
Mahasiswa dan anak muda sedia untuk mobilasi besar-besaran
sebagai tanda solidariti kepada rakyat Gaza dan bantahan kepada Zionis Israel.
Ini berikutan serangan Zionis Israel terhadap semenanjung Gaza bermula Khamis
lalu (14 November) dan berterusan sehingga kini. Serangan Zionis Israel yang
kononnya di atas nama mempertahankan negara itu jelas kejam, tidak
berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia untuk bebas dari sebarang
ketakutan.
Sehingga kini korban serangan semakin meningkat dan mencecah
lebih seratus termasuk kanak-kanak dan wanita. Dengan ini Zionis Israel adalah
penjenayah perang apabila menyerang tanpa sebab yang kukuh dan mensasarkan
hospital dan golongan awam seperti kanak-kanak dan wanita untuk diserang.
Sayangnya sehingga kini masih tiada kecaman dari kuasa besar dunia seperti
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahkan mempertahankan tindakan terkutuk
ini dengan alasan Zionis Israel mempertahankan keselamatan negara. Justeru hari
ini (21 November) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan Solidariti Mahasiswa
Malaysia (SMM) telah melakukan bantahan di Wisma United Nation serta menghantar
memorandum bagi menyatakan pendirian kepada PBB untuk tegas dan tidak bias
dalam menangani isu serangan terhadap Gaza.
Apa yang lebih kita kesalkan ialah bagaimana sikap
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sehingga kini masih lagi membisu dan
tidak melakukan apa-apa respon yang cepat dan tepat dalam menghadapi kemelut di
Semenanjung Gaza. Seharusnya OIC perlu lebih proaktif dan prihatin apatah lagi
ia melibatkan negara umat Islam. Mahasiswa dan anak muda mendesak supaya OIC
mengadakan persidangan tergempar dengan segera dan menghasilkan resolusi yang
tegas dalam menangani isu serangan Zionis Israel terhadap Gaza.
Justeru, GAMIS, SMM dan bersama beberapa kumpulan mahasiswa
dan anak muda akan mengadakan himpunan besar-besaran di Hadapan Masjid Tabung
Haji dan kemudiannya berarak ke Kedutaan Rasmi Arab Saudi di Malaysia pada
Jumaat ini, 23 November. Perarakan bermula sesudah sahaja solat Jumaat sekitar
jam 2 petang. Ini sebagai protes dan desakan kita kepada OIC dan negara
pengerusinya iaitu Arab Saudi supaya berpendirian tegas dalam membantu rakyat
Palestin khususnya di Gaza yang dizalimi saban hari. Himpunan tersebut memilih
tema pakaian hitam sebagai tanda berkabung kepada rakyat Gaza yang dibunuh,
dibom dan dizalimi. Koordinator penganjur meletakkan sasaran 2000 ribu orang
untuk hadir dan bersolidariti pada himpunan nanti.
Untuk itu saya menyeru seluruh mahasiswa dan anak muda untuk
sama-sama bersolidariti dalam himpunan "Solidariti Mahasiswa dan Anak Muda
Untuk Gaza" tanpa mengira perbezaan kaum dan batas agama kerana isu ini
melibatkan isu sejagat dan hak asasi manusia. Kita sangat mengalu-alukan
mana-mana pertubuhan, NGO, persatuan mahasiswa dan anak muda untuk bersama
dalam himpunan Jumaat nanti.
Disokong oleh:
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Legasi Mahasiswa Progresif (LMP)
Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)
Demi Mahasiswa Kuis (DMK)
Sister In Movement (SIM)
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)
Pro-Mahasiswa Nasional (PRO-MN)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM)
Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
Maaruf Club UIAM
Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM)
Syis Abdul Kadir,
Naib Presiden Strategik & Mobilasi Massa GAMIS,
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM),
Jawatankuasa Koordinator Himpunan Solidariti Mahasiswa &
Anak Muda Untuk Gaza.
013-9391428
No comments:
Post a Comment