
"Dua mata yang diharamkan dari api neraka ialah mata
yang menangis kerana takut kepada Allah , dan mata yang menjaga serta mengawasi
Islam dan umatnya dari (gangguan) kaum kafir." (Hadis Riwayat Bukhari)
Sejurus mendapat perkhabaran tentang pengkhianatan yang dilakukan
terhadap beberapa persatuan mahasiswa islam kampus di Malaysia, hati saya
terdetik inilah menjadi sunnah dalam perjuangan, golongan yang membawa dakwah
akan sentiasa ditentang. Ada yang kecewa, ada yang luka dan ada yang merana.
Menjadi satu keistimewaan buat golongan pemuda yang berada dalam medan dakwah
ialah jiwa yang kental.
“dan kami kisahkan kepada kamu (penceritaan al-kahfi) dengan
kebenaran, sesungguhnya mereka itu golongan muda (fityah) yang beriman kepada
Tuhan mereka dan kami gandakan kepada mereka itu dengan Hidayah…” (Surah al-Kahfi)
Meneliti sirah perjuangan Islam dari zaman berzaman, kelibat
kepemudaan sentiasa mengiringi siri meletakkan kebenaran berada di kemuncaknya.
Tegas dengan prinsip perjuangan telah menempatkan setiap insan yang membawa
panji Islam diancam halangan dan dugaan, lantas Allah sahaja yang menjadi
pelindung mereka. Begitulah sifat kepemudaan yang dipaparkan dalam sejarah
kegemilangan Islam. Gerakan mereka sentiasa segar mendokong kepimpinan Islam
sepertimana Usamah bin Zaid, Sollahudin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, Nuruddin
Az-Zinki dan sebagainya.
Selepas semua bertungkus-lumus untuk menanam benih cintakan
Islam kepada pelajar baru melalui minggu orientasi, kini para daei kampus akan
menempuh medan tempur yang lebih dahsyat iaitu Pilihanraya Kampus yang akan
berlangsung tidak lama lagi.
Justeru, saya titipkan beberapa pesanan buat daei di kampus,
semoga dengan pesanan ini dapat mengubat jiwa dan memberi semangat kepada
kalian. Yang lebih utama supaya gerakan dakwah yang kita bawa benar-benar
berjaya.
Memaknakan Sebuah Gerakan Mahasiswa Islam
Kita boleh bersetuju bahawa situasi di Malaysia sangat
berbeza di negara yang disebutkan di atas tadi. Namun, soal mabadi’ (prinsip)
yang ingin diserlahkan bukan bersifat anjal, ia sentiasa kukuh berdiri dengan
matlamat menzahirkan kebenaran Agama itu mengatasi segala-galanya, walaupun
dibenci dan dicerca golongan penentang. Soalnya, bagaimana sebuah gerakan
mahasiswa Islam mampu bernafas di celah-celah komuniti yang pelbagai khususnya
di Malaysia ini?
Gerakan Inklusif Bernafas Panjang
Walaupun kelompok yang membina gerakan ini ialah golongan
muda khasnya mahasiswa/i, namun realiti yang perlu difahami ialah kita masih
bersama dengan variasi lapisan masyarakat. Maka, identiti gerakan mahasiswa
Islam seharusnya dikenali oleh masyarakat, bukan kita hanya berpencak di pentas
kemahasiswaan tanpa melihat kepada isu setempat yang berlaku.
Gerakan mahasiswa perlu sentiasa cakna sehingga masyarakat
mampu mengiktiraf gerakan mahasiswa sebagai sebuah gerakan yang hidup di tengah
masyarakat. Kelemahan yang berlaku hari ini apabila masyarakat kurang merasai
gerakan mahasiswa kerana kita dilihat ekslusif dalam membicarakan isu-isu
tertentu.
Gerakan Keilmuan
Teras kepada Islam ialah Ilmu. Wahyu pertama menjadi
simbolik ketamadunan Islam itu meletakkan asas ilmu sebagai necara timbangan,
mengukur di antara sebuah kegemilangan dan kemunduran. Maka, bagi mempersadakan
sebuah gerakan, tidak dapat tidak perlu ditekankan soal penguasaan ilmu ini. Harus
difahami, bahawa gerakan keilmuan merupakan sebahagian daripada jihad
fisabilillah. Dengan sebab itu Allah tatkala melakarkan ayat-ayat jihad di
dalam surah at-taubah ayat 122, terdapat penekanan khusus kepada satu
golongan (thaifah) untuk mencari dan mendalami ilmu agama.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah mengisyaratkkan akan
kepentingan perkara ini di dalam kitabnya ‘Al-Hal Al-Islami Faridhatun wa
Dharuratun’. Malah, terma ‘mahasiswa’ itu sendiri sudah mengangkat nilai
keilmuan yang harus dikuasai mengikut posisi masing-masing. Sebagai contoh,
negara sangat memerlukan kepada tenaga pakar dalam bidang ekonomi untuk
menganalisis rangka ekonomi yang stabil serta pragmatik, penilaian terhadap
sistem politik yang demokratik, saintis yang mampu menjalankan inovasi yang
menjadi solusi kepada isu alam sekitar. Maka siapakah yang lebih layak mengisi
ruang ini melainkan sebuah gerakan mahasiswa yang sedar serta berdaya ilmu
untuk memenuhi tuntutan tersebut. Benarlah kalam Saidina Ali R.A “Kebenaran
tidak akan diketahui hanya dengan segolongan lelaki, ketahuilah sesuatu
kebenaran itu sepertimana yang diketahui oleh ahlinya”.
Gerakan Menerang, Bukan Menyerang
Dunia dirasakan makin sempit tatkala seluruh maklumat hanya
boleh didapati di depan mata skrin komputer. Inilah zaman maklumat. Setiap
perkara yang dibicarakan perlu dialas dengan maklumat, fakta dan sebagainya
agar maklumat tersebut autentik dan bukan hanya sekadar persepsi kosong. Maka,
seharusnya dalam mempersadakan misi gerakan, angle seperti inilah yang
seharusnya dikuasai dan dimanfaatkan oleh sesebuah gerakan.
Kita sedia maklum, sudah terlalu banyak maklumat diseleweng
hingga menimbulkan kekusutan dalam pemikiran masyarakat. Maka, sebuah gerakan
mahasiswa perlu tampil sebagai ejen penerang, bukan hanya sekadar menyerang
mana-mana organisasi khususnya yang berkepentingan politik. Anjurkan debat,
hidupkan dialog, suburkan wacana. Namun harus ditekankan, bukan sahaja kita
mengurus program bertemakan Islam. Tariq Ramadhan pernah menyentuh perkara ini
dalam ucapannya, agar kita menghidupkan wacana dan dialong berkenaan isu-isu
global, kemanusiaan, pemanasan alam sekitar dan menyentuh juga isu lokal yang
dekat dengan hati masyarakat.
Gerakan Hanya Alat
Di akhir kalam ini, ingin saya ingatkan bahawa sesungguhnya
kita hanyalah alat untuk Islam terus berkembang. Jika tiada kita, Allah boleh
menggantikan kelemahan kita ini dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Maka,
sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam, kita perlu terus memantapkan orientasi
gerakan kita agar Allah sentiasa memelihara kita dalam perjuangan ini dan
menjadikan gerakan ini sebagai ‘alat yang terbaik’ untuk memenangkan Islam
khususnya di Malaysia.
Gamis, Inspirasi Anak Muda!
Akram Ikrami bin Taib Azamudden
Presiden, Gamis
No comments:
Post a Comment