan isu, GAMIS melihat, mahasiswa ini merupakan mangsa kepada seluruh keadaan. Ketika mana mahu menyambung pelajaran, mahasiswa terpaksa meminjam untuk membayar yuran pengajian yang mahal. Dengan peningkatan kos sara hidup, pinjaman PTPTN tidak lagi mampu menampung perbelanjaan harian mereka. Pinjaman PTPTN yang hanya mampu digunakan untuk bayaran yuran pengajian dipersoalkan sedangkan untuk kos sara hidup, mereka terpaksa mencari alternatif kewangan yang lain. 

Keadaan ini menjadi lebih parah apabila mahasiswa harus membayar pinjaman PTPTN bersekali dengan cas tambahan yang membebankan mereka. Maka, perkara inilah yang meledakkan kemarahan mereka, lantas, bertindak secara agresif dengan mengadakan perkumpulan yang disebut sebagai ‘Occupy Dataran’.


Penahanan saudara Omar juga mempamerkan perlekehan terhadap penuntutan hak mahasiswa yang harus dipandang serius oleh pihak kerajaan.Penahanan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk melihat permasalahan yang berlaku dalam institusi pendidikan tinggi. Sekali lagi, mahasiswa menjadi mangsa kerana menuntut hak mereka yang telah dikorupsikan dek kerana sistem pengajian sedia ada mula diperdagangkan, bahkan tidak lagi berhasrat untuk melahirkan manusia yang mengerti soal adab dan disiplin dalam pencarian ilmu.


Pada akhirnya, GAMIS berpendirian, perkara sebenar yang harus dipandang oleh pihak kerajaan adalah berkenaan isu pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Permasalahan sebenar harus diperhalusi, dan setiap tindakan mahasiswa yang berlaku pada hari ini adalah sebagai suatu respons kepada kebejatan masalah yang berlaku dalam institusi. Oleh kerana itulah, GAMIS mendesak pihak kerajaan untuk menyelami isu ini secara lebih mendalam. 

Sekiranya isu ini tidak dapat diselesaikan, perkara ini menggambarkan betapa parahnya institusi pengajian tinggi yang dipengaruhi oleh campur tangan politik dalam pentadbiran. Satu persoalan, adakah harus dipersalahkan kepada manusia yang menjadi kesan pada sebuah struktur pentadbiran?

Saya yang benar,
Muhamad Azan Safar
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Tuesday 18 December 2012

GAMIS Sedia Hadapi PRU13


Kuala Lumpur – Menjelang pilihanraya umum ke 13 yang akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) telah mengadakan bengkel bagi persiapkan jentera diperingkat mahasiswa untuk menempuh Pilihanraya Umum Malaysia 13.

Bengkel yang berlangsung selama 3 hari bermula 14 hingga 16 Disember itu disertai oleh 40 orang perwakilan GAMIS dari seluruh Malaysia mewakili GAMIS Pusat dan juga GAMIS negeri.

Menurut Mohd Faiz Ismail selaku Naib Presiden Jaringan Kampus GAMIS merangkap urusetia program, “Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk selaraskan dan persiapkan ahli GAMIS seluruh Malaysia untuk menghadapi PRU 13.”

Menurut beliau lagi, bengkel ini bertujuan untuk memberi kemahiran kepada perwakilan dari GAMIS negeri berkenaan kepimpinan, pengurusan isu,  serta pengendalian program.

Turut hadir  Presiden GAMIS Muhammad Azan Safar, Timbalan Presiden Eikhwan Ali, Ketua Penerangan GAMIS saudara Izzaz Ismail dan pimpinan SIGMA.


Antara resolusi yang disepakati, adalah  mewujudkan gelombang pilihanraya ke seluruh kampus sebagai cara untuk memberi kesedaran politik dikalangan mahasiswa, mengadakan himpunan GAMIS negeri di seluruh Malaysia dan mempersiapkan jentera diperingkat Mahasiswa di seluruh Malaysia.

Muhd Faiz Ismail dalam ucapan beliau dibengkel tersebut berkata, “Ini adalah langkah pertama untuk mahasiswa, GAMIS khususnya bersiap-siaga dengan jentera mahasiswa PRU13 seluruh negara untuk menolak UMNO dan Barisan Nasional.”


Turut berucap Timbalan Presiden GAMIS Saudara Eikhwan Ali, “Mesej jelas daripada mahasiswa dan anak muda hari ini di seluruh negara bagi menghdapi pru13, mahasiswa mahu tukar kerajaan.”

Presiden GAMIS Muhammad Azan Safar menegaskan bahawa ahli GAMIS hari ini sudah bersedia uuntuk berhadapan dengan pilihanraya umum 13 dan pendirian GAMIS jelas, mahu tukar kerajaan.

“GAMIS sudah bersedia menghadapi pilihanraya dan mesej kami jelas, mahasiawa mahu tukar kerajaan.” Azan Safar. 

TIADA LAGI MANDAT UNTUK UMNO


Pilihanraya adalah mekanisme penting dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Ia adalah proses pengurniaan mandat dan kuasa rakyat kepada seseorang individu dan sesebuah parti untuk mentadbir sesebuah negeri dan negara bagi menjamin kemerdekaan, memelihara keamanan, memacu kemajuan dan menegakkan keadilan untuk rakyat dan tanah air ini.

Proses ini mesti berlangsung dengan tiga (3) unsur; [1] partisipasi menyeluruh rakyat, [2] jaminan kebebasan asasi, dan [3] proses yang bersih dan adil. Idea pendaftaran automatik dan penurunan umur kelayakan sebagai pengundi adalah cadangan bijaksana bagi memastikan lebih ramai rakyat terlibat. Rakyat mesti dijamin kebebasan asasi mereka seperti kebebasan bersuara, berparti dan berhimpun, tanpa sekatan menggunakan pelbagai undang-undang dan peraturan. Reformasi pilihanraya perlu berlaku dengan membersihkan senarai pemilih, akses media yang saksama dan penolakan terhadap budaya politik kotor dan samseng.

Bersilih-ganti sesebuah parti kepada parti yang lain untuk mengetuai kerajaan adalah suatu yang normal bagi proses ini di negara-negara yang mengamalkan demokrasi secara telus. Doktrinisasi dan persepsi bahawa pertukaran ini adalah suatu yang negatif yang dilancarkan adalah kerana dua (2) perkara; [1] kebimbangan yang teramat sangat oleh sesebuah parti terhadap kemandirian partinya untuk terus kekal berkuasa, dan [2] menganggap bahawa rakyat terlalu dangkal untuk membuat pilihan bagi menentukan kerajaan.

Secara terus-terang dan seluruh rakyat sedang merasai hal ini, UMNO sedang resah gelisah, lalu rakyat cuba diperbodoh-bodohkan. Bimbangnya UMNO kerana ia diketuai seorang Presiden merangkap Perdana Menteri yang belum mendapat mandat rakyat sehingga ke hari ini, dan sehingga ke hari juga UMNO belum yakin untuk mendapatkan mandat daripada rakyat melalui pilihanraya. Jika kalah, keadaan ini tidak mudah untuk UMNO pasrah sementelah lagi ia telah berkuasa selama lebih separuh abad. Sebelum ia terpaksa pasrah, UMNO pasti tidak tentu arah untuk tidak mahu menyerah.

Pasca PAU 2012 telah membuka mata rakyat terhadap budaya politik UMNO dan prestasinya sebagai teras kerajaan BN. Melalui PAU 2012, rakyat dapat melihat betapa UMNO sedang mengalami krisis keyakinan dan kesetiaan para anggotanya yang agak keterlaluan. 

Berkali-kali amaran supaya jangan sabotaj dan mesti sokong calon parti, jelas mendedahkan realiti itu, dan rakyat pula sudah maklum bahawa ia memang wujud dalam UMNO buat sekian lama. Diikuti pula dengan insiden provokasi dan pukul, yang sememangnya sebati dengan UMNO yang mempraktikkan budaya politik kotor dan samseng. UMNO juga tidak sunyi daripada terus terpalit dengan isu-isu rasuah dan kronisme.

Sebagai kerajaan pula, UMNO tidak berkeupayaan langsung menyelesaikan isu-isu evergreen seperti kebejatan sosial yang berpunca daripada hiburan melampau dan pergaulan bebas sehingga anak luar nikah yang direkodkan sehingga ke tahun 2010 berjumlah lebih 250,000 orang, sejumlah 76,200 graduan mengganggur tanpa peluang pekerjaan, sejumlah besar siswazah pendidikan tidak mendapat tempat, peningkatan kos sara hidup sehingga menyebabkan 300,000 hingga 400,000 buah keluarga dikategorikan dalam kumpulan miskin melampau, dan harta rakyat terus dirompak melalui rampasan royalti dan pelaksanaan undang-undang seperti AES. Beginilah cara UMNO dan BN melaksanakan agenda “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Dalam hal ini, pendirian GAMIS adalah jelas dan tegas bahawa kunci bagi memastikan Malaysia untuk terus aman, makmur, mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian, sejahtera dan berkebajikan ialah dengan memastikan UMNO tidak lagi diberi mandat untuk mentadbir Malaysia pasca pilihanraya umum ke-13 akan akan datang. MALAYSIA TANPA UMNO.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI

Tuesday 11 December 2012

PENDIRIAN GAMIS TERHADAP SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK (AES)




Sejak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diperkenalkan pada 23 September 2012, banyak rungutan dari pengguna jalan raya. Hal ini kerana, kadar kompaun yang dikenakan ialah minimum RM300. Jumlah ini, adalah sangat besar bagi seorang bergelar MAHASISWA.

Pelaksanaan AES pula mencakupi aspek kesalahan:

1) Tidak mematuhi lampu isyarat
2) Memandu melebihi had laju

Persoalan yang ingin ditimbulkan:

1) Apakah kemalangan hanya berlaku disebabkan pemanduan melebihi had laju?


2) Bagaimana pula dengan pemanduan pada lorong yang salah?

3) Bagaimana keadaan infrastruktur jalan dalam negara? Air bertakung di jalan? Jalan yang tidak diturap rata?

GAMIS menyokong 100% usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Cuma, kerajaan perlu lebih kreatif untuk mengenali masalah. Dengan meletakkan asas kelajuan sebagai punca kemalangan semata-mata, maka, kewujudan AES menjadi statik.

Malahan,cara ini dilihat lebih kepada ingin mendenda dari menyelesaikan masalah.

Jika inginkan pemandu menjaga disiplin dan etika ketika pemanduan, GAMIS mencadangkan agar Malaysia mencontohi Korea. Contohnya di Korea dalam tahun 1990-an, sepanjang jalan raya utama ada polis memantau pemandu agar berdisiplin. Memandu beberapa kilometer kita akan jumpa polis. Hal ini lebih berkesan dan efektif memandangkan Malaysia mempunyai bilangan polis trafik yang sangat ramai di seluruh Malaysia.

GAMIS memohon pelaksanaan AES disemak semula. Kadar kompuan minimum RM 300 ADALAH SANGAT BESAR bagi mereka yang bergelar MAHASISWA.

GAMIS suara MAHASISWA!

Saya yang benar,
Muhammad Azan Safar,
Presiden GAMIS.


DUHAI PEMUDA, KENAPA PERLU BERKAHWIN?



Perkahwinan adalah kaedah terbaik bagi menolong menguatkan agama dan menghindari bisikan syaitan. Ia adalah benteng pertahanan daripada musuh-musuh Allah dan orang mukmin. Perkahwinan adalah penawar terbaik bagi mengubati jiwa yang kesunyian. Perkahwinan juga penawar terbaik bagi memenuhi segala kehendak dan keinginan manusia terhadap satu sama lain. Sesungguhnya perkahwinan adalah salah satu perkara yang sangat dibenci oleh syaitan apabila ia dilakukan oleh orang yan beriman.

Sabda Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam (maksudnya), "Apabila salah seorang daripada kamu melihat seorang wanita, lalu dia tertarik kepada wanita itu, maka dia harus kembali kepada isterinya, kerana hal ini akan dapat menepis apa yang ada dalam jiwanya." - Riwayat Muslim

Allah Taala melarang sama sekali umatnya untuk hidup membujang seperti para pendeta yang beranggapan mereka harus fokus kepada keperluan jiwa sahaja. Hal ini merupakan satu penyimpangan yang jelas daripada fitrah manusia yang berkaitan dengan keperluan biologi seorang manusia tersebut.

Berkahwin dan berkeluarga merupakan Sunnatullah dan juga sunnah Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam yang harus diikuti oleh manusia yang beriman. Dengan perkahwinan, keinginan nafsu dapat dipenuhi dalam bingkai Ilahi. Dan nikah ini juga mestilah secara syari’e bukan sesama jenis seperti apa yang sudah berlaku di Negara Eropah malah sudah mula menjangkiti umat manusia di bumi Malaysia.



"Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa'); dan dari pada keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."  [Surah an-Nisa':1]

Sudah menjadi fitrah manusia, yang lelaki pasti akan tertarik kepada perempuan. Begitu juga sebaliknya. Lantaran itu Islam menggalakkan perkahwinan. Ini bagi memenuhi fitrah. Sekiranya tidak melalui proses perkahwinan, pelbagai keburukan pasti berlaku. Perkahwinan boleh mencegah perbuatan-perbuatan keji seperti zina. Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam sendiri menegah umatnya menghampiri zina. Apabila seseorang lelaki melihat seorang perempuan, dengan pandangan syahwat, dia perlu segera kembali ke rumah dan mendapatkan isterinya kerana apa yang dimiliki oleh perempuan yang dilihatnya itu juga dimiliki oleh isterinya.


Firman Allah Taala :







"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan bagimu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." [Surah ar-Rum:21]

Firman Allah Taala lagi :



"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi maha mengetahui." [Surah An-Nuur:32]

Daripada ayat di atas, Allah Taala menerangkan kepada kita bahawa Dia telah menciptakan para isteri kepada suami mereka daripada kalangan mereka sendiri supaya mereka menjadi lebih cenderung supaya saling mengasihi antara satu sama lain. Mereka mempunyai persamaan, sama ada persamaan daripada segi manusia, emosi, naluri, bangsa ataupun budaya. Apabila ada perbezaan daripada pelbagai segi sama ada bangsa, adat dan budaya, pasti akan berlaku perselisihan faham antara satu sama lain.

Hal ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengahwini orang yang tidak sama sebangsa atau berbeza adat dan budaya. Namun, pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga perlu memahami tujuan perkahwinan itu sendiri sebelum melaksanakannya.


Perkahwinan adalah sebab bagi meramaikan umat Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Ini kerana di akhirat kelak, Baginda Rasulullah juga boleh berbangga kerana memiliki umat yang ramai. Perkahwinan sangat penting bagi membentuk institusi kemasyarakatan. Melalui perkahwinan, ia akan membentuk institusi kekeluargaan yang akan mencurahkan kasih sayang kepada kanak-kanak, menghasilkan anggota masyarakat yang baik yang di dalamnya diisi oleh anggota masyarakat yang kuat, berkembang dan maju.


Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala berkata: "Alangkah baiknya kamu mencari sebab untuk berkahwin, menjaga adab-adab perkahwinan dan jelas dengan tujuan perkahwinan."

tarbawi.my


Monday 3 December 2012

ISU PALESTIN - GAMIS SANGGAH ILMU


Iman adalah perjanjian taat setia (baiah) dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam untuk mengakui keesaan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan kenabian Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam serta untuk mengengkari taghut– pihak yang menyimpang dari jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan melakukan kezaliman mengikut hawa nafsu tanpa batas.


Al-Mu’min yang sebenar ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, dan terus dengan keimanan itu tanpa ragu serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka. Menjelaskan ciri-ciri ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan) imannya.”
(al-Hujurat : 15)

Warga Palestin Kental Iman

Perkara yang menyebabkan manusia menjadi ragu-ragu ialah kerana kebimbangan dan kerisauan terhadap rezeki dan ajal mereka. Lalu tugas-tugas jihad ini diabaikan kemudian ditinggalkan kerana tidak beriman dengan sifat Ar-Razak Allah Subhanahu wa Ta'ala Padahal ulat di dalam batu sekalipun telah disediakan rezeki oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sesuai dengan kebesaran dan kemuliaan sifat-Nya.

Maka disebabkan itulah perbuatan jihad yang merupakan buah daripada iman ini telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk memperoleh al-fauz ul-‘azim (kemenangan yang besar). Kemenangan itu sama ada kemuliaan ganjaran jihad dan mati syahid atau kemenangan ke atas musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Oleh itu, hanya orang yang mempunyai kekuatan iman mampu keluar ke medan perang dan bertahan di medan perang sehingga dia mendapat salah satu ketentuan Allah kepadanya; syahid atau kemenangan. Warga Palestin, setelah berlalunya beberapa zaman dan generasi, terus dengan semangat dan cita-cita mereka untuk membebaskan Palestin. Inilah bukti kekentalan iman umat Islam Palestin.

Perang di Palestin adalah Jihad

Jihad yang berasal dari kalimah al-juhd dengan pengertian keperitan dan kesusahan tidak bebas dari tiga tabiat: 

[1] Wujudnya usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh yang digembleng. [2] Adanya matlamat dan cita-cita suci lagi tinggi untuk dicapai, dan 
[3] Berhadapan dengan musuh yang menghalang dan menentang usaha dan perjuangan tersebut. Jihad di lapangan manapun dan dengan cara apa sekalipun mestilah sesuai dengan tuntutan jihad fi sabilillah yang bermatlamatkan mendapat keredhaan, keampuanan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Penafian tidak berlakunya jihad di Palestin adalah suatu kenyataan yang bercanggah sekali dengan Al-Quran. Perbuatan jihad yang dilakukan oleh warga Palestin dengan melibatkan ketenteraan, penggunaan senjata dan sehingga berlakunya korban yang tidak sedikit adalah selari dengan tuntutan Allah Subhanahu wa Ta'ala iaitu untuk: 

[1] Mempertahankan pencerobohan dan kezaliman dari pihak musuh, serta sebagai pembelaan ke atas umat Islam yang dihalau dari tanah airnya sendiri (al-Hajj:39). 
[2] Membalas dan mempertahankan pencerobohan musuh (al-Baqarah:190). 
[3] Membela kaum muslimin yang lemah dan tidak terdaya dan yang telah dizalimi.

Warga Palestin Ada Kekuatan

Barangkali benar kekuatan warga Palestin atau briged 'Izz ad-Din al-Qassam, sayap tentera HAMAS, tidak setanding dengan kekuatan Israel Defense Force (IDF). Namun, perkara ini tidak bermakna warga Palestin perlu melarikan diri dari medan jihad sedangkan tuntutan-tuntutan jihad itu telah jelas. Sirah Nabawiyyah pula telah memperlihatkan bahawa tidak pernah kekuatan persenjataan kaum muslimin mengatasi kekuatan persenjataan musuh. Dalam hal ini, apa yang dituntut ialah mempersiap sediakan segala kekuatan yang mampu disediakan (Al-Anfal:60).

Al-Qassam telah pun menunaikan tuntutan ini. Buktinya, briged itu masih mampu bertahan walaupun pertempuran itu telah berlangsung buat sekian lamanya. Ini beerti bahawa briged itu mempunyai kekuatan dan upaya yang tidak sebarangan. Walaupun seawal penubuhannya Al-Qassam hanya mampu memiliki senapang, kini Al-Qassam telah berupaya menghasilkan roket, senjata ringan automatik, bahan letupan dan mortar buatan sendiri. Menurut bekas pengarah CIA juga, briged ini mempunyai keupayaan untuk melakukan serangan menggunakan bahan toksid.

Bukan Gerila

IDF dan CIA memang mengakui bahawa Al-Qassam adalah sebuah pasukan tentera yang memiliki ribuan anggota dengan pelbagai tahap kemahiran dan professionalism. Sudah pasti pasukan sebegini akan melakukan tindakan ketenteraan secara berstrategik dan beperancangan serta dengan arahan kepimpinan, bukannya membabi buta.

Operasi amaliah istisyhadiah (serangan berani mati) pula selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Pelbagai pertubuhan ulama’ mengakui operasi ini antaranya, Jabhah Ulama’ Al-Azhar, Rabitah Alami Islami, Majlis Fatwa Kebangsaan Jordan, Majlis Fatwa Ulama’ Pakistan, Rabitah Ulama’ Palestin, Majlis Ulama’ Indonesia. Mereka membuat kesimpulan bahawa mati akibat operasi ini adalah syahid. Ramai Ulama’ Islam juga menyokong operasi ini antaranya Dr. Wahbah Az-Zuhailiy, Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti, Dr. Yusof Al-Qaradhawi dan Dr. Muhammad Abu Faris.

Warga Palestin itu membela tanah airnya, bumi Islam, agama, kemuliaan dan umatnya. Mereka benar-benar syahid kerana mengorbankan nyawa dengan kerelaan di jalan Allah, ikhlas kerana Allah dan dalam keadaan mereka terpaksa melakukan cara sedemikian untuk menggerunkan musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta'ala yang jelas-jelas menyatakan permusuhannya dan bangga dengan kekuatan mereka yang didukung oleh kuasa besar lainnya.

Boikot Sangat Praktikal

Tindakan boikot barangan Yahudi Zionis dengan cara mengenali produk keluaran mereka dan memulaukan barangan tersebut serta memilih barangan tempatan atau selain daripada produk sekutu mereka adalah diiktiraf oleh ulama’ sebagai antara langkah praktikal untuk membantu warga Palestin. Antara ulama’ yang menyokong usaha ini ialah Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Syeikh Abdullah Jibrin, Dr. Hamman Said, Dr. Muhammad Abu Faris, Dr. Naser Farid Wasil, Fatwa Majlis Ulama’ Sudan, dan Fatwa Majlis Ulama’ Palestin.

Kempen boikot ini sangat berkesan, pelbagai contoh dapat dilihat seawal pelancarannya pada 2002, McDonalds terpaksa menutup operasinya di timur tengah, dua daripada enam McDonalds di Jordan juga ditutup, di Mesir pula nama McDonalds ditukar kepada Manfoods dan 175 cawangannya telah ditutup. Amazon.com pula telah memutuskan hubungannya dengan Jurusalem Post.

Otomotif Texas Export, sebuah syarikat eksport kereta US juga telah membatalkan urusan jual beli dengan Israel. Kesan daripada boikot juga, Sharon terpaksa memohon bantuan kecemasan daripada Washington dan Israel mengalami inflasi yang melambung tinggi. Maka dakwaan bahawa boikot adalah semangat, angan-angan kosong dan khayalan semata adalah suatu kebodohan.

Salah Tindakan Hijrah Keluar dari Palestin

Seruan supaya warga Palestin berhijrah keluar dari Palestin dengan bersandar kepada peristiwa hijrah Nabi ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam ke Madinah adalah sangat tidak tepat. Umat Islam berhijrah bersama Nabi ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam dari Makah, yang bukan di bawah kekuasaan kaum muslimin ke Madinah adalah untuk membina kuasa dan negara bagi umat Islam. Adapun Palestin adalah hak milik kekuasaan umat Islam.

Meninggalkannya beerti menyerahkan secara percuma tanah air milik kaum muslimin itu kepada Israel laknatullah, menghalalkan jenayah perang yang dilakukan mereka, merelakan kehormatan dan maruah umat Islam dicabul, dan pasti sekali jika sedemikian, Allah akan mencabut rasa gerun musuh terhadap umat Islam, hilanglah izzah bagi umat Islam. Dalam konteks perundangan antarabangsa pula, undang-undang atau kerajaan negara mana yang akan mengizinkan keadaan tersebut berlaku?

Kesimpulan

GAMIS merasakan amat kecewa sekali terhadap iLMU dengan pendirian sedemikian. Tidak hairanlah jika imej Islam yang ditonjolkan UMNO banyak sekali bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan mengelirukan umat Islam.

Saya sekali lagi ingin menegaskan pendirian GAMIS sebagaimana yang telah  dikemukakan oleh Presiden GAMIS, Muhammad Azan Safar, “GAMIS menyokong penuh perjuangan HAMAS dan warga Palestin untuk terus berurusan dengan Israel dengan ‘bahasa darah’. HAMAS dan rakyat Palestin pasti sekali akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid.”


Wallahu'alam.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI,
Timbalan Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).