
Perkahwinan adalah kaedah terbaik bagi menolong menguatkan
agama dan menghindari bisikan syaitan. Ia adalah benteng pertahanan daripada
musuh-musuh Allah dan orang mukmin. Perkahwinan adalah penawar terbaik bagi
mengubati jiwa yang kesunyian. Perkahwinan juga penawar terbaik bagi memenuhi
segala kehendak dan keinginan manusia terhadap satu sama lain. Sesungguhnya
perkahwinan adalah salah satu perkara yang sangat dibenci oleh syaitan apabila
ia dilakukan oleh orang yan beriman.
Sabda Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam (maksudnya), "Apabila salah seorang daripada
kamu melihat seorang wanita, lalu dia tertarik kepada wanita itu, maka dia
harus kembali kepada isterinya, kerana hal ini akan dapat menepis apa yang ada
dalam jiwanya." - Riwayat Muslim
Allah Taala melarang sama sekali umatnya untuk hidup membujang seperti para
pendeta yang beranggapan mereka harus fokus kepada keperluan jiwa sahaja. Hal
ini merupakan satu penyimpangan yang jelas daripada fitrah manusia yang
berkaitan dengan keperluan biologi seorang manusia tersebut.
Berkahwin dan berkeluarga merupakan Sunnatullah dan juga sunnah Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam yang harus diikuti oleh manusia yang beriman. Dengan perkahwinan,
keinginan nafsu dapat dipenuhi dalam bingkai Ilahi. Dan nikah ini juga mestilah
secara syari’e bukan sesama jenis seperti apa yang sudah berlaku di Negara
Eropah malah sudah mula menjangkiti umat manusia di bumi Malaysia.

"Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu
yang telah menciptakan kamu dari seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah
menciptakan isterinya (Hawwa'); dan dari pada keduanya Allah
memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah
kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama
lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu
menjaga dan mengawasi kamu." [Surah an-Nisa':1]
Sudah menjadi fitrah manusia, yang lelaki pasti akan tertarik kepada perempuan.
Begitu juga sebaliknya. Lantaran itu Islam menggalakkan perkahwinan. Ini bagi
memenuhi fitrah. Sekiranya tidak melalui proses perkahwinan, pelbagai keburukan
pasti berlaku. Perkahwinan boleh mencegah perbuatan-perbuatan keji seperti
zina. Rasulullah ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam sendiri menegah umatnya menghampiri zina. Apabila
seseorang lelaki melihat seorang perempuan, dengan pandangan syahwat, dia perlu
segera kembali ke rumah dan mendapatkan isterinya kerana apa yang dimiliki oleh
perempuan yang dilihatnya itu juga dimiliki oleh isterinya.
Firman Allah Taala :

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia
menciptakan bagimu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa
kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat
tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." [Surah ar-Rum:21]
Firman Allah Taala lagi :

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan
perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba
kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan
kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi maha mengetahui." [Surah An-Nuur:32]
Daripada ayat di atas, Allah Taala menerangkan kepada kita bahawa Dia telah
menciptakan para isteri kepada suami mereka daripada kalangan mereka sendiri
supaya mereka menjadi lebih cenderung supaya saling mengasihi antara satu sama
lain. Mereka mempunyai persamaan, sama ada persamaan daripada segi manusia,
emosi, naluri, bangsa ataupun budaya. Apabila ada perbezaan daripada pelbagai
segi sama ada bangsa, adat dan budaya, pasti akan berlaku perselisihan faham
antara satu sama lain.
Hal ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengahwini orang
yang tidak sama sebangsa atau berbeza adat dan budaya. Namun, pasangan yang
bakal mendirikan rumah tangga perlu memahami tujuan perkahwinan itu sendiri
sebelum melaksanakannya.
Perkahwinan adalah sebab bagi meramaikan umat Nabi Muhammad ShallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Ini kerana
di akhirat kelak, Baginda Rasulullah juga boleh berbangga kerana memiliki umat
yang ramai. Perkahwinan sangat penting bagi membentuk institusi kemasyarakatan.
Melalui perkahwinan, ia akan membentuk institusi kekeluargaan yang akan
mencurahkan kasih sayang kepada kanak-kanak, menghasilkan anggota masyarakat
yang baik yang di dalamnya diisi oleh anggota masyarakat yang kuat, berkembang
dan maju.
Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala berkata: "Alangkah baiknya kamu mencari sebab untuk
berkahwin, menjaga adab-adab perkahwinan dan jelas dengan tujuan
perkahwinan."
tarbawi.my
No comments:
Post a Comment