Tuesday 23 October 2012

HUDUD: JANGAN JADI "SYAITAN BISU"





Islam sekali lagi dihina dan diperlekehkan oleh Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek berkenaan pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia.

Soi Lek yang secara berani mengutuk pelaksanaan Hudud di Malaysia dengan mengatakan 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya Hudud dilaksanakan. Dalam kenyataan lain, Soi Lek juga mendakwa negara yang melaksanakan Hudud dianggap sebagai antara negara yang paling korup, tidak stabil dan tidak selamat 

Persoalannya sekarang, di mana suara mereka yang berautoriti dalam institusi agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato seri Jamil Khir Baharom? Adakah penghinaan sekeji ini terhadap agama Islam masih lagi mengulik mimpi  pihak penguasa yang sepatutnya menjadi benteng barisan hadapan? 

Satu penegasan dan tindakan mesti dilakukan sebagaimana keseriusan yang dilakukan oleh JAKIM terhadap gejala kerosakan aqidah umat Islam. Hudud yang datangnya daripada Allah swt mengatasi ideologi serta logik akal pemikiran manusia. Justeru, penegasan tindakan yang sama mesti dilakukan JAKIM khususnya Dato Seri Jamil Khir  terhadap perbuatan merosakkan aqidah umat Islam serta pemahaman orang bukan Islam terhadap hudud tanpa sebarang pengaruh parti politik.

Amat sedih juga buat umat Islam, apabila para mufti turut menutup mulut terhadap penghinaan ini. Malaysia dengan komposisi mufti di setiap negeri dan antara mufti teramai di dunia, tidak mampu memanfaatkan tanggungjawab yang diamanahkan. Bukanlah bertujuan menghina para mufti yang bertaraf ulama serta disanjungi masyarakat, akan tetapi inilah isi hati betapa suara berpengaruh mufti itu perlu diterjemahkan kelapangan masyarakat yang teraba-raba mencari kebenaran.

Persoalan undang-undang jenayah Islam yang menjadi kewajipan terhadap umat Islam untuk dilaksanakan mestilah menjadi tanggungjawab pemerintah serta mereka yang diberikan autoriti besar dalam negara untuk berusaha ke arah itu. Di samping kita berusaha memahamkan masyarakat Islam terhadap Undang-undang Islam, jangan kita membutakan mata terhadap tentangan yang dilakukan oleh Musuh Allah SWT yang berniat jahat terhadap Islam. 

Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) menyerus semua pihak, ahli politik, ahli akademik, NGO dan juga individu menjadi agen penerangan soal keindahan undang-undang Islam. Pihak kerajaan Barisan Nasional perlu menggunakan jentera media kerajaan untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa undang-undang Islam tidak zalim malah menjamin hak asasi manusia.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Taib Azamudden,
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Monday 15 October 2012

Karya : Mengiktiraf Pusat Pengajian Pondok


DR MASHITAH IBRAHIM
12 Oktober 2012

Pondok adalah institusi pengajian tertua di negara ini. Kedatangan Islam di Nusantara menyemarakkan penubuhan banyak pondok yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran pelbagai ilmu agama Islam.

Secara tradisionalnya, ia tempat belajar di mana tok mudir atau tok guru tinggal bersama pelajar dalam rumah kecil atau pondok di kawasan sama, biasanya berhampiran madrasah atau masjid. Dalam bahasa Arab, perkataan ‘funduq’ bererti rumah penginapan atau tumpangan pengembara.

Ada pengkaji berpendapat sistem pendidikan ini berasal dari Patani, ada pula yang kata ia dari Indonesia. Apa pun, sistem ini telah berkembang sejak ratusan tahun di negara ini, dipelopori oleh ulama dan tok guru yang gigih. Pertumbuhannya tidak dirancang, namun berkembang kerana sokongan dan sambutan masyarakat Melayu-Islam setempat.

Tetapi pada zaman British dan Jepun, banyak pondok ditutup. Di bawah penjajah, institusi pondok dianggap mundur terutama dengan kemunculan sekolah agama Arab dan Inggeris yang menawarkan pembelajaran moden. Selain persaingan sistem pendidikan moden, perubahan sosiobudaya masyarakat, kekurangan bantuan dana serta ketiadaan pelapis kepada pengasas atau tok mudir yang meninggal dunia  menyebabkan kemerosotannya dari segi bilangan pondok dan pelajar.

Namun selepas Merdeka, bilangan pondok dan pelajar bertambah, dan kini lebih 100 yang berdaftar dengan pihak jabatan agama negeri. Bagaimanapun, bilangan pondok yang tidak berdaftar juga banyak. Hanya di Perlis, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pondok.

Saya sendiri belajar di Pondok Taufiqiyah Alhalimiyah atau Pondok Pak Ya Batu 16, antara puluhan pondok yang terdapat di Kedah. Tok guru saya ialah Ustaz Yahya Joneid. Ramai yang panggilnya Pak Ya saja. Pada saya ketika umur 11 tahun, beliau seorang yang garang. Beliau selalu buat spot check untuk memastikan pelajar masuk kelas mengaji.

Seperti di pondok-pondok lain, saya dan rakan pelajar mengaji secara tradisional. Kami tinggal di pondok, mencedok air dari bendang dan masak sendiri. Kami belajar hafalan dan luah kitab moden dan kitab kuning. Antaranya Matan Ujrumiyah, Ibn Aqil, Matlaul Badrain, Sairus Sadikin dan banyak lagi. Kami juga bergiat dalam nasyid dan diberi latihan kepimpinan.

Di kebanyakan pondok, pelajar diajar feqah, usul-al-fiqh, tauhid, tasauf, usuluddin, tafsir (al-Quran dan Hadis), akhlak, tajwid, sirah nahu bahasa Arab, kesusasteraan Arab dan tulisan jawi. Sistem pendidikan tidak formal ini dilakukan dalam bentuk halaqah, iaitu pelajar duduk dalam lingkungan separa bulat, mengelilingi tok guru mereka. Selain itu, kaedah pembelajaran ialah syarahan, perbincangan, perdebatan dan penceritaan. Pelajar juga didedahkan kepada marhaban, berzanji dan qasidah.

Sistem sanad yang diamalkan di pondok tidak mengehadkan umur atau jantina. Sesiapa saja boleh ikuti pelajaran dan menimba ilmu, asalkan berminat. Tempoh belajar dan tinggal di pondok mungkin dua tahun, atau lima tahun, ada sehingga 10 tahun. Biasanya tiada yuran dikenakan. Namun, soal akhlak dan disiplin sangat ditekankan.

Tok mudir dan tok guru selalu memantau, justeru hubungan rapat antara mereka dengan pelajar menerapkan tutorship by example. Maknanya pelajar belajar teori dan mempraktikkan amalan seharian tok mudir dan tok guru mereka.

Keupayaan institusi pondok melahirkan generasi celik al-Quran dan pelajar yang hebat, sehingga ada yang menyambung pelajaran ke Timur Tengah, atau berkhidmat sebagai guru agama atau pensyarah, imam, bilal, kadi atau penghulu. Ada yang membuka pondok sendiri. Malah, ada yang menjadi wakil rakyat, ahli parlimen, senator, menteri Kabinet, menteri besar hatta perdana menteri !

Hari ini, institusi pengajian pondok sudah banyak berubah. Walaupun masih banyak pondok yang kekal dengan cara tradisi halaqah, sanad dan talaqqinya, sudah ada yang moden sehingga bertaraf universiti. Ada yang sudah bertukar status menjadi sekolah agama rakyat atau sekolah agama Arab. Yang jelas, sumbangan institusi pondok kepada pendidikan Islam di negara ini dan kelahiran modal insan berkualiti cukup besar dan perlu diberi pengiktirafan.

- Sinar Harian

Sunday 14 October 2012

Anak muda cenderung sinikal pada politik, kata Timbalan Menteri KPT




Struktur dan proses demokrasi negara perlu diperluas dan diperdalam bagi membolehkan generasi muda terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata secara umum, generasi muda cenderung bersikap skeptikal dan sinikal terhadap politik, namun rata-ratanya masih mempunyai keyakinan kepada amalan demokrasi.

"Untuk mendapatkan keyakinan mereka, demokrasi perlu ditambah baik. Dalam banyak cara, lakukan transformasi terhadap proses dan struktur institusi demokrasi yang akan meletakkan kedudukan demokrasi pada tempatnya," katanya pada Forum Anak Muda dan Demokrasi Tempatan anjuran Penang Institute di George Town malam tadi.

Forum yang dikendalikan Pengarah Akademi Pak Sako, Dr Afif Baharudin itu turut diambil bahagian anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan aktivis anak muda dari Diskopi Group, Teo Lee Ken.


Anak Muda Komponen Penting Masyarakat 




Saifuddin berkata golongan muda mempunyai kedudukan yang sangat penting dan mereka harus diletak sebagai komponen masyarakat yang bergerak bersama-sama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam menggubal sesuatu dasar.

Beliau berkata penglibatan generasi muda dalam membuat keputusan tidak boleh diabaikan malah perlu

ditegakkan kedudukannya.

"Saya fikir kita ada rentetan peristiwa dan sejarah yang menunjukkan ada masa dan ketikanya suara itu (suara generasi muda) didengar dan diterjemahkan sebagai dasar. Sebagai contoh, kalau ikut kronologi bermula dengan mahasiswa minta supaya Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di Universiti Malaya.

"Mahasiswa antara yang menuntut ditubuhkan sebuah universiti menggunakan bahasa kebangsaan, maka lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pelajar, antara yang paling vokal minta supaya dilahirkan Universiti Islam dan Bank Islam, dan itu sudah diwujudkan," katanya.

Suara Anak Muda Perlu Didengari


Beliau berkata lazimnya, generasi muda mempunyai tiga permintaan yang harus dipenuhi iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf dan isu-isu mereka diselesaikan dengan cara bersesuaian.

Justeru, Saifuddin berkata perkara yang penting dilakukan ialah bagaimana untuk memperkasa golongan muda bagi mengupayakan mereka berfikir dan bertindak sendiri.

Teo pula mencadangkan pihak yang memegang autoriti supaya mewujudkan rangkaian rasmi bagi melibatkan orang muda secara langsung dalam hal pentadbiran dan pembentukan dasar pada peringkat kerajaan negeri dan pusat.

"Jika dilihat terdapat layanan selektif diberi kepada anak muda. Penglibatan mereka lebih menonjol dalam aspek budaya dan hiburan tetapi dari segi ekonomi, sosial dan politik kumpulan ini dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata pendidikan sangat penting terutamanya kepada golongan muda yang dilihat dapat membantu mereka untuk menyertai proses membuat keputusan di semua peringkat negara.

Teo turut menggesa generasi muda untuk berhenti mengamalkan corak pemikiran lapuk yang mengharapkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka sebaliknya berusaha mengubah nasib sendiri.

Katanya demokrasi memerlukan penglibatan anak muda secara total kerana golongan inilah yang akan mewarisi apa sahaja yang ditinggalkan generasi sebelum mereka.

- Bernama

Thursday 11 October 2012

ROADSHOW GAMIS KE SARAWAK



Roadshow ke Borneo diteruskan lagi ke Sarawak selepas kunjungan ke Sabah dalam 2 bulan lepas. Cuma penjelajahan kali ini agak singkat iaitu selama 2 hari 1 malam. Penerbangan dari LCCT ke Kuching bermula pada awal pagi hari Jumaat, 14 September 2012. 

Mewakili pimpinan GAMIS Pusat ke sana ialah saudara Mohd Najmi Ahmad, Naib Presiden 2 GAMIS  dan saudara Akmal Razali, Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) GAMIS. Awalnya, pengerusi GAMIS Sarawak, saudara Ishack  turut menyatakan komitmen untuk turut hadir , akan tetapi beliau tidak dapat bersama kerana ada komitmen lain. 

Alhamdulillah, kami disambut oleh Saudara Arifin Osman, wakil dari GAMIS Sarawak dan aktiviti hari pertama lebih kepada brainstorming dan sharing moment’ bersama beliau dan dan serta sahabat-sahabatnya. Waqi’ kampus-kampus di Sarawak dibentang agak menyeluruh kepada kami, terutama berkaitan 3 unsur utama perjuangan GAMIS iaitu tarbiyah, dakwah dan politik. Dengan berlatarbelakangkan sebuah negeri yang mana Muslim bukan majoriti, peluang GAMIS untuk mengukuhkan cengkaman di Sarawak sememangnya tidak mudah. Malamnya, kami bersuai kenal dan beramah mesra bersama ahli GAMIS Sarawak yang baru tiba ke tempat bengkel, di Kota Samarahan.


                                           



Keesokannya, program pembentangan asas seputar GAMIS dan juga Bengkel Siasah bersama wakil pimpinan GAMIS Pusat. Alhamdulillah, lebih kurang 50 orang ahli GAMIS Sarawak menjadi peserta bengkel. Sungguh mengagumkan pengorbanan mereka apabila ada yang hadir sejauh 12 jam perjalanan semata-mata untuk bersama dalam bengkel.

Sesi awal dimulakan dengan pembentangan perlembagaan terkini GAMIS dan juga soal-jawab. Rata-rata, ramai yang baru mengenali GAMIS. Persoalan-persoalan tentang GAMIS Negeri Sarawak juga dibangkitkan. Seterusnya, saudara Akmal Razali membentangkan idea dan program berkaitan politik di kampus dan luar kampus. Tambahan lagi, beliau turut memberikan kata perangsang untuk ahli GAMIS Sarawak untuk terus aktif dan cakna terutama dalam politik kampus. 


(Gambar) Saudara Akmal Razali sedang memberi taklimat

Petang itu tentatif dimulakan dengan ‘brainstorm’ secara terperinci oleh semua ahli GAMIS Sarawak tentang apa wajah dan identiti GAMIS Sarawak yang dimahukan. Masing-masing memberikan lontaran idea bagi penambah baikan GAMIS Sarawak serta cadangan program yang perlu dijalankan, dan penutup pada petang Sabtu itu ialah pembentangan hasil perbincangan untuk dijadikan resolusi bersama. Slot terakhir ialah kami kongsikan sedikit amanat dari Presiden GAMIS, Ustaz Akram Ikrami Taib Azzamuddin untuk semua peserta. Pada malamnya, kami terus berlepas pulang ke Semenanjung.




   
Taujihat Oleh Saudara Ahmad Najmi

'Rome is not built in one day'. Membina dan mengukuhkan GAMIS di Sarawak bukan kerja sehari dua apatah lagi kerja seolah melepaskan batuk di tangga. Kalau dikatakan ‘As-saabiqunal awwalun’ , kami menganggap mereka adalah ‘As-saabiqunal awwalun’ bagi GAMIS Sarawak ini. 





Bermula dari kosong, mereka bertatih sedaya upayanya. Tiada upaya melainkan hanya dengan ‘nasrun minallah’ dan ’jihad wa tadhiyyah’ yang akan terus menjadi faktor asas untuk memastikan syiar Islam dapat ditegakkan di sana. Insya-Allah, pelapis yang bakal meneraju GAMIS Sarawak akan memacu entiti ini lebih maju ke depan.


Cerpen: Di Jalan Dakwah Aku Menikah


Berat fikiranku memikirkan akan hal ini… Pertunanganku akan berlangsung minggu depan.


Aku masih di awangan.. Betulkah keputusan yang telah ku buat ini?

Aku berasa lapang namun berdebar.. Tiada hujah yang membuatkan aku menolak pinangan keluarga itu. Aku diberitahu anaknya itu sekepala denganku.. Aku tak berapa faham sangat. Namun, bila diselidiki, dia agak kolot, kata mamanya.. Terlalu memilih.. Dia mahu mamanya mencari seseorang yang menitikberatkan akan hal-hal islamik.


Aku ni begitu ke?


Wallahua’lam..tapi, aku sendiri mahukan pasangan yang ada agama. Bukan paras muka. Berkata mengenai paras muka, aku sendiri masih belum melihat gambar bakal tunanganku. Biarlah dan aku memang dahagakan tarbiyah. Moga-moga dia dapat menghilangkan kehausan ini…


Kata orang, tunang ni medium untuk kita mengenali pasangan kita lebih dekat. Namun, aku tidak menyokong sangat perkara ini.. Malah sebenarnya, aku lebih suka mempercepatkan pernikahan.. Tapi, takut juga dilabel gatal dan tak sabar.. Susah-susah..

***
Hari pertunangan

“Wah.. Bakal menantu mak ni ayu berpakaian begini,” usik bakal mertuaku sambil menyarungkan cincin. Cincin itu tersarung jua.. Hampir menitis air mataku..kini aku menjadi tunangan orang..

Fasa pertunangan berlaku dengan pantas..

Aku langsung tidak mengangkat wajah. Malu, segan, semua ada. Inilah yang akan dilalui oleh semua orang.

***

Istikharah tidak putus-putus walaupun sudah menjadi tunangan orang. Aku tahu bertunang bukan sesuatu yang pasti.

Malam itu juga aku bermimpi.. Seorang lelaki bertemu denganku dan menyerahkan sebuah Al-Quran. Dia mengucapkan terima kasih kerana menerimanya.. Tapi wajahnya tidak begitu jelas.. Aku terjaga..

Aku beristighfar.. Mainan tidur ni bukan boleh dipercayai sangat.

***

Tetiba satu hari tu, aku teringin nak berjalan-jalan ke taman permainan. Teringat pada sahabat-sahabatku..

Mereka boleh dikatakan tergolong dalam kumpulan manusia yang komited dengan dakwah.. Aku juga dalam kalangan mereka, walaupun kini aku di sini.. Roh dakwah masih melingkar dalam qalbuku.

Nak kata ukhuwah antara kami sangat erat, tiada masalah antara kami yang antara kami tak tahu.. Sampai sekarang pun, berita pertunanganku telah tersebar, dan semua menanti kad perkahwinan dariku… Malah ada yang mendoakan aku mendapat sahabat seperjuangan.. Dah lama aku aminkan.. Cuma, ALLAH Maha Berkehendak..


Ana tak tahu sangat pasal tunangku ini…

Tapi bila dengar kata-kata ibuku, dia adalah ustaz.. No komen.. Patutlah di label kolot.. Hmm.. Kesian dia..


***

“Ingat senang ke buat kerja dakwah ni sampai enti boleh datang lewat?,” Satu mesyuarat tergempar membuatkan aku kecut dimarahi di depan semua exco.

“Maaf, saya ada masyaqqah.. Tapi demi tidak mengulangi kesilapan, saya rela dihukum selagi hukuman itu tidak menyalahi syarak!” tegas kata kata itu keluar dari mulutku.

“Owh, baiklah.. Selepas ini, enti dihukum untuk beristighfar 1000 kali. Sanggup buat?,” ketua itu keluarkan arahan.

“Baik.”

“Duduk. Ok semua, ini bukan dikhususkan kepada ukhti yang terlambat ni, tapi untuk peringatan bersama. Kita mengerjakan dakwah bukan suka-suka. Sekali lagi, kita yang melakukan kerja dakwah ini perlu serius dalam setiap tindakan kita. Biarpun kita tahu dakwah ini tidak akan terhenti sehingga kiamat, tapi kita perlu lakukan yang terbaik selagi kita hidup. Inilah jihad kita.

Semua ini adalah pengorbanan.. Berkorban menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka." (Al-Taubah: 111)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu.." (Al-Taubah: 24)

"Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah.." (Al-Taubah: 120)

"Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik." (Al-Fath: 16)

Dengan ini kalian memahami apakah yang dimaksudkan setiap kali kita melaungkan:

“Mati di jalan Allah adalah cita-cita utama kami.”

“Satu lagi.. Bila menjadi orang yang membawa seruan kepada ISLAM, kita perlu terkehadapan didalam semua aspek.. Paling penting hubungan kita pada ALLAH, manusia dan alam ini amnya..

Ibadah kita sebegai penggerak bukan seperti insan biasa… Kita kena bermujahadah. Jangan ikut telunjuk nafsu. Akhlak kita juga perlu menghampiri tahap paling baik walau tidak sempurna.. Rasulullah telah menjadi qudwah kita.. Hanya ikut apa yang digariskan oleh Baginda…”

“Oleh kerana selepas ini, kita semua akan terpisah, maka ana harap semua dapat meneruskan dakwah islamiah di tempat masing-masing…”

Itulah kata-kata terakhir Ketua Dakwah itu sebelum membincangkan hal yang sepatutnya.


Aku termotivasi.. Namun, entah adakah itu akan kekal dijadikan pengajaran.


Selepas 3 minggu berada di rumah.. Barulah aku rasakan, yang berdakwah ni bukan mudah jika dilakukan secara seorang-seorang. Bila ada orang masuk meminang, aku mendapat idea, asal dia boleh terima diriku, melihat islam itu tinggi dan mendalaminya dan mengamalkannya.. Cukup bagiku.. Dan dialah mangsaku untuk dijadikan perisai.. Semasa berdakwah dalam masyarakatku..

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (Al-Haj: 78)

Allah dah suruh dalam surah ini… Tidak boleh tidak perlu menyahutnya..barulah dikatakan bersyukur..

***

“Abang tak tahu pulak yang sayang ni aktif di kampus… Yang abang tahu sayang ni pelajar UIA saja. Yang sangat sibuk dengan pelajaran..,” buah hatiku memandang wajahku dengan pandangan lembut. Kini, dihadapan ku ini bukan lagi orang luar.. Dia sah menjadi pelindungku dua hari lepas..

“Tak pelah bang… Sekarang dah tahu.. Oklah tu..,” Aku membalas pandangannya. Tangan ku ligat menaip sesuatu… Kekok sebenarnya..

“Dakwah di sini memerlukan kita, abang bersyukur mendapat sayang. ALLAH makbulkan doa abang selama ini. Abang perlukan seorang serikandi yang boleh menemani abang di setiap langkah penuh berduri dalam menuju redha ALLAh.. Dan semua ciri-ciri sayang ada dalam doa itu. Abang terus sujud syukur selepas sayang menerima cincin pertunangan dulu. Dan abang kagumi kesabaran sayang semasa tempoh pertunangan.

Walaupun abang tak cari, sayang juga tak tercari-cari.. Abang sengaja uji sebenarnya. Abang nak tengok, sama ada sayang ni jenis yang menjaga ikhtilat atau tidak.”

“Tapikan.. Sayang tak nak tahu ke, abang kenal sayang dari siapa?,” tetiba persoalan itu disebutnya. Dia menarikku supaya merapati dirinya. Aku meleretkan senyuman. “Nak-nak..”

“Abang terbaca blog sayang sebenarnya… Abang tak tahu kenapa abang tertarik sangat dengan pemilik blog itu. Abang tengok kat profil, orang negeri jugak.. Oklah.. Terus buat siasatan.. Dan sampai satu ketika, sayang dok cerita pasal keluarga dalam blog.. Abang ambil setiap maklumat yang ada… Tu yang bleh sampai maksud tu.. Dalam masa yang sama.. Abang tidak pernah putus-putus berdoa supaya ALLAH tunjukkan jalan.. Akhirnya muncul jua serikandi Mujahidah muslehah di depan mata abang.. Alhamdulillah..”

Aku bersyukur sebenarnya. Yalah… Selepas ini, aku berteman untuk meneruskan perjuangan di tempat sendiri. Dia sangat-sangat bersemangat selepas aku menyatakan impianku, mengislahkan masyarakat. Dia memang sudah terlibat dalam medan dakwah…

Mengikut persepakatan bersama..kami akan ke pondok untuk sama-sama mengaji menambah ilmu untuk bekalan dakwah.. Sekali setiap bulan di Kelantan. Aku beruntung mendapat suami sepertinya. Doakan ikatan ini kekal hingga ke syurga kerana DI JALAN DAKWAH AKU MENIKAH.

Buat para pejuang ALLAH baik sister-sister di luar sana, jangan khuatir jika kita insan yang biasa-biasa sahaja..

Berdoalah dari sekarang, semoga dapat seorang yang mencintai ALLAH dan komited & faham pada ilmu dan dakwah.. Cuma, sebelum itu, teruslah mengejar cinta ALLAH yang hakiki.. Semoga kita semua mendapat keredhaan ALLAH!
_________________________________________________
marufclub.com

Sunday 7 October 2012

Bagaimana Memilih Calon VS Parti: Ustaz Dr. Zaharuddin [K-FIQH]



 Berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) ketika K-fiqh yang berlangsung tempoh hari, beliau menyimpulkan bahawa, berdasarkan konteks Malaysia, PARTI & MANIFESTO adalah LEBIH PATUT DIPERTIMBANGKAN berbanding CALON, walaupun calon tersebut yang terbaik berbanding calon-calon yang ada.

Dilema yang sering terjadi ketika PRU adalah ada pengundi yang suka kepada peribadi CALON tetapi tidak suka kepada parti yang diwakilinya. Ada pula yang sukakan parti yang bertanding, tetapi tidak suka kepada calon yang mewakilinya.

Persoalannya, bagaimana mahu membuat pilihan? Parti atau calon? Dalam konteks Pilihan Raya Kampus (PRK), mahasiswa mungkin mengalami dilemma yang sama di antara 2 kelompok besar mahasiswa, Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Namun begitu, isu ini tidak relevan di UIA kerana calon yang bertanding tidak mewakili mana-mana kelompok mahasiswa secara terang-terangan, justeru yang lebih utama adalah memilih MANIFESTO atau CALON?

Secara umumnya Al-Quran menggariskan panduan untuk memilih pemimpin melalui ayat Al-Qasas:26 iaitu kuat (kompeten) dan amanah. Namun begitu, perlu difahami apabila ada ‘terbaik’, bermaksud masih terdapat yang ‘baik’, cuma tidak sebaik yang ‘terbaik’.

Masih terdapat cara lain untuk memilih pemimpin , selagi ia dianggap ‘baik’, ‘tidak buruk’, ‘tidak tergolong dalam larangan’ tetapi munasabah mengikut adat dan praktis yang sihat. Terdapat 3 hadis yang menyentuh tentang cara lain memilih pemimpin. Ringkasan inti pati hadis tersebut adalah seperti berikut:

- Hadis 1: Pemimpin yang adil (Hadis Muslim No 1827)
- Hadis 2 : Pemimpin yang memerangi orang kafir dan zalim, menyuruh pengikutnya bertakwa dan berlaku adil (Hadis Muslim No 1841)
- Hadis 3 : Menegakkan solat. mengasihi dan dikasihi rakyat (Hadis Muslim No 1855)


Dalam menentukan sesuatu pendapat, hipotesis realiti di Malaysia perlu diambil kira. Di Malaysia, partilah yang menentukan hala tuju keputusan calon sebelum dan selepas dia berkuasa.

Setiap calon terikat dengan dasar dan manifesto parti dalam keputusan yang dibuat. Jika diperhatikan, amat jarang calon yang berani melanggar keputusan parti walaupun dalam menegakkan kebenaran.

Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa calon hanya boleh berfungsi dalam ruang lingkup yang tidak bercanggah dengan parti dan manifesto. Justeru, MENGUNDI CALON BUKAN LAGI ATAS DASAR INDIVIDU tetapi perlu dilakukan dengan merujuk kepada PARTI dan MANIFESTONYA.

(mengikut konteks hari ini, boleh jadi akan berubah mengikut tempat, masa dan calon)

Dalam hal ini, pendapat yang rajih ialah undi berdasarkan parti dan calon LEBIH PENTING berbanding calon atas dasar setiap calon seolah-olah hilang kebebasan individunya kecuali dalam beberapa perkara. Tidak dapat dinafikan dalam beberapa keadaan, terdapat pengecualian terhadap pendapat tersebut, iaitu apabila :

1) Kredibiliti calon mengatasi kongkongan parti
2) Kedua2 parti mempunyai track record, manifesto dan dasar yang hampir sama, maka yang lebih bermoral diutamakan
3) Kedua2 parti membawa mudarat lebih dari manfaat, kaedahnya adalah dengan memilih calon yang kurang mudarat. 


Tuntasnya, ketiga-tiga faktor tersebut perlu dilihat dan diambil kira, namun secara umumnya, PARTI & MANIFESTO adalah LEBIH PATUT DIPERTIMBANGKAN berbanding CALON.

Pendapat ini dibuat melalui pertimbangan yang pelbagai baik dari sudut dalil mahu pun waqi’ Malaysia. Moga kertas kerja Ustaz dapat kita manfaatkan dalam menghadapi Re-Election kali ini di UIA. Analisis semua sudut, baik parti, calon dan manifesto dan tentukan pilihan terbaik anda!
____________________________________________
Muna ‘Adila binti Che Remi
Mahasiswi tahun 2, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM