Kesalahan berfikir dan berencana yang sangat malang bahkan
merugikan yang dilakukan oleh para pentadbir Institut Pengajian Tinggi adalah
apabila menjadikan kampus dan warganya sebuah teritori yang tidak
berpartisipasi di arena politik. Sedangkan kampus yang menjadi tempat lahirnya
para bijaksana, pasti mempunyai sumber daya yang berpotensi untuk mengambil
peranan strategik dalam arena politik tanah air.
Lebih parah lagi, adanya pelbagai peraturan demi menghalang
para pensyarah dan mahasiswa dari memberi sumbangan langsung dalam pembangunan
politik. Lalu, peranan kampus sebagai pusat membina ketamadunan ilmu dan
peradaban budi dimandulkan dengan pendidikan ‘job oriented’ dan
sengaja dibiarkan budaya hedonisme bersarang.
Kesannya, sebahagian besar siswazah yang bergraduasi dengan
pelbagai taraf kelulusan, tidak memiliki kesedaran politik (political awareness)
yang membina dan gagal menunaikan tanggungjawab sosial (social responsibility)
dengan berkesan.
Bahaya jangka masa panjang jika keadaan ini berterusan ialah
lahirnya kepimpinan negara dan generasi bangsa yang mementingkan diri sendiri
dan hilangnya budaya permuafakatan serta semangat tolong-menolong dan
gotong-royong dalam membangunkan Malaysia untuk berhadapan dengan pelbagai
peranan dan cabaran pada masa hadapan.
Kualiti ‘terpelajar’ dengan kemampuan untuk menguji yang
benar dan yang salah dengan pendapat yang beralasan berdasarkan ilmu yang
dimiliki oleh mahasiswa sepatutnya mampu diterjemah dengan memikul
tanggungjawab mencari dan membela kebenaran, juga menentang sebarang bentuk
penyelewengan dan kebatilan.
Maka, kerana kebimbangan terhadap kemampuan mahasiswa ini,
pemerintah korup sedaya upaya mengahalang daripada wujudnya hubungan ‘mutual
simbiosis’ yang komprehensif, kompetitif & konstruktif antara
rakyat dan pemerintah, dan sekadar menjadikan hubungan itu sebagai hubungan
objek-subjek demi mengekalkan kedudukan dan kekuasaan yang sedang dimiliki.
Biarlah ummah boleh mendekati kampus dan mendapat manfaat
daripada kita. Jangan biarkan ummah menjadi seperti pemancing yang tidak dapat
merasai nikmatnya udang galah kerana sang buaya. Ayuh bebaskan kampus kita!
Kampus kita bukan lubuk buaya.
Eikhwan Ali
Naib Presiden, Gamis
No comments:
Post a Comment