
KEPIMPINAN DALAM ISLAM
(Ciri-ciri dan akhlak pimpinan)
PENDAHULUAN
Dalam Islam kepimpinan amat perlu dalam membina dan
membangunkan sesebuah organisasi atau persatuan. Gagal atau berjayanya sesebuah
organisasi itu banyak ditentukan oleh ciri-ciri dan gaya pemimpin organisasi
berkenaan. Firman Allah SWT:
يدَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَـكَ خَلِيفَةً فِى الاٌّرْضِ فَاحْكُمْ
بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلاَ تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ
اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدُ
بِمَا نَسُواْ يَوْمَ الْحِسَابِ
Bermaksud, “Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu
(penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia
dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan
menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari
jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari
perhitungan.” (Surah Shaad ayat 26.)
Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah yang mesti
dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan risalah yang dibawa oleh Rasulullah
SAW. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat RA
ketika Abu Zar Al-Ghiffari meminta jawatan, Baginda SAW menjawab: "Wahai Abu Zar.. Sesungguhnya ini amanah, engkau amat lemah, apabila engkau
tidak menunaikan haknya ia akan memberikan penghinaan kepadamu di akhirat
nanti.." (maksud Hadis)
Tindakan Saidina Abu Bakar apabila mendepani kewafatan Rasulullah
SAW, tindakan utama yang dilakukan oleh beliau sebelum menguruskan jenazah
baginda SAW ialah bermesyuarat untuk memilih Khalifah sebagai pengganti
Rasulullah SAW.
PENGERTIAN KEPIMPINAN
Kepimpinan adalah sejenis hubungan perilaku
manusia, pengaruh, daya tindakan serta penghalangnya kearah matlamat yang
tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan
penghormatan. Hakikatnya kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khilafah
di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan prosses pembersihan sesebuah
organisasi. Sebagaimana firman Allah SWT:
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ
بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِى أَنفُسِهِمْ حَرَجاً مِّمَّا قَضَيْتَ
وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Bermaksud, “Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak
beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka
perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka
terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.” (Surah
an-Nisaa’ ayat 65.)
Nabi SAW memerintahkan kepimpinan walau di dalam kumpulan
yang sedikit jumlahnya. Sebagaimana sabda Nabi SAW.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَإِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ
فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُم
Maksudnya, “Jika tiga orang keluar dalam satu
perjalanan, maka hendaklah mereka memilih salah satu diantaranya sebagai
pemimpin." (HR.Abu Daud)
GELARAN PEMIMPIN
1. Al-Khalifah
2. Waliyul’amr
3. Al-Imam
4. Al-Sultan
5. Al-Malik
6. Amirul Mukminin
SYARAT-SYARAT KEPIMPINAN DALAM ISLAM
Pemimpin yang berkesan dalam sesebuah organisasi
adalah pemimpin yang bersifat terbuka, menerima pandangan orang bawahan,
sentiasa mendapatkan maklumat yang benar dan tepat bagi melaksanakan sesuatu
tindakan, berkemahiran, bertanggungjawab dan sntiasa mewujudkan suasana yang
selesa dalam organisasi.
Islam telah meletakkan syarat-syarat kepimpinan untuk
menjamin kejayaan sesebuah negara dan kerajaan sekaligus mempermodelkan Islam
dalam kepimpinan dan pemerintahan, antaranya ialah,
Pertama: Muslim (Islam), ‘akil baligh dan lelaki
Firman Allah SWT:
يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ
وَالنَّصَـرَى أَوْلِيَآءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ
مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّـلِمِينَ -
فَتَرَى الَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَـرِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ
نَخْشَى أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِىَ بِالْفَتْحِ أَوْ
أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُواْ عَلَى مَآ أَسَرُّواْ فِى أَنفُسِهِمْ
نَـدِمِينَ
Yang bermaksud : ”Hai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi
pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang
lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka
sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak
memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat
orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera
mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan
mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan
(kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu,
mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.” (Surah
al-maaidah ayat 51-52).(1)
Ayat di atas menjelaskan kerjasama dalam gerakan Islam
dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang
Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis
ketaatan (wala’) kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama
dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka
langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.
Kedua: Adil
Seorang pemimpin mestilah tidak fasik seperti tidak
meninggalkan solat, beramal dengan segala amalan yang di ketahui selagi mana
amalan tersebut tidak menyalahi kata-kata dan perbuatan serta tidak menyalahi
landasan islam.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإْحْسَانِ وَإِيتَآءِ ذِى
الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْى يَعِظُكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Bermaksud, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku
adil dan berbuat kebajikan, member kepada kaum kerabat, dan Allah melarang
perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberimu pengajaran agar kamu
dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl ayat 90)
Ketiga: Berilmu
Seorang pemimpin mestilah mengetahui perkara-perkara yang
berkaitan dengan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah sehingga dapat membezakan
diantara yang ma’aruf dan yang mungkar serta mengetahui perkara-perkara yang
berkaitan dengan pimpinan. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali berkata : "Sesungguhnya
Islam yang diperjuangkan atas landasan kejahilan akan lebih memudharatkan
berbanding serangan musuh Islam. Malangnya kebanyakan pendukung Islam adalah
dari kalangan orang-orang jahil.”
Keempat: Mempunyai kuasa dan kemampuan
Bermaksud boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan
atau masalah yang berlaku samada melalui tenaga, perkataan,tulisan atau fikiran
dalam segala aspek.
Kelima: Beradab mengikut akhlak Islam
Seseorang pemimpin mestilah mampu memberi contoh tauladan
mengikut akhlak Islam kepada diri dan orang di bawah pimpinanya. Selain itu, di
dalam dirinya mestilah mengandungi sifat ikhlas, jujur, tidak angkuh, riya' dan
sebagainya malah seorang pimpinan haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji
dan jauh dari sifat-sifat yang terkeji.
Firman Allah SWT :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ
كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Bermaksud, “Sesungguhnya telah adaa pada (diri) Rasulullah
itu suri teladan yang baik begaimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)
Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah
Al-Ahzab: Ayat 21)
Keenam: Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan
Firman Allah SWT
لَّيْسَ عَلَى الضُّعَفَآءِ وَلاَ عَلَى الْمَرْضَى وَلاَ عَلَى
الَّذِينَ لاَ يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلَّهِ
وَرَسُولِهِ
Maksudnya, "Tiada dosa (lantaran tidak pergi
berjihad) atas orang-orang yang lemah, sakit dan orang-orang yang tidak
memperolehi apa yang akan mereka nafkahka, apabila mereka berlaku ikhlas kepada
Allah dan Rasulnya." (Surah al-Maidah ayat 91.)
AKHLAK DAN SIFAT YANG PERLU ADA PADA
DIRI PIMPINAN
Model kepimpinan melalui teladan yang dipamerkan oleh Rasulullah
SAW dan para sahabat baginda SAW dengan meletakkan dunia di tangan mereka dan
meletakkan akhirat di hati mereka adalah asas penolakan pengaruh materialis,
sekularis, liberalis, paragmatis dan semua unsur luar yang mencemarkan kesucian
Aqidah dan pegangan Umat Islam. Maka Islam telah menggariskan akhlak dan
sifat-sifat yang perlu ada dalam diri setiap pimpinan.
Antaranya :
1. Seorang pimpinan mestilah sentiasa
mengharapkan akhirat dengan ikhlas kerana Allah semata mata. Mempunyai hati
yang bersih, jauh dari segala penyakit jiwa yang akan meruntuhkan amal dan
usahanya seperti riya’, gila kuasa, cinta pangkat kebesaran dan pengaruh atau
terpedaya dirinya dan lain-lain penyakit jiwa yang merosakkan pimpinan.
2. Mempunyai akal yang
kuat, hikmah, cerdik cendiakawan dan arif bijaksana, berpengalaman, mempunyai
pandangan yang tajam, pembacaan yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara
dari berbagai sudut.
3. Mestilah berakhlak
dengan sifat “Al-Hilm” (tidak mudah marah), penyantun, pengasih dan lemah
lembut.
4. Berani, bermaruah,
tidak penakut dan tidak membabi buta.
5. Mempunyai sifat “As-Siddiq”
(benar di dalam segala kata-kata, sikap dan perbuatan).
6. Tawadhu’ (merendah
diri), tidak membanggakan diri kepada menusia.
7. Mempunyai sifat pemaaf, menahan kemarahan dan
ihsan kepada oerang bawahan yang berbuat jahat terhadapnya.
8. Menepati janji dan
memenuhi sumpah setia.
9. Mempunyai sifat sabar
yang tinggi
10. Bersifat “Al-‘Iffah” (suci hati,jiwa dan amal) dan “Al-Kiram”
(bersifat pemurah dan tidak bakhil).
11. Warak dan zuhud
12. Jauh dari sifat “Al-Mannu” (mengungkit) dan
memperkatakan kebaikkan diri sendiri.
13. Memelihara perkara-perkara yang dimuliakan
Allah (Hurumatillah).
14. Kesejahteraan hati, tidak melayani orang yang
mengumpat dan mengadu domba antara sesame manusia.
15. Keazaman, tawakal dan tidak ragu.
16. Bersederhana di dalam segala perkara
17. Menjauhi sikap putus asa
Kesemua akhlak dan sifat-sifat yang di sebutkan tadi perlu
dimiliki oleh setiap pimpinan samada pimpinan persatuan, politik, Negara dan
sebagainya. Mereka berkewajipan untuk menghiasi dirinya dengan sifat-sifat
tersebutserta memeliharanya, disamping memelihara akhlak islam secara
keseluruhannya yang wajib ke atas setiap muslim.
PENUTUP
Apabila kriteria kepimpinan Islam dijadikan syarat utama
dalam memilih pemimpin, maka Keizzahan Islam itu akan terserlah dalam
Pemerintahan Negara secara praktikal.
Saidina Umar RA berkata: "Kita adalah kaum yang
diberi kemuliaan dengan Islam, maka sesiapa yang mencari selain daripada Islam,
Allah akan memberi kehinaan kepadanya."
Mauqaqis Gabenor Mesir mengakui kehebatan kepimpinan Islam
apabila melihat keperibadian tentera Amru bin Al-'Ash yang diutus kepadanya : "Demi
Tuhan, kalau demikian sikap mereka, walaupun gunung menghalang cita-cita, namun
mereka tetap dapat meruntuhkannya juga. Sesungguhnya tidak ada sesiapapun yang
sanggup berhadapan dengan kaum yang sedemikian."
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Pemimpin
yang paling baik ialah mereka yang datang menemui para Ulama` dan Ulama` yang
paling jahat ialah mereka yang datang menemui para Pemimpin (ulama`pengampu
pimpinan)." (maksud hadis)
Di sediakan oleh:
FELO MANHAL PMRAM 2011
No comments:
Post a Comment