Tuesday 22 January 2013

PENTADBIRAN UNIVERSITI & MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK


                              
SIGMA : DISEBALIK ISU "LISTEN & LET ME SPEAK"  [SIRI I]
PENTADBIRAN UNIVERSITI & MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK

                              
Baru–baru ini negara digemparkan dengan isu "Listen!" yang mendapat reaksi segera mahasiswa. Disebalik aspirasi dan keberanian melontarkan pendapat Saudari Bawani KS dan pendekatan Puan Sharifah Zohra menyantuni suara mahasiswi, saya terpanggil untuk mempersoalkan rasional program seumpama ini diadakan di sebuah kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pindaan AUKU 2012 bersetuju supaya kampus tetap dikekalkan sebagai entiti yang bebas daripada pengaruh dan aktiviti politik kepartian seperti ditegaskan oleh YAB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Walaupun menerima reaksi berbeza, pihak mahasiswa berpandangan bahawa perkara ini mestilah dihormati oleh semua pihak.

Kewujudan entiti yang dilihat  cuba bertindak sebagai "ejen" parti tertentu seperti Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) bukanlah perkara baru. Setelah meneliti aktiviti SW1M itu sendiri, ternyata ianya kaitan dengan parti politik utama kerajaan Barisan Nasional–UMNO. SW1M mempunyai kaitan lansung dengan Kongress India Muslim Malaysia yang diiktiraf keahliannya dalam Ahli Gabungan UMNO pada 27 Ogos 2010. Beberapa persoalan timbul disini, apakah objektif yang ingin dicapai oleh SW1M ini dan siapakah yang membiayai program–program seumpama ini?

Walaupun telah disahkan tiada pengaruh politik kepartian dalam forum ini sewaktu menerima kerjasama program tersebut pada awalnya, pihak penganjur  seharusnya dapat menjangkakan soalan dan pandangan mahasiswa sekitar realiti politik di Malaysia.

Dalam pandang sisi yang lain, saya bersetuju objektif forum tersebut yang bertujuan memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan dengan hak wanita. Namun, usaha ini harus dimurnikan dengan memberi penekanan soal pemilihan ahli panel agar acuan pemikiran yang dibentuk lebih bersifat adil dalam menilai sesuatu isu dan bukannya mengambil kesempatan untuk membina persepsi dan rasional yang mampu menguntungkan satu pihak sahaja terutamanyaparti politik tertentu.

Jika benar penganjur telus dan adil, mengapa tidak dijemput ahli panel yang terdiri dari kepelbagaian latar belakang dan kepakaran serta bukan hanya menampilkan panelis yang berteraskan ideologi politik kepartian yang sempit semata–mata supaya mahasiswa dapat menilai secara adil dan holistik?

Perbincangan yang terbuka dan matang seperti inilah yang seharusnya diberikan penekanan selaras dengan apa yang telah disimpulkan dalam Wacana PRU13 : Siapa jadi Pilihan? yang dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada 17 Januari 2013 baru–baru ini yang menyatakan bahawa tahap kematangan politik rakyat Malaysia harus dipertingkatkan.

Justeru, program yang berbaur “ hasutan “ dan juga “ doktrinisasi “ seumpama ini sewajibnya tidak diberi laluan untuk dianjurkan di dalam kampus. Atas dasar memikirkan masa depan universiti dan kebebasan intelek, suka saya mengingatkan kepada semua pentadbiran universiti IPTA mahupun IPTS, agar bersedia untuk menerima kunjungan program ini masuk dalam universiti seluruh Malaysia kerana UUM bukanlah universiti pertama menganjurkan forum sebegini pada 8 Disember 2012 memandangkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah pun menerima kerjasama ‘parti politik’ ini pada 7 November 2012 sebagaimana yang dilampirkan melalui surat dalam portal rasmi UPSI. Agaknya pada 7 Februari 2013 akan datang, pentadbiran universiti mana perlu bersedia?

Adiela Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi [SIGMA],
Gabungan Mahasiswa Islam Se–Malaysia [GAMIS].

Penulis juga merupakan Timbalan Presiden II Ma’ruf ClubUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia sesi 2011/2012.

Friday 18 January 2013

KENYATAAN RASMI PRESIDEN GAMIS TERHADAP ISU BAWANI DAN AZRUL


Ulasan saya berkaitan apa yang berlaku terhadap kes Bawani di UUM dan juga kes Azrul yang digantung tugasnya di Bank Islam mencerminkan kepada kita satu perkara yang lebih penting ialah rosaknya nilai sistem di negara kita yang harus direjuvenasi segera.

Persoalan yang harus ditanya kepada semua orang ialah kenapa boleh wujudnya mereka yang bermentaliti seperti Aunty Listen yang sangat dangkal dalam cara fikir dan tindakannya malah telah disokong oleh sebahagian besar mahasiswa UUM. Tidak lebih dari bagaimana universiti hari ini lebih gemar untuk menyuntik doktrinisasi sempit berbanding memberi pencerahan yang lebih segar kepada mahasiswa.

Hasilnya sebagai contoh, pemegang-pemegang polisi pada hari ini sangat takut untuk mendengar suara dan kritikan mereka yang berbeza pandangan hingga akhirnya telah menutup ruang kepada perkembangan idea dan rasional sebagaimana yang telah menimpa Saudara Azrul yang digantung perkhidmatannya oleh Bank Islam.

Aunty Listen hanyalah mangsa yang lahir dicelah kemandulan nilai sistem yang ada di negara kita baik sistem pendidikan mahupun demokrasi. Solving the real problem is more important rather than just playing around with presented problem. Jika tidak kita akan sentiasa melihat kemunculan orang seperti Aunty Listen ini lagi dan peristiwa ini sentiasa akan berulang tanpa kesudahan dalam epilog sejarah negara kita. 



Muhamad Azan Safar
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia.

LISTEN : KENYATAAN PENGERUSI SINERGI GERAKAN MAHASISWI, GAMIS KEDAH


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Fenomena LISTEN yang hangat dimainkan sekarang mencetuskan kemarahan dan gelombang kebangkitan dalam kalangan mahasiswa amnya dan masyarakat umumnya. Fenomena ini rentetan daripada Forum Suara Mahasiswa yang bertajuk “Seiringkah Mahasiswa & Politik” yang telah diadakan pada 8 Disember 2012 yang lalu di Dewan Muadzzam Shah, Universiti Utara Malaysia.

Isu yang dibangkitkan adalah hak dan kebebasan bersuara. Sahabat saya, Bawani KS dinafikan haknya untuk mengutarakan pendapat sebagai pengaju soalan. Tindakan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang merupakan Presiden Suara Wanita 1 Malaysia selaku moderator menunjukkan seolah-olah beliau tidak menghormati institusi pendidikan negara yang mendokong kebebasan akademik dalam berhujah dan berbeza pendapat. 

Dalam mana-mana diskusi mahupun forum, ahli panel dan juga audien mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing, malahan ia perlu ditangani secara professional supaya keadaan menjadi tenang, bukan dengan memotong percakapan atau soalan yang diajukan dengan cara menarik pembesar suara sebelum sempat soalan habis diajukan. Tindakan Sharifah agak keterlaluan dan tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin NGO yang berpendidikan di depan lebih 2000 mahasiswa yang hadir dalam forum tersebut.

Bawani KS seorang mahasiswa Universiti Utara Mahasiswa dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang telah dimalukan secara terang-terangan apabila dikatakan kurang tahap pendidikan terutamanya pendidikan hormat warga yang lebih dewasa. Hal ini jelas menjatuhkan imej seorang mahasiswa. Perlu diingat mahasiswa adalah golongan intelektual dan semakin matang dalam menelaah isu-isu politik Negara. . 

Sharifah juga bukan hanya tidak menghormati soalan yang diajukan malahan memberikan analogi yang tidak masuk akal dan tidak ada kaitan dengan soalan dan fakta yang diajukan oleh saudari Bawani.

Justeru, saya bagi pihak Gamis Kedah yang juga selaku mahasiswa Universiti Utara Malaysia menggesa Presiden Suara Wanita 1 Malaysia Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin untuk tampil kehadapan dengan kadar segera untuk memohon maaf kepada saudari Bawani secara terbuka dan terang-terangan seperti mana beliau telah menjatuhkan imej saudari Bawani secara terbuka.

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Saudari Bawani yang telah menunjukkan kewibawaan seorang mahasiwa dan berani mengetengahkan isu-isu politik Negara dengan tegas dan berprinsip.

Salute to Bawani KS



NUR IZZATI BT HAMBALI,
Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi, GAMIS KEDAH.

Sunday 13 January 2013

ISU KALIMAH “ALLAH”


Para ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan hukum penggunaan kalimah “ALLAH” dalam kalangan orang-orang bukan Islam. Sebahagiannya berpendapat HARUS digunakan, dan sebahagian yang lain pula mengHARAMkannya. Kedua-duanya mengemukakan hujah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran dan al-Hadith serta aspek logik akal, sejarah dan penggunaan bahasa. Lebih menarik, kedua-duanya mempunyai hujah balas terhadap satu sama lain.

Bagi memanfaatkan perbezaan itu untuk mengeluarkan hukum berkenaan dengannya (penggunaan kalimah “ALLAH”) di Malaysia, ia berhajat kepada kemahiran memerhati, meneliti dan mencermati realiti semasa dan setempat hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi aspek sosio-budaya, politik dan perundangan. 



Tidak dapat tidak, setelah ada dua pilihan, untuk memilih hanya satu, - dalam permasalahan ini – ia mesti dinilai dengan ilmu fiqh as-siyasah as-syar’iyyah secara teori dan pengalaman daripada pengamalannya untuk menimbang tara antara maslahah dan mafsadah daripadaya (kedua-dua pandangan yang berbeza itu).

Maka, biarlah para ulama’ dan sarjana-sarjana Islam di bidang sosiologi, politik dan perundangan berperanan menyelesaikannya. Namun, pandangan dan keputusan yang dibuat dengan tidak ikhlas serta dengan tujuan-tujuan batil – mendapatkan atau mempertahankan kuasa politik – mestilah ditolak dan tidak dipakai.

Apa yang penting daripada kedua-duanya (sama ada melarang atau membenarkan) ialah:

Memperkasakan institusi pendidikan agama Islam di semua peringkat (pra-sekolah, rendah, menengah dan pendidikan tinggi) meliputi kurikulum dan ko-kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, suasana pembelajaran serta kemahiran dan keupayaan para pendidik supaya setiap individu Muslim mengenal Allah dan mengesakannya serta mengimani sifat-sifat kesempurnaannya.

Menaiktaraf mata pelajaran agama Islam sebagai subjek wajib dan sebagai syarat lulus peperiksaan kepada pelajar-pelajar beragama Islam supaya mereka mengetahui dan memahami tuntutan Allah di dalam Al-Quran dan As-Sunnah meliputi perkara-perkara halal dan haram serta batas-batas iman dan kufur.

Memperhebatkan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Islam melalui dialog, forum, dakwah fardhiyyah dan bantuan kebajikan agar mereka mengenali Allah, Tuhan Sekalian Alam yang telah mengutuskan seorang rasul yang membawa rahmat untuk sekalian alam dengan risalah Islam yang syumul, benar dan adil.

Merangka, meminda dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan yang perlu bagi menangani kalimah “ALLAH” disalahgunakan sehingga mengelirukan khususnya masyarakat Islam serta menjejaskan kesucian dan sifatnya yang muqaddas.

Tugas-tugas ini mestilah dipikul secara bersama oleh semua pihak – kerajaan, parti politik, NGO, media dan masyarakat – bagi memastikan kalimah “ALLAH” menjadi yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkanNya.

Berkelahi sehingga terpasar hukum-hukum yang bermacam-macam dan bercanggah antara satu sama lain akan semakin mengelirukan semua orang – masyarakat Islam dan bukan Islam – berkenaan penggunaan kalimah itu. Duduk, bincang dan sepakat!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Ulama Mesti Sepakat Isu Kalimah Allah


Ulama Mesti Sepakat Isu Kalimah Allah

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) meminta golongan ulama supaya duduk bersama, berbincang dan bersepakat berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan umat bukan Islam di negara ini.

Timbalan Presidennya, Eikhwan Ali berkata, perkelahian dan hujah yang timbul berikutan isu itu yang kembali dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini kini menimbulkan pelbagai hukum hakam yang bercanggah.

“Berkelahi sehingga terpasar hukum-hukum yang bermacam-macam dan bercanggah antara satu sama lain akan semakin mengelirukan semua orang termasuk masyarakat Islam dan bukan Islam.  Duduk, bincang dan sepakat!,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Eikhwan berkata, masyarakat bagaimanapun perlu membenarkan golongan ulama dan sarjana Islam dalam bidang sosiologi, politik dan perundangan menyelesaikannya isu tersebut.

Namun, tegas beliau, pandangan dan keputusan yang dibuat dengan tidak ikhlas demi mendapatkan atau mempertahankan kuasa politik mesti ditolak dan tidak diguna dipakai.