Thursday, 10 January 2013

KEPIMPINAN DALAM ISLA M






KEPIMPINAN DALAM ISLAM

(Ciri-ciri dan akhlak pimpinan)


PENDAHULUAN

Dalam Islam kepimpinan amat perlu dalam membina dan membangunkan sesebuah organisasi atau persatuan. Gagal atau berjayanya sesebuah organisasi itu banyak ditentukan oleh ciri-ciri dan gaya pemimpin organisasi berkenaan. Firman Allah SWT:


يدَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَـكَ خَلِيفَةً فِى الاٌّرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلاَ تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدُ بِمَا نَسُواْ يَوْمَ الْحِسَابِ

Bermaksud, “Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shaad ayat 26.) 

Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah yang mesti dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat RA ketika Abu Zar Al-Ghiffari meminta jawatan, Baginda SAW menjawab: "Wahai Abu Zar.. Sesungguhnya ini amanah, engkau amat lemah, apabila engkau tidak menunaikan haknya ia akan memberikan penghinaan kepadamu di akhirat nanti.." (maksud Hadis)

Tindakan Saidina Abu Bakar apabila mendepani kewafatan Rasulullah SAW, tindakan utama yang dilakukan oleh beliau sebelum menguruskan jenazah baginda SAW ialah bermesyuarat untuk memilih Khalifah sebagai pengganti Rasulullah SAW.

PENGERTIAN KEPIMPINAN 

Kepimpinan adalah sejenis hubungan perilaku manusia, pengaruh, daya tindakan serta penghalangnya kearah matlamat yang tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan. Hakikatnya kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khilafah di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan prosses pembersihan sesebuah organisasi. Sebagaimana firman Allah SWT:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِى أَنفُسِهِمْ حَرَجاً مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيماً

Bermaksud, “Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.” (Surah an-Nisaa’ ayat 65.)

Nabi SAW memerintahkan kepimpinan walau di dalam kumpulan yang sedikit jumlahnya. Sebagaimana sabda Nabi SAW. 

عَنْ ‏أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏قَالَ‏إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُم

Maksudnya, “Jika tiga orang keluar dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka memilih salah satu diantaranya sebagai pemimpin." (HR.Abu Daud)

GELARAN PEMIMPIN 

1.      Al-Khalifah
2.      Waliyul’amr
3.      Al-Imam
4.      Al-Sultan
5.      Al-Malik
6.      Amirul Mukminin


SYARAT-SYARAT KEPIMPINAN DALAM ISLAM

Pemimpin yang berkesan dalam sesebuah organisasi adalah pemimpin yang bersifat terbuka, menerima pandangan orang bawahan, sentiasa mendapatkan maklumat yang benar dan tepat bagi melaksanakan sesuatu tindakan, berkemahiran, bertanggungjawab dan sntiasa mewujudkan suasana yang selesa dalam organisasi. 

Islam telah meletakkan syarat-syarat kepimpinan untuk menjamin kejayaan sesebuah negara dan kerajaan sekaligus mempermodelkan Islam dalam kepimpinan dan pemerintahan, antaranya ialah,


Pertama: Muslim (Islam), ‘akil baligh dan lelaki

Firman Allah SWT:

          يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَـرَى أَوْلِيَآءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّـلِمِينَ - فَتَرَى الَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَـرِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِىَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُواْ عَلَى مَآ أَسَرُّواْ فِى أَنفُسِهِمْ نَـدِمِينَ

Yang bermaksud : ”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.” (Surah al-maaidah ayat 51-52).(1)

Ayat di atas menjelaskan kerjasama dalam gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis ketaatan  (wala’) kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

Kedua: Adil 
Seorang pemimpin mestilah tidak fasik seperti tidak meninggalkan solat, beramal dengan segala amalan yang di ketahui selagi mana amalan tersebut tidak menyalahi kata-kata dan perbuatan serta tidak menyalahi landasan islam.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإْحْسَانِ وَإِيتَآءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْى يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Bermaksud, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, member kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberimu pengajaran agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl ayat 90)

Ketiga: Berilmu
Seorang pemimpin mestilah mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah sehingga dapat membezakan diantara yang ma’aruf dan yang mungkar serta mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan pimpinan. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali berkata : "Sesungguhnya Islam yang diperjuangkan atas landasan kejahilan akan lebih memudharatkan berbanding serangan musuh Islam. Malangnya kebanyakan pendukung Islam adalah dari kalangan orang-orang jahil.”

Keempat: Mempunyai kuasa dan kemampuan
Bermaksud boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan atau masalah yang berlaku samada melalui tenaga, perkataan,tulisan atau fikiran dalam segala aspek.

Kelima: Beradab mengikut akhlak Islam
Seseorang pemimpin mestilah mampu memberi contoh tauladan mengikut akhlak Islam kepada diri dan orang di bawah pimpinanya. Selain itu, di dalam dirinya mestilah mengandungi sifat ikhlas, jujur, tidak angkuh, riya' dan sebagainya malah seorang pimpinan haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji dan jauh dari sifat-sifat yang terkeji.
Firman Allah SWT :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Bermaksud, “Sesungguhnya telah adaa pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik begaimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah Al-Ahzab: Ayat 21)


Keenam: Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan
Firman Allah SWT

لَّيْسَ عَلَى الضُّعَفَآءِ وَلاَ عَلَى الْمَرْضَى وَلاَ عَلَى الَّذِينَ لاَ يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلَّهِ وَرَسُولِهِ

Maksudnya, "Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, sakit dan orang-orang yang tidak memperolehi apa yang akan mereka nafkahka, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasulnya."  (Surah al-Maidah ayat 91.)


AKHLAK DAN SIFAT YANG PERLU ADA PADA DIRI PIMPINAN

Model kepimpinan melalui teladan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda SAW dengan meletakkan dunia di tangan mereka dan meletakkan akhirat di hati mereka adalah asas penolakan pengaruh materialis, sekularis, liberalis, paragmatis dan semua unsur luar yang mencemarkan kesucian Aqidah dan pegangan Umat Islam. Maka Islam telah menggariskan akhlak dan sifat-sifat yang perlu ada dalam diri setiap pimpinan. 

Antaranya :

1. Seorang pimpinan mestilah sentiasa mengharapkan akhirat dengan ikhlas kerana Allah semata mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh dari segala penyakit jiwa yang akan meruntuhkan amal dan usahanya seperti riya’, gila kuasa, cinta pangkat kebesaran dan pengaruh atau terpedaya dirinya dan lain-lain penyakit jiwa yang merosakkan pimpinan.

2. Mempunyai akal yang kuat, hikmah, cerdik cendiakawan dan arif bijaksana, berpengalaman, mempunyai pandangan yang tajam, pembacaan yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari berbagai sudut.

3. Mestilah berakhlak dengan sifat “Al-Hilm” (tidak mudah marah), penyantun, pengasih dan lemah lembut.

4.      Berani, bermaruah, tidak penakut dan tidak membabi buta.

5.      Mempunyai sifat “As-Siddiq” (benar di dalam segala kata-kata, sikap dan perbuatan).

6.      Tawadhu’ (merendah diri), tidak membanggakan diri kepada menusia.

7.  Mempunyai sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan kepada oerang bawahan yang berbuat jahat terhadapnya.

8. Menepati janji dan memenuhi sumpah setia.

9. Mempunyai sifat sabar yang tinggi

10. Bersifat “Al-‘Iffah” (suci hati,jiwa dan amal) dan “Al-Kiram” (bersifat pemurah dan tidak bakhil).

11.  Warak dan zuhud

12.  Jauh dari sifat “Al-Mannu” (mengungkit) dan memperkatakan kebaikkan diri sendiri.

13.  Memelihara perkara-perkara yang dimuliakan Allah (Hurumatillah).

14.  Kesejahteraan hati, tidak melayani orang yang mengumpat dan mengadu domba antara sesame manusia.

15.  Keazaman, tawakal dan tidak ragu.

16.  Bersederhana di dalam segala perkara

17.  Menjauhi sikap putus asa

Kesemua akhlak dan sifat-sifat yang di sebutkan tadi perlu dimiliki oleh setiap pimpinan samada pimpinan persatuan, politik, Negara dan sebagainya. Mereka berkewajipan untuk menghiasi dirinya dengan sifat-sifat tersebutserta memeliharanya, disamping memelihara akhlak islam secara keseluruhannya yang wajib ke atas setiap muslim.


PENUTUP

Apabila kriteria kepimpinan Islam dijadikan syarat utama dalam memilih pemimpin, maka Keizzahan Islam itu akan terserlah dalam Pemerintahan Negara secara praktikal. 

Saidina Umar RA berkata: "Kita adalah kaum yang diberi kemuliaan dengan Islam, maka sesiapa yang mencari selain daripada Islam, Allah akan memberi kehinaan kepadanya."

Mauqaqis Gabenor Mesir mengakui kehebatan kepimpinan Islam apabila melihat keperibadian tentera Amru bin Al-'Ash yang diutus kepadanya : "Demi Tuhan, kalau demikian sikap mereka, walaupun gunung menghalang cita-cita, namun mereka tetap dapat meruntuhkannya juga. Sesungguhnya tidak ada sesiapapun yang sanggup berhadapan dengan kaum yang sedemikian."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Pemimpin yang paling baik ialah mereka yang datang menemui para Ulama` dan Ulama` yang paling jahat ialah mereka yang datang menemui para Pemimpin (ulama`pengampu pimpinan)." (maksud hadis)

Di sediakan oleh:
FELO MANHAL PMRAM 2011

Wednesday, 2 January 2013

AMANAT HAJI HADI – POLITIK PONDAN UMNO


Saya pada awalnya tidak bercadang untuk turut berpartisipasi dalam memberi respon berkenaan isu ini memandangkan ia telah pun ‘berusia’ 31 tahun apatah lagi pada tahun 1981 itu saya belum pun dilahirkan lagi dan saya juga tidak pun berkesempatan dengan fenomena seperti apa yang diceritakan oleh orang-orang lama seperti sembahyang dua imam, majlis akad nikah dua kali atau memulau majlis kenduri perkahwinan atau tahlil kematian.

Pelik sungguh apabila isu ini dibangkitkan semula setelah Malaysia bertukar-ganti 2 orang Perdana Menteri, 8 orang Yang Di-Pertuan Agong, 5 orang Ketua Polis Negara, 5 orang Pengerusi Jawatankuasa Fatwa dan 10 orang Ketua Hakim Negara. Sepatutnya, sudah pasti isu ini telah ‘selesai’ setelah berlalu pelbagai peristiwa sementelah lagi setelah pembatalan muzakarah yang sepatutnya diadakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dulu.

Jika benar sesat amanat itu, bodoh benarlah orang-orang agama kerajaan sehingga perlu memakan masa 31 tahun untuk mendakwa sesatnya amanat itu, belum lagi membuktikannya. Lebih logik ialah, bukan amanat itu yang sesat, dan tidak menyesatkan pun, sebaliknya UMNO yang sedang memperalat. Ulama’, media dan institusi awam diperalat untuk memastikan UMNO boleh terus berehat, sebab UMNO kini sedang tenat.

UMNO menghangat isu ini dengan harapan berjaya memperdaya belia seusia saya yang merupakan ‘new voters’ dan dengan tujuan menghilangkan kepercayaan dan keyakinan pengundi Melayu-Islam terhadap kewibawaan sebuah parti Islam dan seorang ulama’ negarawan yang dilihat semakin terkehadapan dan berjaya meraih sokongan bukan sahaja daripada orang-orang Islam bahkan juga daripada bukan Islam. Ini kerana, undi pengundi baru dan Melayu-Islam adalah penting bagi UMNO untuk ia terus mandiri dengan kekuasaannya yang sudah berumur lebih 50 tahun itu.

Sungguh-sungguh UMNO ‘manfaatkan’ apa yang ia miliki untuk matikan karakter TG Hj. Abdul Hadi Awang setelah gagal berkali-kali dalam cubaan memecahkan muafakat Pakatan Rakyat. TG Hj. Abdul Hadi Awang didesak bertubi-tubi supaya memohon maaf kepada umat Melayu dan menarik semula kenyataannya yang telah pun berusia hampir separuh umur beliau.

Nah! Tiba-tiba ulama’ ini hanya minta 1 jam siaran langsung daripada RTM dan TV3 untuk membuat penjelasan dan kemudian menyerahkannya kepada rakyat untuk membuat penilaian. Dibandingkan dengan serangan yang menelan minggu dan puluhan tulisan yang menyerang beliau, 1 jam ini permintaan yang kecil sangat, mudah dan padan sangat jika hendak ditunaikan. Tetapi, jawapan Menteri, “…boleh sahaja kita rakam. Kalau sesuai baru kita siar.” PONDAN sungguh politik UMNO. Mula-mula bersungguh-sungguh ajak bertumbuk, bila lawan dah setuju dan nyatakan lokasi, tiba-tiba kecut perut pula. PONDAN!

Saya kira sudah-sudahlah isu ini terus dipolemikkan. Generasi baru Malaysia mahukan politik yang ‘constructive’, bukannya ‘provokatif’ dan ‘destructive’. Generasi baru Malaysia juga tidak mahukan politik PONDAN, diajak berdebat, “bukan budaya kita”, diminta siaran langsung, “kalau sesuai kita siarlah”, akhirnya, politik samseng dan fitnah juga jadi pilihan. MALAYSIA TANPA UMNO.

Eikhwan Ali,
Timb Presiden GAMIS.

2013: Tukar Kerajaan Kepada Yang Lebih Adil


Kuala Lumpur- Lebih 1000 mahasiswa bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS) telah berkumpul di Dataran Merdeka sewaktu Sambutan Tahun Baru 2013 dalam operasi Dakwah Dirasai Gamis (ORKED 2013).

Dalam operasi tersebut, Presiden Gamis, Muhamad Azan Safar melancarkan kempen "Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan" dengan menetapkan tahun 2013 sebagai tahun perubahan dari kekejaman rejim kepada keadilan pemerintahan.

Menurut laman portal rasmi GAMIS, tindakan ini dibuat kerana mahasiswa sudah tidak boleh tahan lagi dengan tindakan kerajaan ke atas mahasiswa dari sudut pembiyaan kos pengajian yang semakin naik, hutang PTPTN dan peluang pekerjaan selepai graduasi nanti.


Ditambah pula dengan politik kotor yang dimainkan kerajaan seperti budaya kronisme yang berlegar-legar dalam kerajaan.


Oleh itu, GAMIS bersama mahasiswa komited untuk memperjuangkan nasib rakyat demi melihat Malaysia berkembang pesat, maju dan sejahtera rakyatnya, GAMIS berpendirian tegas bahawa kerajaan hari ini perlu ditukar dengan kerajaan yang lebih adil dan saksama.

Acara klimaks pada malam sambutan tahun baru 2013, ORKED 2013 GAMIS di Dataran Merdeka adalah gimik mahasiswa membakar kain rentang mahasiswa tukar kerajaan, beberapa topeng pemimpin politik negara seperti YAB Najib Abdul Razak dan Dato’ Seri Rais Yatim.

Reaksi ini memberi mesej jelas kepada kerajaan sekarang bahawa kempen GAMIS ‘Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan’ akan rancak berlangsung di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada rakyat akan kezaliman pemerintah sekarang.


Tahun 2013 tahun perubahan!



Thursday, 27 December 2012

KEKECEWAAN TERHADAP PENERUSAN OPERASI AES OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia GAMIS meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana mahu meneruskan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun pendengaran saman terhadap AES telah dibekukan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC). 

Memetik laporan The Malaysian Insider yang bertajuk 'Putrajaya kekalkan kamera perangkap kelajuan AES walaupun saman dibekukan', Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, "Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu,”. Kong menambah bahawa ia selaras dengan dengan kelulusan perbelanjaan Bajet 2013 yang lalu.


Di sini, GAMIS ingin memberikan beberapa sudut pandang yang penting mengenai AES. Pelaksaan AES ini tiada salahnya jiwa niat asal kerajaan mahu mendisiplinkan rakyat Malaysia di jalan raya, tetapi jika melihat kepada aspek kelajuan semata-mata adalah tidak patut.

Berikut beberapa aspek keselamatan lain yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan:

1. Had lebih muatan oleh jentera berat seperti lori dan bas.
2. Jalanraya yang tidak diturap secara sempurna.
3. Lebihan kereta yang lebih umur 15 tahun di jalanraya.
4. Selaraskan semula had laju, adakah perlu pemanduan laju dihadkan kelajuaannya?

Oleh itu, GAMIS berharap kerajaan menilai semula pelaksanaan AES ini, walaupun niat asal yang baik, tetapi jika pelaksanaan yang mencurigakan dan mengelirukan, rakyat amat-amat tidak berpuas hati.

Saya yang benar,
Mohd Khairul Izzaz Ismail
Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS)



Sunday, 23 December 2012

[TERKINI] Mahkamah Benarkan Penangguhan Hukuman Ke Atas Umar


Umar Muhammad Aziz, seorang pelajar kolej swasta yang dijatuhi hukuman sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan menghalang tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mendapat penangguhan hukuman oleh mahkamah pagi ini.

Peguam Umar, Syahredzan Johan memohon mahkamah supaya hukuman penjara sebulan dan denda RM1000 kerana didakwa menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ditangguh sementara keputusan rayuannya disebut semula.

Bagaimanapun Umar tidak hadir kerana masih ditahan di Penjara Kajang, Selangor sejak dijatuhkan hukuman pertengahan minggu lalu.

Umar dibenar diikat jamin RM5000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan kesnya didengar semula.

Syaratnya, dia tidak dibenarkan menyertai mana-mana perhimpunan atau demonstrasi tanpa permit dari pihak berkuasa.

Umar seorang pelajar tahun akhir jurusan diploma dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Hulu Klang.

Umar didakwa pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi” aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil. 

Sementara itu, pelbagai pihak menyokong agar keluarga Umar menyaman Pendakwaraya yang menyebabkan proses rayuan tidak dapat dijalankan.

Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak media kes itu tidak sempat dibuat rayuan kerana ketiadaan pendakwaraya.

“Ini perkara yang memalukan kerana seseorang itu boleh dibebaskan atau ditangguhkan sementara hukuman itu sementara menunggu rayuan.

“Jadi jika pihak pendakwaraya tidak ada, itu menunjukkan mereka tidak serius untuk memastikan keadilan itu ditegakkan,” kata Shamsul, TVSelangor melaporkan.

Umar dibawa ke Penjara Kajang petang kelmarin bagi menjalani hukuman tersebut, selepas gagal mendapat pendengaran penangguhan pelaksanaan hukuman terhadapnya.

Ujar Shamsul lagi, adalah tidak adil apabila seseorang itu dihukum penjara atau ditahan dalam keadaan di mana beliau mempunyai peluang untuk hukumannya ditanguhkan sementara menunggu rayuan.

“Sewajarnya Umar ini tidak perlu ditahan dan dipenjara sementara menunggu rayuan.

“Tindakan menghukum pelajar itu adalah zalim dan memberikan kesan buruk kepada proses demokrasi negara,” katanya.