Struktur dan proses demokrasi negara perlu diperluas dan
diperdalam bagi membolehkan generasi muda terlibat secara langsung dalam proses
membuat keputusan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin
Abdullah.
Beliau berkata secara umum, generasi muda cenderung bersikap skeptikal dan
sinikal terhadap politik, namun rata-ratanya masih mempunyai keyakinan kepada
amalan demokrasi.
"Untuk mendapatkan keyakinan mereka, demokrasi perlu ditambah baik. Dalam
banyak cara, lakukan transformasi terhadap proses dan struktur institusi
demokrasi yang akan meletakkan kedudukan demokrasi pada tempatnya,"
katanya pada Forum Anak Muda dan Demokrasi Tempatan anjuran Penang Institute di
George Town malam tadi.
Forum yang dikendalikan Pengarah Akademi Pak Sako, Dr Afif Baharudin itu turut
diambil bahagian anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan aktivis
anak muda dari Diskopi Group, Teo Lee Ken.
Anak Muda Komponen Penting Masyarakat
Saifuddin berkata golongan muda mempunyai kedudukan yang
sangat penting dan mereka harus diletak sebagai komponen masyarakat yang
bergerak bersama-sama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan
tempatan dalam menggubal sesuatu dasar.
Beliau berkata penglibatan generasi muda dalam membuat keputusan tidak boleh
diabaikan malah perlu
ditegakkan kedudukannya.
"Saya fikir kita ada rentetan peristiwa dan sejarah yang menunjukkan ada
masa dan ketikanya suara itu (suara generasi muda) didengar dan diterjemahkan
sebagai dasar. Sebagai contoh, kalau ikut kronologi bermula dengan mahasiswa
minta supaya Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di Universiti Malaya.
"Mahasiswa antara yang menuntut ditubuhkan sebuah universiti menggunakan
bahasa kebangsaan, maka lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pelajar,
antara yang paling vokal minta supaya dilahirkan Universiti Islam dan Bank
Islam, dan itu sudah diwujudkan," katanya.
Suara Anak Muda Perlu Didengari
Beliau berkata lazimnya, generasi muda mempunyai tiga
permintaan yang harus dipenuhi iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan
mereka diiktiraf dan isu-isu mereka diselesaikan dengan cara bersesuaian.
Justeru, Saifuddin berkata perkara yang penting dilakukan ialah bagaimana untuk
memperkasa golongan muda bagi mengupayakan mereka berfikir dan bertindak
sendiri.
Teo pula mencadangkan pihak yang memegang autoriti supaya mewujudkan rangkaian
rasmi bagi melibatkan orang muda secara langsung dalam hal pentadbiran dan
pembentukan dasar pada peringkat kerajaan negeri dan pusat.
"Jika dilihat terdapat layanan selektif diberi kepada anak muda.
Penglibatan mereka lebih menonjol dalam aspek budaya dan hiburan tetapi dari
segi ekonomi, sosial dan politik kumpulan ini dipinggirkan," katanya.
Beliau berkata pendidikan sangat penting terutamanya kepada golongan muda yang
dilihat dapat membantu mereka untuk menyertai proses membuat keputusan di semua
peringkat negara.
Teo turut menggesa generasi muda untuk berhenti mengamalkan corak pemikiran
lapuk yang mengharapkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka
sebaliknya berusaha mengubah nasib sendiri.
Katanya demokrasi memerlukan penglibatan anak muda secara total kerana golongan
inilah yang akan mewarisi apa sahaja yang ditinggalkan generasi sebelum mereka.
- Bernama
▷ Lucky Club Casino site 2021 - Lucky Club Casino
ReplyDeleteLucky Club Casino. All luckyclub details about Lucky Club Casino, promotions, games, security and more. All info about the site and its Rating: 4.3 · 38 votes