Gabungan kumpulan mahasiswa kali ini telah membuat satu
keputusan untuk mengadakan satu himpunan di ibu kota bagi menyuarakan apakah
tuntutan sebenar mahasiswa hari ini. Keputusan ini dibuat setelah mempertimbang
beberapa isu utama mahasiswa sebelum ini seperti yang pernah didedahkan Pro
Mahasiswa mengenai manipulasi parti pemerintah sekarang terhadap tarikh pilihan
raya kampus.
Dokumen dengan nama OPS
2020 yang didedahkan di Parlimen semasa perbahasan bajet tambahan sebelum ini,
juga secara jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada gerun dengan gelombang
kebangkitan mahasiswa sejak akhir-akhir ini. Sehingga kerajaan terpaksa membuat
keputusan menangguhkan pilihan raya kampus kepada suatu tarikh yang tidak
diketahui dan mestilah selepas tarikh pilihan raya umum. Sepatutnya pilihan
raya kampus berlangsung sekitar Mac atau paling lewat April yang lalu setelah
pembubaran Majlis Perwakilan pada Februari.
Namun, seperti pendedahan terbaru, pilihan raya kampus telah
dianjak kepada Septemberini dan kebanyakan kampus melaksanakannya secara
serentak pada 20 dan 25 September kerana mahasiswa yakin bahawa kerajaan gerun
dengan pendedahan yang dibuat maka pilihan raya kampus terpaksa juga dibuat
sebelum pilihan raya umum bagi menampakkan apa yang didedahkan oleh mahasiswa
adalah tidak benar.
Pun begitu, kami mahasiswa tidak hanya memandang kepada isu
tarikh pilihan raya kampus bagi sesi kali ini yang sememangnya penuh dengan
manipulasi tambah pula campurtangan parti pemerintah, bahkan tuntutan mahasiswa
terhadap pilihan raya kampus yang telus dan berintergriti mesti ditunaikan.
Mahasiswa tegas dengan pendirian bahawa universiti mestilah diberikan autonomi
yang sebenar dan menolak campurtangan daripada pihak kerajaan sepenuhnya,
sehingga mengabaikan hak mahasiswa sedangkan universiti dalam masa yang sama
dipimpin oleh ahli-ahli akademik yang seharusnya bebas daripada pengaruh
politik luar.
Pada kali ini, mahasiswa bertegas dengan enam tuntutan
terhadap agenda pilihan raya kampus. Bermula daripada penetapan tarikh
pilihan raya kampus bagi setiap sesi, penglibatan mahasiswa dalam
jawatankuasa suruhanjaya pilihan raya kampus, badan bebas sebagai pemantau
pilihan raya kampus,reformasi sistem pengundian supaya lebih telus, kebebasan
berkempentermasuk tempoh kempen dan tuntutan ke enam termasuklah penyediaan
dana universiti kepada calon yang bertanding secara adil dan sama rata.
Justeru, gabungan mahasiswa kali ini menyeru untuk seluruh
mahasiswa dan mana-mana badan atau pertubuhan bahkan seluruh rakyat Malaysia
yang cakna dengan isu pilihan raya kampus ini turut hadir ke Himpunan
Merdeka Kampus pada 16 September di Dataran Merdeka pada jam 2 petang. Kami
akan suarakan enam tuntutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus kali ini
memandangkan tarikh pilihan raya kampus dan pilihan raya umum semakin hampir.
Muhammad Safwan Anang Talib
Pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Timbalan Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia
(GAMIS)
Turut disokong oleh
Malaysia Youth And Students Democratic Movement (DEMA)
PRO Mahasiswa Nasional (Gabungan seluruh Pro Mahasiswa)
No comments:
Post a Comment