Monday 3 September 2012

55 Tahun Merdeka


“Janji Ditepati” atau “Sebangsa, Sejiwa, Senegara”, pokok pangkalnya adalah keikhlasan dan kesungguhan kerajaan dan pembangkang untuk membina, membentuk, mengukuhkan dan mempertahankan jati diri bangsa dan negara Malaysia.

Malaysia perlu diterajui kepimpimpinan yang menginspirasikan rakyat, menghormati aspirasi warganya, dan berkongsi senang susah bersama masyarakat.

Penghayatan terhadap kemerdekaan negara sangat penting untuk menyemai cita-cita dan menyuntik semangat rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan generasi muda terhadap tanggungjawab memastikan agar wujud dan terpeliharanya keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan di Malaysia. Kami yakin, ia perlu bermula dengan agenda memerdekakan bangsa dan negara daripada belenggu unsur-unsur yang meruntuh dan negatif.

Sempena ulangtahun kemerdekaan kali ke-55, kami kemukakan "5 Agenda Memerdekakan Bangsa" dan "5 Agenda Memerdekakan Negara" sebagai satu cabaran dan amanah kepada pemimpin-pemimpin rakyat Malaysia untuk merealisasikannya :

5 Agenda Memerdekakan Bangsa


1. Memerdekakan bangsa daripada disogok dengan informasi yang tidak tepat dan tidak menyeluruh, sebaran berita fitnah, maklumat yang berat sebelah, pemikiran songsang dan pendidikan yang tidak seimbang.

2. Memerdekakan bangsa daripada anasir-anasir yang merosakkan perpaduan, menimbulkan ketegangan kaum, dan menggugat keharmonian variasi bangsa, budaya dan agama.

3. Memerdekakan bangsa daripada rasa tidak aman dan tidak selamat akibat perbuatan jenayah ragut, rompak, bunuh dan rogol yang kian menjadi-jadi.

4. Memerdekakan bangsa daripada gejala sosial dan gejala kuning, budaya hiburan melampau dan melalaikan, tabiat pemakanan yang tidak sihat dan aktiviti seharian tidak seimbang.

5. Memerdekakan bangsa daripada dijadikan sebagai orang salah atau musuh negara dek kerana nasihat dan teguran mereka serta partisipasi dalam hal ehwal negara.
5 Agenda Memerdekakan Negara

1. Memerdekakan negara daripada kepimpinan yang tiada integriti, hilang wibawa, melakukan korupsi, pecah amanah dan salah guna kuasa.

2. Memerdekakan negara daripada institusi awam yang tidak bebas akibat campur tangan politik, dan gangguan serta cengkaman daripada pihak berkepentingan.

3. Memerdekakan negara daripada pencabulan ke atas hak rakyat untuk berpartisipasi memberi sumbangan secara fizikal dan mental, nasihat dan teguran dalam pembangunan negara.

4. Memerdekakan negara daripada ketempangan dalam pelaksanaan sistem demokrasi, dan pencabulan ke atas sistem pengasingan kuasa serta hak-hak federal dan negeri.

5. Memerdekakan negara daripada pembolotan harta untuk kroni, ketirisan kewangan, dan pengagihan kekayaan yang tidak saksama.

Kemerdekaan tidak hanya sekadar ulangan perayaan saban tahun, tetapi adalah proses berterusan yang menuntut kejujuran dan komitmen semua pihak untuk memastikan Malaysia aman, makmur dan sejahtera.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan ke-55.
             Merdeka Bangsa, Merdeka Negara, Malaysia Sejahtera

Wallahu'alam.

SHUKRAN SHAHARUDIN
Ketua Penerangan INSPIRASI

No comments:

Post a Comment