
Bajet 2012 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada
September 2011 yang lalu dengan menunjukkan jumlah perbelanjaan yang
disasarkan ialah RM232.8 Billion dengan anggaran pendapatan sebanyak RM 190
Billion. Ia merupakan bajet defisit selama 13 tahun berturut-turut bermula
tahun 1998.
Sungguhpun nilai defisit tahunan berkurangan kepada 4.7% berbanding
tahun 2011, namun kesan daripada sikap dan amalan berhutang ini telah menjadi
barah kepada mahasiswa khususnya dalam soal pinjaman pengajian.
Sebanyak RM 50.1 bilion ringgit iaitu hanya 21.6%
daripada keseluruhan bajet diperuntukan untuk Pendidikan dan Pembangunan Modal
Insan. Daripada jumlah itu, 37.2 bilion ringgit diperuntukkan kepada
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manakala 12.9 bilion peruntukan yang
diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi sebuah Negara membangun,
fokus sepatutnya adalah ditelitikan kepada sektor pendidikan setidaknya 30%
daripada jumlah keseluruhan bajet disalurkan kepada sektor yang berimpak tinggi
ini. Ini sangat penting dalam memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor ini
memberikan pulangan yang positif dalam segenap aspek sesuai untuk institusi
pengajian sebagai asas kepada pembangunan negara.
Dalam kemelut ekonomi yang semakin pulih dan suasana rencam
negara membangun, Malaysia seharusnya memberikan fokus utama dalam melahirkan
modal insan yang mampu menjana pendapatan negara pada masa akan datang. Namun
malangnya, kelompok mahasiswa terus dibebankan dengan masalah hutang dan kos
sara hidup yang tinggi ditambah pula dengan yuran pengajian yang mencanak naik.
Kos sara hidup di Lembah Klang contohnya meningkat hampir 5% dengan kenaikan
harga barang dan kegagalan kerajaan menyediakan solusi terbaik untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Hasil daripada ketempangan dalam fokus
pembangunan modal insan inilah lahirnya kelompok remaja yang menjadi samseng
serta keruntuhan nilai akhlak dan moral yang berlaku dalam negara yang menjadi
pemain utama dalam siaran berita nasional hari ini.
Pendidikan di dalam negara seharusnya tidak diperniagakan
kerana ia adalah tanggungjawab asasi sebuah kerajaan dengan memberikan
pendidikan percuma kepada rakyat mereka bermula prasekolah hingga pengajian
tinggi. Ini dibuktikan dengan kemampuan negara–negara membangun yang lain
sperti Turki, Finland dan beberapa buah negara yang setaraf dengan kemampuan
Malaysia. Kerajaan mesti berusaha kearah pelaksanaan pendidikan percuma
berbanding peruntukan yang besar kepada sektor–sektor yang merugikan apatah
lagi meruntuhkan pembinaan jati diri mahasiswa.
Malang sekali bagi mahasiswa yang dibebankan dengan pinjaman
PTPTN yang sentiasa menghambat mereka, ia menunjukkan tidak nampak ruang yang
cerah untuk mereka memenuhi peluang pekerjaan yang disediakan. Ditambah pula
dengan dasar baru kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri iaitu menaikkan
had umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun memberikan impak yang
besar kepada graduan saban tahun. Ini belum lagi dikira akan kebanjiran warga
asing yang mengisi tempat kerja yang sepatutnya dipenuhi oleh anak watan.
Terdapat juga kesusahan beberapa buah IPTA dan IPTS yang
tidak mencukupi kelengkapan fasiliti yang sempurna hingga masih banyak
universiti yang menyewa rumah kedai sebagai tempat pembelajaran dan pengajaran
mereka.
Mereka seolah-olah menjadi pelajar 'tabung uji' dalam keadaan
universiti yang tidak bersedia untuk memenuhi keperluan asasi dalam
pembelajaran. Tidak ditambah lagi dengan pertumbuhan cawangan-cawangan
universiti di kawasan yang tidak strategik serta dilihat lebih kepada memenuhi
pembangunan di kawasan menteri–menteri.
Mahasiswa kecewa dengan polisi dan dasar yang digunakan
kerana tidak mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan negara pada
masa akan datang. Generasi baru mesti melakukan sesuatu khususnya
mengharapkan Bajet 2013 yang akan dibentangkan nanti digunakan bukan hanya
untuk menjadi ‘gula-gula’ pilihanraya, tetapi menjadi pelaburan penting demi
kemajuan negara pada masa hadapan.
GAMIS, Inspirasi Anak Muda!
Akram Ikrami Bin Taib Azamudden
Presiden
GabunganMahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
No comments:
Post a Comment