Istilah duit raya agak sinonim dengan Hari Raya Eidulfitri. Kanak-kanak
adalah golongan yang sangat gembira apabila mendapat duit raya. Tapi
bagi orang dewasa, jangan terperangkap dengan ‘duit raya’.
Segelintir manusia mengambil kesempatan dengan
menghulurkan ‘duit raya’ iaitu rasuah untuk mencapai hasrat mereka.
Tambahan pula tarikh pilihanraya umum khabarnya akan diumum selepas Hari
Raya Eidulfitri.
Rasuah di Malaysia Membimbangkan
Menurut laporan dari Transparency International pada
2005 bahawa Malaysia telah jatuh 16 anak tangga dalam tempoh 10 tahun
ini, iaitu dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun
2004.
Manakala, pada tahun 2011, Malaysia berada di tangga
60 dengan nilai 4.3 berbanding pada tahun 2007 di tangga 43 dengan nilai
5.1. Malaysia telah mengalami kemerosotan dari sudut integriti sejak
tahun 2005 sehingga sekarang.
Ini amat memalukan jika dibandingkan dengan negara
jiran iaitu Singapura, pada tahun 2011 berada di tangga ke-5 dengan
nilai 9.2, manakala pada tahun 2007, berada di tangga ke-4 dengan nilai
9.3. Tambahan pula Singapura merupakan negara yang "lebih muda"
berbanding Malaysia.
Agenda transformasi yang dilancarkan oleh kerajaan
seakan-akan tidak memberi kesan kepada negara, kerana kadar peningkatan
rasuah di Malaysia meningkat 46% dalam masa tiga tahun kebelakang
berdasarkan kajian daripada Global Corruption Barometer 2012.
Sektor Politik yang Parah
Awas buat ahli politik, sama ada dari pihak kerajaan
mahupun pembangkang. Anda harus sedar bahawa sektor politik adalah
sektor terburuk dalam kes rasuah.
Perkara ini dinyatakan oleh Transparency
International Global Corruption Barometer 2010, parti politik merupakan
sektor yang tertinggi kes rasuah dengan nilai 4.0 daripada keseluruhan
5.0 mata.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abu Kassim Mohamed, "Rasuah
dalam politik adalah ibu kepada semua rasuah".
Sewajarnya ahli politik rasa malu dengan isu rasuah
yang berlaku dalam parti politik kerana kebiasaannya ahli politik
dikaitkan dengan pemimpin. Bagaimana seorang pemimpin ingin mentadbir
negara sedangkan diri terpalit dengan skandal rasuah yang parah.
Membersihkan Negara dari Rasuah
Proses untuk membersihkan negara dari rasuah perlu
bermula dari peringkat kanak/remaja dengan penerapan unsur akauntabiliti
dan integriti dalam kurikulum pelajaran. Dengan adanya sikap
akauntabiliti dan integriti akan menjadikan rakyat Malaysia yang
sentiasa beramanah.
Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)
bertegas dengan mana-mana parti politik supaya ‘menyaring’ calon
pilihanraya bagi setiap parti politik. Individu yang pernah terlibat
dengan skandal rasuah mesti dikeluarkan daripada calon untuk bertanding.
Ini bukan soal kepentingan parti, tetapi kepentingan negara
GAMIS, Inspirasi Anak Muda!.
______________________________________________
Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan Gamis
No comments:
Post a Comment