Sunday 12 August 2012

KERAJAAN MEMBISU MENGECEWAKAN RAKYAT

Saban tahun kita menyambut hari kemerdekaan. Ratusan ribu wang malahan mencecah jutaan ringgit dibelanjakan bagi memastikan upacara sambutan kemerdekaan berjalan dengan lancar. Adakah ia membawa pulangan yang baik buat negara dan rakyat?


Terbaru isu logo hari kemerdekaan hangat dimainkan. Ada usaha dari rakyat untuk memberi nafas baru dalam memahami semangat kemerdekaan dengan mencadangkan reka bentuk yang baru. Selepas logo yang dicadangkan oleh kerajaan mendapat kritikan negatif yang sangat kuat.



Dalam menghadapi kemelut dalaman negara, kerajaan juga harus sedar akan peranan dan tanggungjawab sebagai sebuah negara islam yang dicontohi oleh negara islam yang lain. Semangat merdeka juga perlu dihidupkan, bukan sahaja dalam negara, malah untuk luar negara.



Kerajaan wajar bersikap responsif terhadap isu yang berlaku di negara Islam dan juga umat Islam di seluruh dunia. Sikap membisu dan berpeluk tubuh amat mengecewakan rakyat Malaysia.



Walaupun ia melanda umat islam, tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu atas dasar menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman, isu di Syria dan di Burma perlu diambil perhatian.



Kekejaman kerajaan Syria terhadap rakyat mereka, dan kezaliman yang melanda umat Islam Rohingya di Burma perlu diambil tindakan drastik sama ada melalui kecaman terhadap pemerintah dan juga bantuan kepada mangsa.



Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) sebelum ini pernah menganjurkan wacana isu Syria dan menjemput wakil daripada kerajaan untuk memberikan pandangan, malangnya tidak mendapat maklum balas dari pihak kerajaan Malaysia.



Terbaru GAMIS menganjurkan Himpunan Keamanan Umat Islam Rohingya pada hari ini, dan sekali lagi menjemput wakil dari pihak kerajaan, juga tidak mendapat maklum balas.



Tertarik dengan kenyataan Kofi Annan, bekas setiausaha agung PBB dalam sidang Millenium Summit pada 6-8 September 2000 beliau menyatakan: 



"Setiap negara perlu membentuk kesedaran mendalam mengenai dwi-peranannya dalam dunia global. Selain tanggungjawab berkenaan masyarakat masing-masing yang ditanggung negara, secara kolektif, setiap negara merupakan penjana kehidupan bersama-sama insan sejagat kehidupan yang dikongsi bersama oleh warga semua negara."



Isu-isu keamanan dan keadilan di dalam negara semestinya diambil berat oleh kerajaan, dalam masa yang sama sikap responsif terhadap dunia luar juga perlu ada, tambahan pula Malaysia merupakan contoh negara Islam yang maju.



Perlu dipertegaskan, semangat kemerdekaan mesti dikembangkan, bukan sehaja untuk rakyat negara ini, malah untuk manusia sejagat.


WAN MOHAMAD RASYADAN WAN HUSSIN
ketua penerangan GAMIS

No comments:

Post a Comment