Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Fenomena LISTEN yang hangat dimainkan sekarang mencetuskan kemarahan dan
gelombang kebangkitan dalam kalangan mahasiswa amnya dan masyarakat umumnya.
Fenomena ini rentetan daripada Forum Suara Mahasiswa yang bertajuk “Seiringkah
Mahasiswa & Politik” yang telah diadakan pada 8 Disember 2012 yang lalu di
Dewan Muadzzam Shah, Universiti Utara Malaysia.
Isu yang dibangkitkan adalah hak dan kebebasan bersuara. Sahabat saya, Bawani
KS dinafikan haknya untuk mengutarakan pendapat sebagai pengaju soalan.
Tindakan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang merupakan Presiden Suara
Wanita 1 Malaysia selaku moderator menunjukkan seolah-olah beliau tidak
menghormati institusi pendidikan negara yang mendokong kebebasan akademik dalam
berhujah dan berbeza pendapat.
Dalam mana-mana diskusi mahupun forum, ahli panel dan juga audien mempunyai
ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing, malahan ia perlu
ditangani secara professional supaya keadaan menjadi tenang, bukan dengan
memotong percakapan atau soalan yang diajukan dengan cara menarik pembesar
suara sebelum sempat soalan habis diajukan. Tindakan Sharifah agak keterlaluan
dan tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin NGO yang
berpendidikan di depan lebih 2000 mahasiswa yang hadir dalam forum tersebut.
Bawani KS seorang mahasiswa Universiti Utara Mahasiswa dalam jurusan Sarjana
Muda Undang-Undang telah dimalukan secara terang-terangan apabila dikatakan
kurang tahap pendidikan terutamanya pendidikan hormat warga yang lebih dewasa.
Hal ini jelas menjatuhkan imej seorang mahasiswa. Perlu diingat mahasiswa
adalah golongan intelektual dan semakin matang dalam menelaah isu-isu politik
Negara. .
Sharifah juga bukan hanya tidak menghormati soalan yang diajukan malahan
memberikan analogi yang tidak masuk akal dan tidak ada kaitan dengan soalan dan
fakta yang diajukan oleh saudari Bawani.
Justeru, saya bagi pihak Gamis Kedah yang juga selaku mahasiswa Universiti
Utara Malaysia menggesa Presiden Suara Wanita 1 Malaysia Sharifah Zohra Jabeen
Syed Shah Miskin untuk tampil kehadapan dengan kadar segera untuk memohon maaf
kepada saudari Bawani secara terbuka dan terang-terangan seperti mana beliau
telah menjatuhkan imej saudari Bawani secara terbuka.
Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Saudari Bawani yang telah
menunjukkan kewibawaan seorang mahasiwa dan berani mengetengahkan isu-isu
politik Negara dengan tegas dan berprinsip.
Salute to Bawani KS
No comments:
Post a Comment