Pilihanraya adalah mekanisme penting dalam negara yang
mengamalkan sistem demokrasi. Ia adalah proses pengurniaan mandat dan kuasa
rakyat kepada seseorang individu dan sesebuah parti untuk mentadbir sesebuah
negeri dan negara bagi menjamin kemerdekaan, memelihara keamanan, memacu
kemajuan dan menegakkan keadilan untuk rakyat dan tanah air ini.
Proses ini mesti berlangsung dengan tiga (3) unsur; [1]
partisipasi menyeluruh rakyat, [2] jaminan kebebasan asasi, dan [3] proses yang
bersih dan adil. Idea pendaftaran automatik dan penurunan umur kelayakan
sebagai pengundi adalah cadangan bijaksana bagi memastikan lebih ramai rakyat
terlibat. Rakyat mesti dijamin kebebasan asasi mereka seperti kebebasan
bersuara, berparti dan berhimpun, tanpa sekatan menggunakan pelbagai
undang-undang dan peraturan. Reformasi pilihanraya perlu berlaku dengan
membersihkan senarai pemilih, akses media yang saksama dan penolakan terhadap
budaya politik kotor dan samseng.
Bersilih-ganti sesebuah parti kepada parti yang lain untuk
mengetuai kerajaan adalah suatu yang normal bagi proses ini di negara-negara
yang mengamalkan demokrasi secara telus. Doktrinisasi dan persepsi bahawa
pertukaran ini adalah suatu yang negatif yang dilancarkan adalah kerana dua (2)
perkara; [1] kebimbangan yang teramat sangat oleh sesebuah parti terhadap
kemandirian partinya untuk terus kekal berkuasa, dan [2] menganggap bahawa
rakyat terlalu dangkal untuk membuat pilihan bagi menentukan kerajaan.
Secara terus-terang dan seluruh rakyat sedang merasai hal
ini, UMNO sedang resah gelisah, lalu rakyat cuba diperbodoh-bodohkan.
Bimbangnya UMNO kerana ia diketuai seorang Presiden merangkap Perdana Menteri
yang belum mendapat mandat rakyat sehingga ke hari ini, dan sehingga ke hari
juga UMNO belum yakin untuk mendapatkan mandat daripada rakyat melalui
pilihanraya. Jika kalah, keadaan ini tidak mudah untuk UMNO pasrah sementelah
lagi ia telah berkuasa selama lebih separuh abad. Sebelum ia terpaksa
pasrah, UMNO pasti tidak tentu arah untuk tidak mahu menyerah.

Pasca PAU 2012 telah membuka mata rakyat terhadap budaya
politik UMNO dan prestasinya sebagai teras kerajaan BN. Melalui PAU 2012,
rakyat dapat melihat betapa UMNO sedang mengalami krisis keyakinan dan
kesetiaan para anggotanya yang agak keterlaluan.
Berkali-kali amaran supaya
jangan sabotaj dan mesti sokong calon parti, jelas mendedahkan realiti itu, dan
rakyat pula sudah maklum bahawa ia memang wujud dalam UMNO buat sekian lama.
Diikuti pula dengan insiden provokasi dan pukul, yang sememangnya sebati dengan
UMNO yang mempraktikkan budaya politik kotor dan samseng. UMNO juga tidak sunyi
daripada terus terpalit dengan isu-isu rasuah dan kronisme.
Sebagai kerajaan pula, UMNO tidak berkeupayaan langsung
menyelesaikan isu-isu evergreen seperti kebejatan sosial yang berpunca
daripada hiburan melampau dan pergaulan bebas sehingga anak luar nikah yang
direkodkan sehingga ke tahun 2010 berjumlah lebih 250,000 orang, sejumlah
76,200 graduan mengganggur tanpa peluang pekerjaan, sejumlah besar siswazah
pendidikan tidak mendapat tempat, peningkatan kos sara hidup sehingga
menyebabkan 300,000 hingga 400,000 buah keluarga dikategorikan dalam kumpulan
miskin melampau, dan harta rakyat terus dirompak melalui rampasan royalti dan
pelaksanaan undang-undang seperti AES. Beginilah cara UMNO dan BN melaksanakan
agenda “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”
Dalam hal ini, pendirian GAMIS adalah jelas dan tegas bahawa
kunci bagi memastikan Malaysia untuk terus aman, makmur, mendahulukan rakyat,
mengutamakan pencapaian, sejahtera dan berkebajikan ialah dengan memastikan
UMNO tidak lagi diberi mandat untuk mentadbir Malaysia pasca pilihanraya umum
ke-13 akan akan datang. MALAYSIA TANPA UMNO.
Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
No comments:
Post a Comment