
Rentetan daripada isu ‘Occupy Dataran’ pada April 2012 bagi
menuntut pemberian PTPTN secara percuma, seorang daripada peserta ‘Occupy
Dataran’ tersebut, saudara Omar Muhammad Azmi telah ditahan dan dikenakan
hukuman penjara selama sebulan dan denda sebanyak RM1000 atas alasan mengganggu
tugas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang ingin menyuraikan keadaan.
Di pihak GAMIS, kami menolak sebarang provokasi yang dilakukan sama ada oleh
orang awam atau pihak berkuasa dalam peristiwa ‘Occupy Dataran’. Namun, GAMIS
melihat, perkara yang harus diberi tumpuan utama adalah berkenaan tujuan
‘Occupy Dataran’ itu dilakukan, bukan semata-mata melihat kepada isu penahanan
saudara Omar.
Perkumpulan siswa di Dataran Merdeka pada April 2012 yang lalu mempamerkan
suatu semangat untuk menuntut hak bagi menikmati pendidikan percuma. Walaupun
slogan yang dilaungkan adalah tuntutan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN), namun, isu yang harus diberi perhatian adalah
berkenaan pendidikan percuma dan usaha untuk meningkatkan kualiti mahasiswa.
Melihat kepada rentetan isu, GAMIS melihat, mahasiswa ini merupakan mangsa
kepada seluruh keadaan. Ketika mana mahu menyambung pelajaran, mahasiswa
terpaksa meminjam untuk membayar yuran pengajian yang mahal. Dengan peningkatan
kos sara hidup, pinjaman PTPTN tidak lagi mampu menampung perbelanjaan harian
mereka. Pinjaman PTPTN yang hanya mampu digunakan untuk bayaran yuran pengajian
dipersoalkan sedangkan untuk kos sara hidup, mereka terpaksa mencari alternatif
kewangan yang lain.
Keadaan ini menjadi lebih parah apabila mahasiswa harus
membayar pinjaman PTPTN bersekali dengan cas tambahan yang membebankan mereka.
Maka, perkara inilah yang meledakkan kemarahan mereka, lantas, bertindak secara
agresif dengan mengadakan perkumpulan yang disebut sebagai ‘Occupy Dataran’.
Penahanan saudara Omar juga mempamerkan perlekehan terhadap penuntutan hak
mahasiswa yang harus dipandang serius oleh pihak kerajaan.Penahanan ini
membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk melihat permasalahan yang
berlaku dalam institusi pendidikan tinggi. Sekali lagi, mahasiswa menjadi
mangsa kerana menuntut hak mereka yang telah dikorupsikan dek kerana sistem
pengajian sedia ada mula diperdagangkan, bahkan tidak lagi berhasrat untuk
melahirkan manusia yang mengerti soal adab dan disiplin dalam pencarian ilmu.
Pada akhirnya, GAMIS berpendirian, perkara sebenar yang harus dipandang oleh
pihak kerajaan adalah berkenaan isu pendidikan percuma di peringkat pengajian
tinggi. Permasalahan sebenar harus diperhalusi, dan setiap tindakan mahasiswa
yang berlaku pada hari ini adalah sebagai suatu respons kepada kebejatan
masalah yang berlaku dalam institusi. Oleh kerana itulah, GAMIS mendesak pihak
kerajaan untuk menyelami isu ini secara lebih mendalam.
Sekiranya isu ini tidak
dapat diselesaikan, perkara ini menggambarkan betapa parahnya institusi
pengajian tinggi yang dipengaruhi oleh campur tangan politik dalam pentadbiran.
Satu persoalan, adakah harus dipersalahkan kepada manusia yang menjadi kesan
pada sebuah struktur pentadbiran?
Saya yang benar,
Muhamad Azan Safar
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
No comments:
Post a Comment