Monday, 5 November 2012

PRU13: AGENDA KHAS GAMIS BARU

 
Muhamad Azan Safar


Sepang, 4 Nov: Muktamar Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia 2012 (GAMIS) yang telah selesai semalam menjadikan PRU-13 sebagai agenda khas Gamis sesi ini.

Muktamar yang dihadiri hampir 200 orang perwakilan dari seluruh negara itu merupakan transisi kepimpinan Gamis era Akram Ikrami Taib Azamudden kepada Presiden baru, Muhamad Azan Safar.

Menurut beliau, PRU-13 dan Pasca PRU-13 menjadi agenda khas Gamis bagi sesi ini kerana mahasiswa perlu memimpin massa untuk melakukan perubahan.

“Cabaran buat mahasiswa ialah memimpin massa dalam menghadapi perubahan, dan PRU-13 merupakan salah satu medan untuk perubahan”

“Sekiranya ahli Gamis mahukan Gamis berwajah baru, maka ahli Gamis juga mesti berubah menjadi baru, baik dari segi pemikiran dan juga sahsiah” tegas Muhamad Azan Safar.

Beliau yang merupakan Presiden Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) turut mencabar ahli Gamis, “Saya mencabar kalian supaya berani mencabar kelaziman. Kita bukan ahli gerakan yang pengikut setia tradisi generasi dahulu!”

Ini sejajar dengan tema ucapan dasar beliau iaitu “Mahasiswa Memimpin Perubahan.” Ucapan dasar tersebut merangkumi 5 paksi utama iaitu, 1-Tabiyah Gerakan Bersifat Membina. 2- Dakwah Era Baru Gamis. 3- Jaringan Strategik Gamis. 4- SIGMA Perintis keterampilan Wanita Malaysia. 5- Kepimpinan dan Budaya Kerja Profesional.

Yang menariknya, pihak Gamis memberi penghormatan kepada front mahasiswa lain iaitu Haluan-Siswa, PKPIM dan Karisma sebagai tetamu jemputan muktamar.

 Berikut Merupakan Organisasi Terkini GAMIS sesi 2012/2013



 Presiden : Muhamad Azan Safar (UKM)
Timbalan Presiden : Mohd Eikhwan Bin M.Ali (UIA)

Pengerusi SIGMA : Aqilah Mukhtar (UPM)
Timbalan Pengerusi SIGMA : Nur Adiela Kamarizzaman (UIA)

Naib Presiden (Strategik & Mobilasi Massa) : Syis Abd Kadir (UM)
Naib Presiden (Jaringan Kampus) : Mohd Faiz Ismail (UPSI)

Setiausaha : M.Farid Hadhari M.Rusdi (USIM)
Timbalan setiausaha 1 : Adilah Hafizah Abd Halim (UPSI)
Timbalan setiausaha 2 : Hamiza Hani Omar (UKM)

Bendahari : M.Nazrin Bin M.Zohir (KUIS)
Timbalan Bendahari : Nur Liyana Omar (UKM)

Ketua Penerangan : Mohd Khairul Izzaz B. Ismail (UIA)
Timbalan Penerangan : Siti Rabiatul Adawiyah (UM)

Majlis Politik Nasional : Ahmad Afif Zulkipli (UKM)
Timbalan Majlis Politik Nasional : Sofwatul Aufa Bakri (UM)

Majlis Dakwah dan Kebajikan : Mohd Syakirin Bin Md Zahar (UPM)
Timbalan Majlis Dakwah dan Kebajikan : Atikah Abd.Rahman (UIA)

Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan Nasional : Muhd Afdzal Shahabuddin (USIM)
Timbalan Majlis Tarbiyah dan kepimpinan Nasional : Siti Fatimah Rosli (UM)

Sunday, 4 November 2012

Tahniah & Takziah Pimpinan baru GAMIS Pusat


GAMIS Negeri Perlis mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh pimpinan GAMIS pusat yang mana telah berlangsung pada 2 & 3 Nov 2012. Mesyuarat Agung Tahunan merupakan salah satu agenda tahunan bagisesebuah organisasi kepimpinan bagi memberi ruang kepada ahli untuk bermuhasabah dan menilai sesi pentadbiran pada kali ini seterusnya membuat penambahbaikan bagi sesi kepimpinan akan datang. 

Hakikat yang harus kita akui adalah,kepimpinan itu bukanlah suatu ‘tasyrifan’ (kemuliaan) semata-mata, tetapi ianya merupakan ‘taklifan’ (tanggungjawab dan amanah) yang harus dipikul dan dilaksanakan dengan sebaiknya oleh setiap  pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli di bawah kepimpinannya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Kepimpinan adalah suatu amanah dan di akhirat kelak ia akan menjadi kehinaan dan penyelasan kecuali bagi mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya”. 

GAMIS Negeri Perlis selaku rakan seperjuangan bagi sesi 2011/2013 merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan GAMIS pusat sesi lepas yang telah banyak mencurahkan khidmat dan jasa yang terbaik bagi menerajui gerakan mahasiswa dalam memimpin kebangkitan dengan kesedaran Islam. 

Sekalung tahniah buat saf kepimpinan  Presiden (GAMIS) yang diketuai oleh saudara Akram Ikrami Taib Azamudden selaku mantan Presiden (GAMIS) yang telah selesai bersidang dalam Muktamar Sanawi kali ini. Terima kasih atas khidmat dan bakti cemerlang sepanjang kepimpinan.

Seluruh kepimpinan GAMIS Negeri kelantan mengucapkan tahniah dan takziah juga kepada Presiden GAMIS  12/13, Saudara Muhamad Azan Safar (UKM) serta kepimpinan yang baru dilantik. Semoga GAMIS terus melangkah dengan agenda dakwahnya didalam melahirkan generasi da'ei dan terus memacu agenda membangun mahasiswa. Perjuangan perlu diteruskan bersama dengan kepimpinan yang telah diberikan amanah kepada mereka. Sesungguhnya amanah kepimpinan adalah suatu yang besar dan berat tanggugjawabnya. 

Mudahan kita mampu menghadapinya.

عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبدَ الرحمنِ لا تَسْأَلِ الإمَارَةَ فَإنَّكَ إِنْ أُوتِيتَها عن مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إليها وإِنْ أُعْطِيتَها مِن غيرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عليها


Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)


Memegang satu tampuk kepimpinan adalah satu perkara yang berat. Sekiranya disusun dengan perancangan yang baik dan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, insya Allah segalanya akan berjalan dengan baik. Sesungguhnya kepimpinan itu bukanlah tasyrifan (kemuliaan) namun ianya adalah satu amanah dan taklifan buat insan itu sendiri.


SEKALI LAGI kami dari pimpinan GAMIS Negeri Perlis mengucapkan TAHNIAH DAN TAKZIAH Buat saff kepimpinan baru Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Sesi 2012/2013 : 



1) Presiden : Muhamad Azan Safar (UKM)
2) Timbalan Presiden : Eikhwan Ali (UIAM)
3) Naib Presiden (Strategik & Mobilasi Massa) : Syis Abdul Kadir (UM)
4) Naib Presiden (Jaringan Kampus) : Mohd Faiz Ismail (UPSI)
5) Pengerusi SIGMA : Nur Aqilah Mukhtar (UPM)
6) Timbalan Pengerusi SIGMA : Nur Adiela Kamarizzan (UIAM)



Mudahan kita semua berada dalam jalan ini dengan penuh istiqamah..

Siiru a'la barakatillah...



Tuesday, 23 October 2012

HUDUD: JANGAN JADI "SYAITAN BISU"





Islam sekali lagi dihina dan diperlekehkan oleh Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek berkenaan pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia.

Soi Lek yang secara berani mengutuk pelaksanaan Hudud di Malaysia dengan mengatakan 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya Hudud dilaksanakan. Dalam kenyataan lain, Soi Lek juga mendakwa negara yang melaksanakan Hudud dianggap sebagai antara negara yang paling korup, tidak stabil dan tidak selamat 

Persoalannya sekarang, di mana suara mereka yang berautoriti dalam institusi agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato seri Jamil Khir Baharom? Adakah penghinaan sekeji ini terhadap agama Islam masih lagi mengulik mimpi  pihak penguasa yang sepatutnya menjadi benteng barisan hadapan? 

Satu penegasan dan tindakan mesti dilakukan sebagaimana keseriusan yang dilakukan oleh JAKIM terhadap gejala kerosakan aqidah umat Islam. Hudud yang datangnya daripada Allah swt mengatasi ideologi serta logik akal pemikiran manusia. Justeru, penegasan tindakan yang sama mesti dilakukan JAKIM khususnya Dato Seri Jamil Khir  terhadap perbuatan merosakkan aqidah umat Islam serta pemahaman orang bukan Islam terhadap hudud tanpa sebarang pengaruh parti politik.

Amat sedih juga buat umat Islam, apabila para mufti turut menutup mulut terhadap penghinaan ini. Malaysia dengan komposisi mufti di setiap negeri dan antara mufti teramai di dunia, tidak mampu memanfaatkan tanggungjawab yang diamanahkan. Bukanlah bertujuan menghina para mufti yang bertaraf ulama serta disanjungi masyarakat, akan tetapi inilah isi hati betapa suara berpengaruh mufti itu perlu diterjemahkan kelapangan masyarakat yang teraba-raba mencari kebenaran.

Persoalan undang-undang jenayah Islam yang menjadi kewajipan terhadap umat Islam untuk dilaksanakan mestilah menjadi tanggungjawab pemerintah serta mereka yang diberikan autoriti besar dalam negara untuk berusaha ke arah itu. Di samping kita berusaha memahamkan masyarakat Islam terhadap Undang-undang Islam, jangan kita membutakan mata terhadap tentangan yang dilakukan oleh Musuh Allah SWT yang berniat jahat terhadap Islam. 

Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) menyerus semua pihak, ahli politik, ahli akademik, NGO dan juga individu menjadi agen penerangan soal keindahan undang-undang Islam. Pihak kerajaan Barisan Nasional perlu menggunakan jentera media kerajaan untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa undang-undang Islam tidak zalim malah menjamin hak asasi manusia.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Taib Azamudden,
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Monday, 15 October 2012

Karya : Mengiktiraf Pusat Pengajian Pondok


DR MASHITAH IBRAHIM
12 Oktober 2012

Pondok adalah institusi pengajian tertua di negara ini. Kedatangan Islam di Nusantara menyemarakkan penubuhan banyak pondok yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran pelbagai ilmu agama Islam.

Secara tradisionalnya, ia tempat belajar di mana tok mudir atau tok guru tinggal bersama pelajar dalam rumah kecil atau pondok di kawasan sama, biasanya berhampiran madrasah atau masjid. Dalam bahasa Arab, perkataan ‘funduq’ bererti rumah penginapan atau tumpangan pengembara.

Ada pengkaji berpendapat sistem pendidikan ini berasal dari Patani, ada pula yang kata ia dari Indonesia. Apa pun, sistem ini telah berkembang sejak ratusan tahun di negara ini, dipelopori oleh ulama dan tok guru yang gigih. Pertumbuhannya tidak dirancang, namun berkembang kerana sokongan dan sambutan masyarakat Melayu-Islam setempat.

Tetapi pada zaman British dan Jepun, banyak pondok ditutup. Di bawah penjajah, institusi pondok dianggap mundur terutama dengan kemunculan sekolah agama Arab dan Inggeris yang menawarkan pembelajaran moden. Selain persaingan sistem pendidikan moden, perubahan sosiobudaya masyarakat, kekurangan bantuan dana serta ketiadaan pelapis kepada pengasas atau tok mudir yang meninggal dunia  menyebabkan kemerosotannya dari segi bilangan pondok dan pelajar.

Namun selepas Merdeka, bilangan pondok dan pelajar bertambah, dan kini lebih 100 yang berdaftar dengan pihak jabatan agama negeri. Bagaimanapun, bilangan pondok yang tidak berdaftar juga banyak. Hanya di Perlis, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pondok.

Saya sendiri belajar di Pondok Taufiqiyah Alhalimiyah atau Pondok Pak Ya Batu 16, antara puluhan pondok yang terdapat di Kedah. Tok guru saya ialah Ustaz Yahya Joneid. Ramai yang panggilnya Pak Ya saja. Pada saya ketika umur 11 tahun, beliau seorang yang garang. Beliau selalu buat spot check untuk memastikan pelajar masuk kelas mengaji.

Seperti di pondok-pondok lain, saya dan rakan pelajar mengaji secara tradisional. Kami tinggal di pondok, mencedok air dari bendang dan masak sendiri. Kami belajar hafalan dan luah kitab moden dan kitab kuning. Antaranya Matan Ujrumiyah, Ibn Aqil, Matlaul Badrain, Sairus Sadikin dan banyak lagi. Kami juga bergiat dalam nasyid dan diberi latihan kepimpinan.

Di kebanyakan pondok, pelajar diajar feqah, usul-al-fiqh, tauhid, tasauf, usuluddin, tafsir (al-Quran dan Hadis), akhlak, tajwid, sirah nahu bahasa Arab, kesusasteraan Arab dan tulisan jawi. Sistem pendidikan tidak formal ini dilakukan dalam bentuk halaqah, iaitu pelajar duduk dalam lingkungan separa bulat, mengelilingi tok guru mereka. Selain itu, kaedah pembelajaran ialah syarahan, perbincangan, perdebatan dan penceritaan. Pelajar juga didedahkan kepada marhaban, berzanji dan qasidah.

Sistem sanad yang diamalkan di pondok tidak mengehadkan umur atau jantina. Sesiapa saja boleh ikuti pelajaran dan menimba ilmu, asalkan berminat. Tempoh belajar dan tinggal di pondok mungkin dua tahun, atau lima tahun, ada sehingga 10 tahun. Biasanya tiada yuran dikenakan. Namun, soal akhlak dan disiplin sangat ditekankan.

Tok mudir dan tok guru selalu memantau, justeru hubungan rapat antara mereka dengan pelajar menerapkan tutorship by example. Maknanya pelajar belajar teori dan mempraktikkan amalan seharian tok mudir dan tok guru mereka.

Keupayaan institusi pondok melahirkan generasi celik al-Quran dan pelajar yang hebat, sehingga ada yang menyambung pelajaran ke Timur Tengah, atau berkhidmat sebagai guru agama atau pensyarah, imam, bilal, kadi atau penghulu. Ada yang membuka pondok sendiri. Malah, ada yang menjadi wakil rakyat, ahli parlimen, senator, menteri Kabinet, menteri besar hatta perdana menteri !

Hari ini, institusi pengajian pondok sudah banyak berubah. Walaupun masih banyak pondok yang kekal dengan cara tradisi halaqah, sanad dan talaqqinya, sudah ada yang moden sehingga bertaraf universiti. Ada yang sudah bertukar status menjadi sekolah agama rakyat atau sekolah agama Arab. Yang jelas, sumbangan institusi pondok kepada pendidikan Islam di negara ini dan kelahiran modal insan berkualiti cukup besar dan perlu diberi pengiktirafan.

- Sinar Harian

Sunday, 14 October 2012

Anak muda cenderung sinikal pada politik, kata Timbalan Menteri KPT




Struktur dan proses demokrasi negara perlu diperluas dan diperdalam bagi membolehkan generasi muda terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata secara umum, generasi muda cenderung bersikap skeptikal dan sinikal terhadap politik, namun rata-ratanya masih mempunyai keyakinan kepada amalan demokrasi.

"Untuk mendapatkan keyakinan mereka, demokrasi perlu ditambah baik. Dalam banyak cara, lakukan transformasi terhadap proses dan struktur institusi demokrasi yang akan meletakkan kedudukan demokrasi pada tempatnya," katanya pada Forum Anak Muda dan Demokrasi Tempatan anjuran Penang Institute di George Town malam tadi.

Forum yang dikendalikan Pengarah Akademi Pak Sako, Dr Afif Baharudin itu turut diambil bahagian anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan aktivis anak muda dari Diskopi Group, Teo Lee Ken.


Anak Muda Komponen Penting Masyarakat 




Saifuddin berkata golongan muda mempunyai kedudukan yang sangat penting dan mereka harus diletak sebagai komponen masyarakat yang bergerak bersama-sama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam menggubal sesuatu dasar.

Beliau berkata penglibatan generasi muda dalam membuat keputusan tidak boleh diabaikan malah perlu

ditegakkan kedudukannya.

"Saya fikir kita ada rentetan peristiwa dan sejarah yang menunjukkan ada masa dan ketikanya suara itu (suara generasi muda) didengar dan diterjemahkan sebagai dasar. Sebagai contoh, kalau ikut kronologi bermula dengan mahasiswa minta supaya Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di Universiti Malaya.

"Mahasiswa antara yang menuntut ditubuhkan sebuah universiti menggunakan bahasa kebangsaan, maka lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pelajar, antara yang paling vokal minta supaya dilahirkan Universiti Islam dan Bank Islam, dan itu sudah diwujudkan," katanya.

Suara Anak Muda Perlu Didengari


Beliau berkata lazimnya, generasi muda mempunyai tiga permintaan yang harus dipenuhi iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf dan isu-isu mereka diselesaikan dengan cara bersesuaian.

Justeru, Saifuddin berkata perkara yang penting dilakukan ialah bagaimana untuk memperkasa golongan muda bagi mengupayakan mereka berfikir dan bertindak sendiri.

Teo pula mencadangkan pihak yang memegang autoriti supaya mewujudkan rangkaian rasmi bagi melibatkan orang muda secara langsung dalam hal pentadbiran dan pembentukan dasar pada peringkat kerajaan negeri dan pusat.

"Jika dilihat terdapat layanan selektif diberi kepada anak muda. Penglibatan mereka lebih menonjol dalam aspek budaya dan hiburan tetapi dari segi ekonomi, sosial dan politik kumpulan ini dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata pendidikan sangat penting terutamanya kepada golongan muda yang dilihat dapat membantu mereka untuk menyertai proses membuat keputusan di semua peringkat negara.

Teo turut menggesa generasi muda untuk berhenti mengamalkan corak pemikiran lapuk yang mengharapkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka sebaliknya berusaha mengubah nasib sendiri.

Katanya demokrasi memerlukan penglibatan anak muda secara total kerana golongan inilah yang akan mewarisi apa sahaja yang ditinggalkan generasi sebelum mereka.

- Bernama