Monday 12 November 2012

Asas-asas Pembentukan Akhlak Peribadi Muslim


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,   


Peribadi bermaksud manusia itu sendiri dengan fizikal, aqidah dan akhlaknya, yang berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Peribadi yang baik ialah yang memiliki akidah Islam.

Pembentukan akhlak Islam mestilah ditegak diatas empat asas utama, iaitu:

Pertama: Iman

Kedua: Islam

Ketiga: Takwa

Keempat: Ihsan

Huraiannya:

Sekiranya tidak wujud keempat-empat asas ini pada satu peribadi maka belum lagi dapat diakui ia benar-benar berakhlak Islam. Keempat-empat asas ini mesti dibentuk dan ditingkatkan mengikut keutamaan masing-masing.

Pertama: Iman

Dalam konteks ini asas keimanan mesti diutamakan. Ini kerana asas-asas yang lain tidak dapat ditegakkan sepenuhnya tanpa asas keimanan. Keimanan dianggap suatu yang ungul dan memainkan peranan yang positif. Kekuatannya memberikan inspirasi atau aspirasi yang kuat terhadap pembentukan asas-asas berikutnya. Sebaliknya, kelemahan iman akan mengakibatkan kelemahan asas-asas yang lain.

Iman tidak ubah seperti acuan atau benih. Bagaimana acuan maka begitulah hasilnya dan bagaimana benih maka begitulah pokoknya. Oleh itu adalah sia-sia sebarang usaha pembentukan akhlak Islam, jika tidak dimulakan dengan menegakkan asas keimanan terlebih dahulu.

Iman yang dikehendaki di sini ialah iman yang menjadi asas atau tunjang kehidupan umat Islam dalam semua aspek. Seorang muslim perlulah beriman sepenuhnya kepada prinsip-prinsip keimanan yang enam, iaitu beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, Malaikat-Nya, Hari Akhirat dan beriman kepada Qada dan Qadar. 

Iman ini hendaklah hidup subur di jiwa serta menghasilkan amalan dan usaha yang sesuai dengan kehendak Islam dan diredhai Allah SWT. Kuat atau lemah, pasang atau surut iman seseorang akan memberi kesan kepada setiap pekerjaan atau perbuatannya. Jika kuat iman itu maka baiklah perbuatannya. Sebaliknya jika lemah iman itu maka buruklah perbuatannya.

Kemurniaan hidup masyarakat Islam di zaman Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam  dalam semua aspek adalah berpunca dari kekuatan iman yang dibentuk oleh Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Keberanian, keadilan, kesabaran, persaudaraan dan perlaksanaan sepenuhnya ajaran Allah dalam kehidupan mereka setiap hari adalah natijah dan benih keimanan yang tulin. Sebaliknya kejatuhan akhlak yang berlaku di kalangan muda mudi Islam kini adalah berpunca dari ketandusan iman mereka.

Amalan atau pekerjaan yang berfaedah disisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala  ialah amalan atau pekerjaan yang digerak atau dicetuskan oleh iman.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila diperdengarkan kepada mereka ayat Allah bertambah lagi iman mereka dan kepada Allah mereka bertawakal. Mereka mendirikan solat dan membelanjakan rezeki yang Kami anugrahkan kepada mereka, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memiliki beberapa darjat di sisi Allah serta mendapat pengampunan dan rezeki yang murah daripada-Nya.” (Surah Al-Anfal ayat 2-4)

Kedua : Islam

Asas kedua dalam pembentukan akhlak Islam ialah Islam itu sendiri .Islam bermakna ikutan atau perlaksanaan segala titah perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala  dan patuh kepada-Nya semata-mata. Islam merupakan tatacara hidup yang serba lengkap seperti yang ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala  dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu deenmu, dan telah-Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah redai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah Al-Maidah ayat 3)

Islam sahaja merupakan cara hidup yang Allah redai.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Barangsiapa mencari deen selain deen Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripada-Nya, dan dia di akhirat termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran ayat 85)

Ajaran Islam tidak akan dapat dilaksanakan di dalam kehidupan seseorang tanpa asas pertama kepada pembentukan akhlak Islam, iaitu keimanan yang hakiki. Selagimana ajaran Islam tidak dituruti sepenuhnya hasil dari dorongan iman, maka belumlah seseorang itu dapat diakui sudah berakhlak Isalm.

Perlaksanaan ajaran Islam dengan amalan seseorang adalah menandakan wujudnya iman dalam jiwanya. Amal dan iman adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman mengerjakan amal soleh, mendirikan solah dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah ayat 277)

Ketiga: Takwa

Seorang muslim dianggap bertakwa apabila hatinya benar-benar takutkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala  Dia juga menyedari bahawa dia akan berhadapan dengan Allah SWT di hari kiamat kelak. Hidup didunia ini dianggapnya sebagai ujian dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala  Justeru itu dia perlu sentiasa berhati-hati dan mengawasi dirinya agar tidak terjerumus kedalam perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala  Takwa ini mestilah dibina diatas iman yang sejati.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala (yang bermaksud): “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dibuatnya untuk hari esok (Akhirat) , dan bertakwalah, kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr ayat 18)

Keempat: Ihsan 

Manakala ihsan pula lahir dari hati yang cintakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala  Cinta yang mendorong seseorang itu bersungguh-sungguh dan penuh minat melaksanakan ajaran Islam demi mengejar keredaan-Nya. Seorang yang bersifat ihsan akan mengutamakan orang lain daripada dirinya. Sifat ini melambangkan ketinggian akhlak seseorang muslim. Dalam menjelaskan ihsan. 

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman yang bermaksud: "...(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik diwaktu lapang atau sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang mohsin (bersifat ihsan)." (Surah Ali-Imran ayat 134)

Sahabat yang dikasihi,

Akhir kata suka ditegaskan bahawa akhlak Islam akan lahir pada peribadi muslim setelah melengkapi asas-asas tadi, iaitu iman, Islam takwa dan ihsan. Sayugia juga diingatkan bahawa asas pertama (iman) dan kedua (Islam) adalah syarat mutlak untuk membentuk akhlak Islam. Manakala asas ketiga (takwa) dan keempat (ihsan) ialah asas-asas yang melengkapi dan menyempurnakannya.

No comments:

Post a Comment