Tuesday 22 January 2013

PENTADBIRAN UNIVERSITI & MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK


                              
SIGMA : DISEBALIK ISU "LISTEN & LET ME SPEAK"  [SIRI I]
PENTADBIRAN UNIVERSITI & MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK

                              
Baru–baru ini negara digemparkan dengan isu "Listen!" yang mendapat reaksi segera mahasiswa. Disebalik aspirasi dan keberanian melontarkan pendapat Saudari Bawani KS dan pendekatan Puan Sharifah Zohra menyantuni suara mahasiswi, saya terpanggil untuk mempersoalkan rasional program seumpama ini diadakan di sebuah kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pindaan AUKU 2012 bersetuju supaya kampus tetap dikekalkan sebagai entiti yang bebas daripada pengaruh dan aktiviti politik kepartian seperti ditegaskan oleh YAB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Walaupun menerima reaksi berbeza, pihak mahasiswa berpandangan bahawa perkara ini mestilah dihormati oleh semua pihak.

Kewujudan entiti yang dilihat  cuba bertindak sebagai "ejen" parti tertentu seperti Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) bukanlah perkara baru. Setelah meneliti aktiviti SW1M itu sendiri, ternyata ianya kaitan dengan parti politik utama kerajaan Barisan Nasional–UMNO. SW1M mempunyai kaitan lansung dengan Kongress India Muslim Malaysia yang diiktiraf keahliannya dalam Ahli Gabungan UMNO pada 27 Ogos 2010. Beberapa persoalan timbul disini, apakah objektif yang ingin dicapai oleh SW1M ini dan siapakah yang membiayai program–program seumpama ini?

Walaupun telah disahkan tiada pengaruh politik kepartian dalam forum ini sewaktu menerima kerjasama program tersebut pada awalnya, pihak penganjur  seharusnya dapat menjangkakan soalan dan pandangan mahasiswa sekitar realiti politik di Malaysia.

Dalam pandang sisi yang lain, saya bersetuju objektif forum tersebut yang bertujuan memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan dengan hak wanita. Namun, usaha ini harus dimurnikan dengan memberi penekanan soal pemilihan ahli panel agar acuan pemikiran yang dibentuk lebih bersifat adil dalam menilai sesuatu isu dan bukannya mengambil kesempatan untuk membina persepsi dan rasional yang mampu menguntungkan satu pihak sahaja terutamanyaparti politik tertentu.

Jika benar penganjur telus dan adil, mengapa tidak dijemput ahli panel yang terdiri dari kepelbagaian latar belakang dan kepakaran serta bukan hanya menampilkan panelis yang berteraskan ideologi politik kepartian yang sempit semata–mata supaya mahasiswa dapat menilai secara adil dan holistik?

Perbincangan yang terbuka dan matang seperti inilah yang seharusnya diberikan penekanan selaras dengan apa yang telah disimpulkan dalam Wacana PRU13 : Siapa jadi Pilihan? yang dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada 17 Januari 2013 baru–baru ini yang menyatakan bahawa tahap kematangan politik rakyat Malaysia harus dipertingkatkan.

Justeru, program yang berbaur “ hasutan “ dan juga “ doktrinisasi “ seumpama ini sewajibnya tidak diberi laluan untuk dianjurkan di dalam kampus. Atas dasar memikirkan masa depan universiti dan kebebasan intelek, suka saya mengingatkan kepada semua pentadbiran universiti IPTA mahupun IPTS, agar bersedia untuk menerima kunjungan program ini masuk dalam universiti seluruh Malaysia kerana UUM bukanlah universiti pertama menganjurkan forum sebegini pada 8 Disember 2012 memandangkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah pun menerima kerjasama ‘parti politik’ ini pada 7 November 2012 sebagaimana yang dilampirkan melalui surat dalam portal rasmi UPSI. Agaknya pada 7 Februari 2013 akan datang, pentadbiran universiti mana perlu bersedia?

Adiela Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi [SIGMA],
Gabungan Mahasiswa Islam Se–Malaysia [GAMIS].

Penulis juga merupakan Timbalan Presiden II Ma’ruf ClubUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia sesi 2011/2012.

No comments:

Post a Comment