
Para ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan hukum
penggunaan kalimah “ALLAH” dalam kalangan orang-orang bukan Islam.
Sebahagiannya berpendapat HARUS digunakan, dan sebahagian yang lain pula
mengHARAMkannya. Kedua-duanya mengemukakan hujah berdasarkan kepada nas-nas
al-Quran dan al-Hadith serta aspek logik akal, sejarah dan penggunaan bahasa.
Lebih menarik, kedua-duanya mempunyai hujah balas terhadap satu sama lain.
Bagi memanfaatkan perbezaan itu untuk mengeluarkan hukum
berkenaan dengannya (penggunaan kalimah “ALLAH”) di Malaysia, ia berhajat
kepada kemahiran memerhati, meneliti dan mencermati realiti semasa dan setempat
hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi aspek sosio-budaya, politik dan
perundangan.
Tidak dapat tidak, setelah ada dua pilihan, untuk memilih
hanya satu, - dalam permasalahan ini – ia mesti dinilai dengan ilmu fiqh
as-siyasah as-syar’iyyah secara teori dan pengalaman daripada pengamalannya untuk
menimbang tara antara maslahah dan mafsadah daripadaya (kedua-dua pandangan
yang berbeza itu).
Maka, biarlah para ulama’ dan sarjana-sarjana Islam di
bidang sosiologi, politik dan perundangan berperanan menyelesaikannya. Namun,
pandangan dan keputusan yang dibuat dengan tidak ikhlas serta dengan
tujuan-tujuan batil – mendapatkan atau mempertahankan kuasa politik – mestilah
ditolak dan tidak dipakai.
Apa yang penting daripada kedua-duanya (sama ada melarang
atau membenarkan) ialah:
Memperkasakan institusi pendidikan agama Islam di semua
peringkat (pra-sekolah, rendah, menengah dan pendidikan tinggi) meliputi
kurikulum dan ko-kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, suasana pembelajaran
serta kemahiran dan keupayaan para pendidik supaya setiap individu Muslim
mengenal Allah dan mengesakannya serta mengimani sifat-sifat kesempurnaannya.
Menaiktaraf mata pelajaran agama Islam sebagai subjek wajib
dan sebagai syarat lulus peperiksaan kepada pelajar-pelajar beragama Islam
supaya mereka mengetahui dan memahami tuntutan Allah di dalam Al-Quran dan
As-Sunnah meliputi perkara-perkara halal dan haram serta batas-batas iman dan
kufur.
Memperhebatkan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan
Islam melalui dialog, forum, dakwah fardhiyyah dan bantuan kebajikan agar
mereka mengenali Allah, Tuhan Sekalian Alam yang telah mengutuskan seorang
rasul yang membawa rahmat untuk sekalian alam dengan risalah Islam yang syumul,
benar dan adil.
Merangka, meminda dan menguatkuasakan undang-undang
berkaitan yang perlu bagi menangani kalimah “ALLAH” disalahgunakan sehingga
mengelirukan khususnya masyarakat Islam serta menjejaskan kesucian dan sifatnya
yang muqaddas.
Tugas-tugas ini mestilah dipikul secara bersama oleh semua
pihak – kerajaan, parti politik, NGO, media dan masyarakat – bagi memastikan
kalimah “ALLAH” menjadi yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi
melainkanNya.
Berkelahi sehingga terpasar hukum-hukum yang bermacam-macam
dan bercanggah antara satu sama lain akan semakin mengelirukan semua orang –
masyarakat Islam dan bukan Islam – berkenaan penggunaan kalimah itu. Duduk,
bincang dan sepakat!
Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).
No comments:
Post a Comment